Dalam era media sosial, kita sering didedahkan kepada pelbagai dakwaan tentang produk kesihatan, suplemen dan kaedah rawatan baharu.
Pempengaruh kesihatan sering mengemukakan penerangan yang kedengaran sangat saintifik dengan istilah seperti "mengurangkan keradangan", "meningkatkan fungsi mitokondria", "mengaktifkan gen umur panjang" atau "menyahaktifkan sel kanser".
Penjelasan sebegini sememangnya menarik perhatian dan boleh meyakinkan ramai orang bahawa sesuatu produk atau rawatan itu berkesan.
Namun, dalam perubatan moden, penerangan saintifik yang cantik dan bunyinya sangat ilmiah tidak semestinya petunjuk atau bukti keberkesanan sesuatu rawatan.
Apa yang lebih penting ialah sama ada manfaat atau penjelasan itu dapat diterjemahkan pada manusia melalui kajian klinikal yang berkualiti tinggi.
Sesuatu bahan mungkin menunjukkan kesan yang hebat di dalam tabung uji atau pada haiwan makmal, tetapi gagal memberikan manfaat yang sama apabila diuji pada manusia.
Sebagai contoh, seseorang mungkin mendakwa bahawa "Bahan X mengandungi bahan A,B,C dan terbukti mengurangkan keradangan, meningkatkan aktiviti mitokondria, mengaktifkan gen umur panjang dan menghalang pertumbuhan sel kanser." Apabila diperiksa dengan lebih teliti, rupa-rupanya semua bukti yang dikemukakan hanya datang daripada kajian kultur sel, kajian tikus atau eksperimen makmal.
Walaupun penemuan itu penting untuk memahami mekanisma biologi sesuatu bahan, ia masih belum membuktikan bahawa manusia yang mengambil bahan tersebut akan hidup lebih lama, kurang mendapat penyakit atau menikmati kualiti hidup yang lebih baik.
Sejarah perubatan telah menunjukkan banyak contoh rawatan yang kelihatan sangat meyakinkan pada peringkat praklinikal tetapi akhirnya gagal dalam kajian klinikal. Ada yang didapati tidak memberi manfaat langsung, ada yang kesannya terlalu kecil untuk dianggap bermakna, dan ada juga yang akhirnya terbukti membawa mudarat kepada pesakit.
Oleh itu, apabila berdepan dengan sesuatu dakwaan kesihatan, soalan pertama yang patut ditanya bukanlah "Apakah mekanisma saintifiknya?" tetapi "Apakah bukti klinikal pada manusia yang menunjukkan ia berkesan dan selamat?"
Mekanisma saintifik boleh menjelaskan mengapa sesuatu rawatan mungkin berfungsi, tetapi hanya kajian klinikal yang boleh membuktikan sama ada ia benar-benar berkesan ke atas manusia.
Inilah sebabnya perubatan berasaskan bukti menilai sesuatu rawatan berdasarkan hasil yang berlaku kepada pesakit, bukannya semata-mata berdasarkan teori yang kelihatan meyakinkan. Dalam kesihatan, teori yang cantik adalah permulaan kepada penyelidikan, tetapi bukti klinikal adalah penentu kepada kebenaran.
Dato' Dr.Rushdan Noor
22hb Jun 2026


No comments:
Post a Comment