Ada dua golongan yang menentang vaksin iaitu ANTIVAKSIN dan golongan yang RAGU-RAGU DENGAN VAKSIN ("Vaccine Hesitant"). Bila sebut antivaksin, ianya merujuk kepada golongan yang sudah tertanam di dalam minda mereka kebencian, buruk sangka dan fobia kepada vaksin. Sebenarnya antivaksin ini bukanlah orang2 yang bodoh tetapi ramai di antara mereka adalah dalam kalangan orang2 yang cerdik pandai dan profesional. Mereka jadi begitu disebabkan oleh kesilapan memilih sumber maklumat dan terjebak ke dalam pergerakan antivaksin samada di dalam mahupun di luar negara. Jika WHO, CDC, KKM dan pertubuhan2 kesihatan antarabangsa mengeluarkan lapuran, mereka pun ada lapuran2 yang nampak saintifik tetapi penuh dengan maklumat yang mengelirukan. Ada juga dalam kalangan mereka merupakan pengamal teori konspirasi ("conspiracy theorist") dan sikap antivaksin adalah salah satu daripada gejala2nya. Kewujudan golongan yang terpesong ini tidak sukar untuk difahami kerana ianya sama dengan kewujudan ajaran2 sesat di dalam agama. Kini ideologi mereka bukan sahaja tersebar kepada orang awam tetapi telah meresap masuk kepada orang-orang berpengaruh seperti agamawan dan ahli politik.
Kajian menunjukkan bahawa tidak ada apa2 yang mampu dilakukan untuk mengubah pendirian antivaksin. Sejarah telah membuktikan banyak sesi perbincangan dan dialog telah dilakukan dengan mereka tetapi gagal walaupun diberikan bukti dan fakta yang jelas. Hatta jika berhujah dengan dalil agama sekalipun mereka akan menolak. Bahaya mereka bukan setakat menyebarkan maklumat palsu tentang vaksin tetapi juga lain-lain maklumat yang salah bagaimana menangani wabak penyakit berjangkit. Kita hanya akan membuang masa jika cuba berdebat ataupun berdialog dengan mereka. Jadi untuk mengubah pendirian antivaksin ini, kita hanya mampu berdoa kepada Allah supaya memberi petunjuk kepada mereka satu hari nanti ataupun anak cucu mereka akan didorong untuk memilih menjadi pengamal perubatan moden.
Golongan kedua adalah "VACCINE HESITANT" ataupun golongan yang ragu2 dengan vaksin. Mereka ini kadangkala nampak seperti antivaksin tetapi di dalam diri mereka masih terbuka untuk mendengar dan berubah arah. Mereka adalah golongan yang sedang mencari kebenaran. Sasaran pendidikan dan maklumat yang betul hendaklah ditujukan kepada golongan ini. Dialog dan perbincangan juga boleh dilakukan tetapi kena pastikan kita diwakili oleh individu yang betul-betul arif tentang ilmu vaksin dan imunisasi. Jika golongan ini tidak ditangani dengan betul, mereka akan terjebak ke dalam gerakan antivaksin.
Usaha untuk mendidik masyarakat perlu diteruskan tanpa jemu dan putus asa kerana matlamatnya sangat mulia walaupun cabarannya juga sangat besar. Di negara kita, maklumat dan pendidikan kesihatan disampaikan oleh pihak KKM melalui media2 yang sedia ada, di samping itu terdapat pertubuhan2 yang dikendalikan oleh pengamal2 perubatan secara sukarela. Di antara pertubuhan ini adalah MEDICAL MYTHBUSTERS MALAYSIA dan MEDICAL TWEET MALAYSIA (MedTweetMy). Ramai juga individu yang menjadi "social media influencer" menggunakan kedudukan mereka untuk mendidik masyarakat. Mereka berdepan dengan cabaran dicemuh, mangsa siberbuli dan disaman. Kerajaan dan KKM patut memberi sokongan yang padu kepada mereka ini supaya mereka mendapat pembelaan sewajarnya. Dengan itu lebih ramai pengamal2 perubatan dan provaksin dapat turut serta menjadi sebahagian daripada pejuang melawan ideologi songsang demi masa depan yang lebih baik. Kita mempunyai ramai provaksin tetapi tidak ramai yang mahu ke hadapan sedangkan di pihak antivaksin, mereka bersungguh2 menjalankan dakyah kerana kerja menghasut lebih mudah dilakukan daripada mendidik.
Lapuran dari Centre for Countering Digital Hate (CCDH) menyatakan setakat ini sejumlah 31 juta pengguna facebook menjadi pengikut (followers) golongan antivaksin. Imej kanan di bawah adalah gambaran bagaimana golongan antivaksin berupaya menyelinap masuk ke dalam platform media sosial (facebook) dan menyebarkan dakyah mereka. Titik2 biru mewakili pro-vaksin dan titik2 hijau adalah golongan atas pagar. Perhatikan provaksin yang tidak seaktif antivaksin. Jika langkah proaktif tidak dilakukan, titik2 merah yang mewakili maklumat antivaksin bakal menguasai media sosial dan mempengaruhi lebih ramai ahli masyarakat. Sesuatu langkah yang proaktif perlu dilakukan dari sekarang untuk memelihara negara kita daripada ancaman gerakan antivaksin.
Dato' Dr.Rushdan Noor
20hb Nov 2020
https://www.nature.com/articles/d41586-020-01423-4
https://www.thelancet.com/journals/landig/article/PIIS2589-7500(20)30227-2/fulltext
No comments:
Post a Comment