Pengetahuan mengenai kanser semakin bertambah baik dari masa ke semasa. Terima kasih diucapkan kepada penyelidik dan ahli sains yang menjalankan kajian tanpa jemu semenjak berpuluh2 tahun dahulu. Melalui kajian yang mereka lakukan, kaedah pencegahan dan rawatan kanser menjadi bertambah berkesan pada hari ini berbanding dengan masa lampau. Salah satu isu yang besar mengenai kanser adalah bagaimana ahli sains dapat mengenalpasti faktor risiko menghidap kanser.
Salah satu kajian yang banyak membantu pakar kanser di dalam menentukan faktor risiko menghidap kanser adalah "Cancer Prevention Study (CPS)" yang dimulakan semenjak tahun 1950 an lagi. Kajian ini adalah di bawah Pertubuhan Kanser Amerika (ACS). Kajian ini juga dikenali sebagai "Hammond Horn Cohort Study" dijalankan pada tahun 1952-1955 melibatkan 188,000 peserta lelaki. Kajian inilah yang menemui kaitan di antara merokok dan kanser paru-paru, sakit jantung dan lain-lain. Peserta-peserta ini akan dipantau kehidupan mereka sehinggalah mereka meninggal dunia.
Kejayaan Hammond Horn Cohort Study kemudian mendorong kepada lebih banyak kajian CPS-1 (1959-1972), CPS-2 (1982-sekarang) dan CPS 3 (2006-sekarang). Kajian-kajian ini memakan masa yang panjang dan melibatkan ramai peserta kerana bukan senang untuk mencari faktor risiko menghidap kanser samada faktor yang mengurangkan risiko ataupun faktor yang meningkatkan risiko kanser. Hasil kajian ini bukan sahaja penting untuk negara Amerika tetapi juga untuk seluruh penduduk dunia. Kajian CPS ini akan menjawab lebih banyak persoalan tentang kanser di masa hadapan dan ianya akan berterusan. Di samping kajian CPS ini terdapat banyak lagi kajian2 epidemiologi dan kajian pemerhatian yg dijalankan utntuk tujuan yang sama tetapi saiz serta jangkamasa kajian2 ini tentu tidak boleh menandingi kajian CPS.
Beberapa matlamat baru telah ditetapkan oleh penyelidik daripada kajian CPS 2 dan CPS 3, di antaranya adalah risiko kanser dalam kalangan orang yang berusia 65 tahun ke atas, faktor penentu (predictor) menghidap penyakit kanser pada usia muda, kajian lanjut ke atas perokok pasif/vape, kaitan di antara petujuk molekular dengan risiko kanser dan lain-lain.
Kajian-kajian CPS inilah yang menemui faktor risiko menghidap kanser seperti merokok dengan kanser paru-paru, kegemukan dengan beberapa jenis kanser, jenis makanan dan senaman yang mengurangkan risiko menghidap kanser. Jadi dakwaan pakar-pakar perubatan dan pakar kanser berkenaan dengan kaedah mencegah penyakit kanser bukan dibuat semberono sebaliknya adalah berasaskan kepada hasil kajian-kajian yang dilakukan oleh ahli sains termasuk kajian CPS ini.
Jadi apakah faktor-faktor gayahidup dan makanan yang boleh mengurangkan risiko menghidap kanser?
1. Mendapatkan berat badan yang betul dan tidak mengalami kegemukan. Senaman dan mengawal makanan adalah kaedah yang disyorkan untuk tujuan ini. Ini dapat mengurangkan risiko menghidap beberapa jenis kanser seperti kanser esofagus, rektum, ovari, buah pinggang, prostat, pundi hempedu dan hati.
2. Kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kalori, tinggi lemak tetapi kurang kandungan nutrient.
3. Mengambil lebih sayuran, buah-buahan, bijirin dan whole grain. Tidak diketahui apakah jenis sayuran,buah2an dan bijirin yang spesifik. Kecuali minuman soya yang boleh mengurangkan risiko beberapa jenis kanser.
4. Kurangkan daging merah dan daging yang diproses. Lebihkan sumber protin daripada daging putih dan daripada sumber tumbuhan.
5. Kurang atau elakkan daripada mengambil alkohol
6. Kurang mengambil garam dan makanan yang diperam. Makanan yang tinggi garam dikaitkan dengan risiko kanser leher dan tekak. Ia juga meningkatkan risiko penyakit darah tinggi dan sakit jantung.
Faktor-faktor ini mengurangkan risiko dan bukan mencegah kanser 100%. Maka walaupun seseorang itu mengamalkan kesemua gayahidup yang disyorkan ini, bukanlah bermaksud beliau akan bebas daripada menghidap kanser. Begitu juga adalah tidak tepat jika ada golongan yang mendakwa bahawa memakan makanan ataupun tumbuhan tertentu boleh mencegah penyakit kanser kerana ini tidak pernah dibuktikan oleh hasil kajian-kajian yang saya nyatakan di atas yang bersifat umum. Melainkan jika ada kajian2 yg bersifat khusus contohnya meminum air soya boleh mengurangkan risiko kanser payudara, itupun kita perlu menilai kualiti kajian tersebut terlebih dahulu.
Ddr Rushdan Noor
No comments:
Post a Comment