Friday 27 November 2020

MENGAPA KEHEBATAN PASUKAN R&D PRODUK SUPLEMEN BUKAN KAYU UKUR KEHEBATAN PRODUK YANG DIHASILKAN

 


Salah satu hujah yang sering diberikan oleh pengeluar dan penjual produk suplemen untuk menguatkan dakwaan mereka adalah syarikat mereka mempunyai pasukan R&D (Research and Development) sendiri. Pasukan R&D ini pula dianggotai oleh ramai ahli-ahli sains yang hebat-hebat belaka. Jadi jika pasukan R&D mereka ini hebat, tentulah produk mereka juga hebat. Benarkah dakwaan mereka ini?

Tidak dapat dinafikan bahawa syarikat besar yang mengeluarkan produk suplemen memang memiliki kilang dan makmal yang canggih. Mereka mempunyai pasukan R&D mereka sendiri yang terdiri daripada ahli2 sains, walaupun kebanyakannya bukan dalam bidang perubatan. Kebanyakan ahli sains mereka adalah  pemegang PhD di dalam bidang sains tulin (biologi, kimia dll) dan pemakanan/nutrisi. Mereka tidak terlibat di dalam perawatan pesakit secara terus.

Walau bagaimanapun pasukan R&D yang dikatakan hebat2 belaka ini bukan mengkaji keberkesanan produk suplemen tersebut ke atas manusia. Sebaliknya mereka lebih memfokuskan kepada proses penghasilan produk tersebut supaya ianya selamat dan mengandungi sebatian kimia yang diperlukan pada kadar yang betul. Pendek kata kajian mereka lebih tertumpu kepada menghasilkan produk yang berkualiti daripada aspek kandungan bahan dan keselamatan.  Jika pun ada kajian klinikal, ianya adalah kajian praklinikal di peringkat makmal. Produk suplemen yang dihasilkan ini tidak dikategorikan sebagai ubat, jadi syarat mendapatkan kebenaran untuk dipasarkan jauh lebih mudah. Ia dikategorikan dalam kumpulan makanan tambahan. Produk suplemen yang dihasilkan ini tidak memerlukan bukti keberkesanan sebaliknya cukup sekadar selamat diambil. Untuk menambah keyakinan orang ramai, syarikat ini akan menawarkan pekerjaan kepada doktor perubatan samada sebagai ahli di dalam jawatankuasa penasihat ataupun jurucakap. 

Berbeza dengan ubat-ubatan yang digunakan oleh doktor perubatan, di mana R&D yang dijalankan bukan sahaja daripada aspek penghasilan ubat-ubat tetapi yang lebih penting adalah samada ubat-ubatan ini bermanfaat dan selamat kepada manusia. Ubat-ubat ini perlu melalui kajian klinikal daripada fasa praklinikal sehinggalah fasa 3 dan kemudian perlu pula mendapat kelulusan badan penguatkuasa ubatan untuk digunakan oleh pesakit. Kajian-kajian ini pula perlu dilakukan ke atas manusia dan memakan masa serta belanja yang besar. Bagi pengamal perubatan moden, kami akan mengesyorkan pengambilan sebarang produk berasaskan kepada bukti kajian klinikal seumpama ini. Inilah yang kami katakan sebagai amalan perubatan berdasarkan bukti ( "Evidence based medicine").

Jadi terdapat perbezaan yang besar di antara ahli2 sains di dalam pasukan R&D produk suplemen dengan pasukan R&D yang menghasilkan ubat yang digunakan oleh doktor perubatan. Analogi yang mudah adalah seperti kilang membuat senjata untuk tujuan peperangan. Kayu ukur keberkesanan senjata adalah menang di dalam peperangan kerana inilah matlamat utama menggunakan senjata. Pasukan R&D produk suplemen menghasilkan senjata yang belum lagi digunakan untuk berperang tetapi mereka sudah mendakwa senjata mereka canggih dan boleh menang dalam peperangan. Manakala pasukan R&D yang menjadi rujukan doktor perubatan sudahpun mencuba senjata yang digunakan dan sudah terbukti berkesan untuk menang di dalam peperangan. Sebagai seorang doktor, tentulah kami TIDAK AKAN mengesyorkan sesuatu yang belum terbukti berkesan. Di samping itu kami juga tidak tahu apakah tahap keselamatan produk ini ke atas tubuh badan manusia dalam jangkamasa panjang, lebih2 lagi sasarannya adalah semua orang awam, sakit dan sihat. Kesimpulannya dalam konteks produk suplemen, hujah memiliki pasukan R&D yang hebat tidak boleh dijadikan bukti bahawa produk yang dihasilkan itu juga hebat dan berkesan. 


Dato' Dr Rushdan Noor 

21hb Mei 2019

16 Ramadan

No comments:

Post a Comment