Sperma adalah benih lelaki yang terdapat di dalam air mani ataupun semen. Dalam keadaan semulajadi, sperma hanya boleh hidup di dalam air mani dan persekitaran di dalam organ peranakan. Air mani membantu sperma berenang dan membekalkan nutrient kepadanya. Sperma boleh berenang pada kelajuan hanya 1-4 mm setiap minit ataupun maksima 24 cm sejam. Apabila sperma berenang, ia bukan berlaku dalam garisan lurus. Dalam keadaan semulajadi destinasi pergerakan sperma adalah ke arah telur atau ovum seorang wanita. Maksudnya arah pergerakan sperma ditentukan oleh kedudukan ovum dan mesti berlaku di dalam organ peranakan wanita kerana pengecutan otot rahim dan tiub falopian membantu sperma untuk bergerak ke arah yang betul. Kemudian sperma perlu menuju ke arah ovari yang betul kerana setiap bulan satu ovari sahaja yang mengeluarkan ovum/telur. Tidak hairanlah mengapa berjuta2 sperma akan mati atau hilang/sesat dalam perjalanan untuk melakukan proses persenyawaan.
Apakah akan terjadi apabila sperma dilepaskan keluar ke tempat lain seperti udara, lantai dan air. Apabila sperma terlepas ke udara ataupun ke dalam air kolam, ia akan mati hampir serta merta kerana ia sangat sensitif dengan perubahan pH, suhu dan kandungan bahan kimia. Jikapun ia hidup, mungkin 1-2 minit dan itupun dalam keadaan tidak terarah dan berkemungkinan besar akan mati di tempat ia dilepaskan. Di samping itu pakaian dalam wanita dan kedudukan kemaluan luar ataupun vulva yang tertutup akan menjadi pelindung (barrier) untuk menghalang sperma daripada terlepas masuk ke dalam faraj.
Persenyawaan adalah proses percantuman di antara sperma dengan ovum/telur. Dalam proses semulajadi, daripada 400 juta sperma (untuk setiap pancutan air mani) yang dilepaskan ke dalam faraj seseorang wanita, hanya 1 sperma sahaja akan berjaya disenyawakan dengan telur/ovum wanita di dalam tiub falopian (daripada 200-300 sperma yang sampai ke tiub falopian). Itupun dengan syarat organ peranakan wanita tersebut adalah normal dan persetubuhan berlaku ketika waktu subur iaitu hanya 5-7 hari dalam satu bulan (28 hari). Dengan perkataan lain, dalam satu tahun (365 hari), seseorang wanita hanya subur sekitar 60-84 hari. Hari subur bermaksud hari2 di mana jika berlaku persetubuhan, kehamilan mungkin akan terjadi. Kehamilan tidak akan terjadi jika persetubuhan berlaku pada hari selain dari hari2 subur.
Jadi kebarangkalian seseorang wanita untuk hamil melalui SATU kali persetubuhan secara rambang adalah terlalu kecil. Ini merujuk kaedah semulajadi, bukan secara rawatan bayi tabung uji. Apabila sudah berlaku persenyawaan, tidak semua janin yang terhasil akan berjaya kerana 30-50% daripadanya akan gugur dan kehamilan dikatakan gagal. Maksudnya dari 100 orang wanita yang sudah berjaya menjalani proses persenyawaan, 30-50 daripada mereka akan keguguran, kebanyakannya tanpa mereka sedari.
Jadi pendapat mengatakan wanita boleh hamil apabila mandi bersama dengan lelaki di dalam kolam yang sama adalah satu MITOS. Walaupun beberapa orang lelaki memancutkan air mani ke dalam kolam, seseorang wanita yang mandi di dalam kolam tersebut tidak akan hamil disebabkan alasan2 yang dinyatakan di atas. Rencana ini ditulis bukan bertujuan untuk menggalakkan percampuran lelaki wanita dalam kolam mandi tetapi semata2 untuk memperbetulkan maklumat yang salah.
Dato'Dr Rushdan Noor
Pakar Perunding Kanan O&G
28hb Feb 2020
No comments:
Post a Comment