Monday, 8 June 2026

PERLU RISAU DENGAN GLUCOSE SPIKE ?

 


“Glucose spike” merujuk kepada kenaikan paras glukosa darah selepas makan, terutama selepas mengambil makanan tinggi karbohidrat ringkas atau minuman manis. Sebenarnya, kenaikan glukosa selepas makan adalah fenomena fisiologi yang normal. Tubuh manusia memang direka untuk mengendalikan perubahan ini melalui hormon insulin. Jadi tidak semua “spike” itu berbahaya.

Bagi orang normal yang sihat, pankreas dan insulin biasanya mampu mengawal kenaikan glukosa dengan baik. Paras gula akan naik selepas makan dan kemudian kembali normal dalam beberapa jam. 

Setakat ini, tiada bukti kukuh bahawa penggunaan CGM ("Continuous Glucose Monitiring")  secara rutin dalam kalangan individu sihat membawa manfaat klinikal jangka panjang seperti pengurangan penyakit kardiovaskular, diabetes atau kematian.

Banyak kandungan media sosial membesarkan isu ini seolah-olah setiap spike itu merosakkan badan, sedangkan konteks sangat penting. Faktor seperti tidur, tekanan, senaman dan jenis makanan memang mempengaruhi bacaan gula sementara waktu. Sedikit turun naik itu normal. 

Walaupun terdapat kajian yang mengaitkan "glycemic variability" yang melampau dengan tekanan oksidatif dan risiko metabolik, kebanyakan bukti tersebut datang daripada pesakit diabetes atau individu yang mempunyai gangguan metabolik, bukan orang sihat dengan regulasi glukosa yang normal.

CGM atau "continuous glucose monitor" lebih bermanfaat untuk pesakit diabetes tertentu, terutama yang menggunakan insulin, mengalami hypoglycemia, atau sukar mengawal gula darah. Untuk orang normal, penggunaan CGM kadangkala lebih kepada “biohacking” atau trend kesihatan, bukan keperluan perubatan. Ia juga boleh menyebabkan sesetengah orang menjadi terlalu takut terhadap makanan normal seperti buah atau nasi walaupun diambil secara sederhana.

Namun untuk pesakit diabetes, isu glucose spike memang lebih relevan. Paras gula yang terlalu tinggi dan berpanjangan selepas makan boleh menyumbang kepada kerosakan salur darah, saraf, buah pinggang dan meningkatkan risiko penyakit jantung. Sebab itu kawalan gula darah penting. Tetapi fokus sebenar bukan sekadar “menghapuskan spike”, sebaliknya kawalan glukosa keseluruhan termasuk HbA1c, gaya hidup, berat badan, tekanan darah dan lipid.

Tentang suplemen pula, terdapat beberapa suplemen seperti serat larut, cuka, berberine, magnesium atau cinnamon yang ada kajian menunjukkan kesan kecil terhadap kawalan glukosa pada sesetengah individu. Tetapi kesannya sederhana dan tidak konsisten. Tiada bukti kukuh bahawa suplemen boleh menggantikan rawatan moden diabetes secara menyeluruh, terutama bagi diabetes jenis 2 yang sudah signifikan atau diabetes jenis 1 yang memerlukan insulin.

Kebanyakan kajian suplemen juga melibatkan sampel kecil, tempoh kajian yang pendek dan menggunakan "surrogate endpoint" seperti glukosa atau HbA1c, bukannya "outcome" klinikal yang lebih penting seperti serangan jantung, strok atau kematian atau ke atas organ-organ lain.

Ubat moden diabetes seperti metformin, GLP-1 receptor agonist, SGLT2 inhibitor dan insulin telah dikaji secara besar-besaran bukan sahaja untuk menurunkan gula, tetapi juga mengurangkan komplikasi seperti serangan jantung, kegagalan buah pinggang, kesihatan mata, saraf dan kematian. Itu perkara yang kebanyakan suplemen belum mampu buktikan.

Masalahnya apabila ada influencer menjual naratif bahawa “ubat hanya kawal gejala tetapi suplemen rawat punca”. Hakikatnya diabetes ialah penyakit kompleks melibatkan genetik, kerintangan insulin, lemak viseral, fungsi pankreas dan gaya hidup. Pendekatan terbaik biasanya gabungan pemakanan sihat, aktiviti fizikal, tidur mencukupi, pengurangan berat badan jika berlebihan, dan ubat apabila diperlukan, bukan bergantung kepada satu suplemen ajaib.

Dalam dunia media sosial hari ini, glucose spike sering dijadikan musuh utama. Hakikatnya, bagi kebanyakan orang, masalah sebenar bukanlah satu lonjakan gula selepas makan, tetapi corak pemakanan yang tidak sihat, obesiti, kurang aktiviti fizikal dan diabetes yang tidak terkawal dalam jangka panjang.

Dato' Dr.Rushdan Noor

28hb Mei 2026

No comments:

Post a Comment