Friday 2 October 2020

KAEDAH MEMUTIHKAN KULIT: MENGAPA MEMUDARATKAN



Salah satu produk kecantikan yang paling menarik perhatian orang ramai adalah produk memutihkan kulit. Warna kulit ditentukan oleh kandungan pewarna/pigmen kulit yang dinamakan MELANIN. Melanin adalah pelindung kulit semulajadi. Melanin dihasilkan oleh sel2 khusus yang dinamakan MELANOSIT yg terdapat di bawah kulit.

Apabila anda melihat kulit muka yang putih (dalam gambar ataupun hidup), ada 5 kemungkinan:

1. Semulajadi, orang itu memang berkulit putih

2. Akibat penyakit yang dikenali sebagai Vitiligo ataupun Sopak

3. Make-up /solekan

4. Edit foto dalam komputer/hp (gambar)

5. Merawat muka dengan rawatan pemutih kulit. Asas rawatan pemutih kulit adalah rawatan yang dapat MENGURANGKAN MELANIN dalam kulit.

BAGAIMANA MELANIN DIKURANGKAN

1. MENIPISKAN KULIT dengan menggunakan bahan kimia (dalam bentuk krim ataupun losyen), rawatan laser dan rawatan mekanikal. Apabila pengelupasan kulit terjadi, lapisan kulit yg baru mengandungi kurang melanosit dan melanin. Di dlm bahasa Inggeris dinamakan "skin peeling".

2. MENGAMBIL UBAT yang merencatkan sel-sel melanosit dan proses penghasilan melanin (dalam bentuk krim/losyen ataupun makan/ suntikan)

3. GABUNGAN (1) DAN (2)

APAKAH AKIBAT YANG DIALAMI JIKA MELANIN DIKURANGKAN

1. Penggunaan ubat untuk memutihkan kulit ini sepatutnya hanya layak diberikan oleh pakar kulit di atas sebab2 yang dibenarkan oleh perubatan seperti kulit yang tidak sekata akibat penyakit hormon dan juga parut akibat jerawat.

2. Ubat pemutih boleh menyebabkan kesan sampingan samada setempat ataupun ke seluruh badan. Banyak ubat2 ini sebenarnya ubat daripada kategori racun berjadual ataupun ubat yang tidak dilesenkan untuk tujuan pemutihan kulit. Ubat yang disapu boleh meresap masuk ke dalam aliran darah. Di antara ubat2 pemutih adalah raksa (mercury), hidroquinone, glutatione, ascorbic acid, tranexamic acid, kojic acid, azelic acid dll.

3. Apabila melanin dikurangkan, ia akan membenarkan lebih banyak sinaran ultraunggu daripada matahari untuk merosakkan sel2 kulit. Kerosakan DNA sel-sel kulit boleh menyebabkan kanser kulit. Kulit yang nipis juga tidak dapat berfungsi sebagai pelindung yang berkesan dan mudah terbakar serta dijangkiti kuman. Kulit mudah menjadi kemerahan dan mengelupas.

4. Kesan jangkapanjang mengurangkan melanin ini adalah kesan yang dinamakan ochronosis iaitu kesan terbalik yakni kulit menjadi hitam dan kekal. Satu lagi kesan jangkapanjang adalah "bleach panda effect", iaitu kulit di sekeliling mata menjadi kehitaman macam mata seekor panda.

5. Banyak kaedah rawatan mekanikal dan laser menyakitkan dan mahal. Ianya perlu dilakukan secara berkala kerana kesan pemutihan ini tidak berpanjangan.

6. Kesan pemutihan kulit bukan kesan yang kekal, perlu rawatan berterusan. Kulit akan kembali kepada warna asal jika rawatan dihentikan kerana warna kulit yakni bilangan sel-sel melanosit dan kandungan pigmen melanin telah ditentukan oleh faktor genetik.

Dari segi indikasi perubatan, memutihkan kulit hanya sesuai dilakukan ke atas individu yang mengalami masalah penyakit sopak ataupun vitiligo. Apabila vitiligo ini menyeluruh, maka pakar kulit boleh mempertimbangkan untuk memutihkan bahagian kulit yang tidak terlibat supaya warna kulit kelihatan sekata.

Kesimpulannya, kaedah memutihkan kulit nampaknya lebih banyak membawa kemudaratan daripada memberi manfaat melainkan jika ianya dibawah pengawasan pakar kulit. Warna kulit yang dijadikan oleh Tuhan itu sudah sempurna dengan orang tersebut. Apa yang lebih penting adalah menjaga kulit daripada terbakar (sunburn), tercedera dan rosak akibat bahan kimia, kekotoran, jerawat dan juga jangkitan.

Kalau nak baca dengan lebih lanjut mengenai proses memutihkan kulit dan kesannya ke atas manusia, klik di bawah untuk membaca: 

PRODUK PENCERAH KULIT: MITOS DAN REALITI


Dato' Dr.Rushdan Noor

No comments:

Post a Comment