Wednesday 7 October 2020

MAKANAN BOLEH MERAWAT PENYAKIT : FAKTA ATAU AUTA


Umumnya bahan makanan ataupun buah2an/sayuran dalam bentuk asal tidak boleh dijadikan ubat untuk merawat penyakit. Dalam makanan ini terdapat terlalu banyak sebatian kimia yang ada kesan positif, kesan negatif dan neutral. Kita perlu mengeluarkan sebatian kimia yang ada kesan positif dan ditentukan dos terlebih dahulu sebelum boleh dijadikan ubat. Kemudian perlu ditentukan pula keselamatan, kaedah pemberian dan keberkesanan ke atas manusia. Kalau dalam bentuk mentah, mungkin kena ambil berkilo2 satu hari dan itupun belum tentu berkesan kalau ubat itu lebih sesuai diberikan dalam bentuk suntikan. Kalau fikir secara lojik akal pun orang biasa sudah boleh menerima pendapat ini tapi kami doktor perubatan mengunakan alasan tidak ada bukti kajian klinikal. 

Mereka memberi alasan kalau tidak ada bukti kajian klinikal tidak semestinya tidak berkesan. Tak akan semuanya mesti ada bukti kajian klinikal, kata mereka lagi. Kami jawab, jadi apakah pula bukti yang anda gunakan untuk mendakwa produk anda berkesan? Testimoni? Depa kata? Kot-kot? Rasa-rasanya? Kajian ke atas tikus ? Pengalaman orang tua2? Kemudian mereka berkata,  yang menyembuhkan itu Tuhan bukan manusia, mula berhujah dengan agama. Jawab kami, betul, yang menyembuhkan itu Tuhan tetapi mestilah dengan ikhtiar yang betul. Contohnya kalau nak tebang pokok balak kena guna gergaji atau kapak baru pokok boleh tumbang, kalau guna gigi sampai bila pun Tuhan tak izinkan sebab ikhtiar itu tak betul, kecualilah anda ada mukjizat. Bukankah Nabi pun bersabda maksudnya "Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah", hadith sahih Riwayat Muslim. Ahli Sains dan pakar perubatan lah yang diberikan kepakaran oleh Allah untuk lebih layak menyatakan ubat itu betul ataupun tidak. Jika yang menentukan betul ataupun tidak itu orang yang bukan pakar di dalam bidangnya, maka ikhtiar itu tidak betul dan akibatnya ramailah yang akan ditimpa kemudaratan. 

Kami membenteras mitos kerana maklumat yang salah akan mengelirukan orang ramai. Walaupun ada amalan yang tidak merbahaya, kepercayaan itu boleh menyebabkan pesakit berpindah dari rawatan doktor yang menggunakan ikhtiar yang betul kepada kaedah lain yang tidak berkesan atau kurang berkesan. Mudaratnya akan kembali kepada pesakit dan mitos ini akan tersebar di dalam masyarakat. Macam merebaknya coronavirus. Masyarakat pula akan menjadi taksub terhadap satu-satu bahan makanan dan tertekan dengan ancaman-ancaman palsu tentang makanan yang lain. Sedangkan satu-satu nutrient dan manfaat boleh diperolehi daripada banyak jenis sumber makanan dan kita sepatutnya bebas memilihnya mengikut selera dan keperluan. 

Apakah masalahnya dengan mendakwa makanan itu dan buah ini boleh cegah dan rawat penyakit? Makanan bukan racun, makan sahajalah, kata mereka lagi. Masalahnya begini, di samping kekeliruan yang saya sebutkan di atas, kepercayaan terhadap mitos ini juga membuka peluang kepada golongan yang mengambil kesempatan menghasilkan produk kesihatan. Ramuan boleh dicampur-adukkan mengikut kemahuan, kemudian boleh buat "overclaim" berkesan merawat berbagai jenis penyakit. Semuanya boleh diproses sendiri dan tidak perlukan kepakaran sains sebab penyediaannya hentam kromo. Modalnya sedikit, untungnya besar tapi autanya pun besar.  Kemudian siapa pula yang akan jadi pelanggan produk-produk ini ? Tentulah pengikut-pengikut di dalam media sosial termasuk pesakit dan pengunjung setia. Tarikan tentu lebih kuat jika yang mempromosikan itu ada gelaran dan pengaruh. Kesudahannya, duit dibazirkan untuk sesuatu yang tidak diperlukan. Inilah yang dinamakan SCAM PERUBATAN. Scam perubatan ini lebih merbahaya daripada scam lain kerana mangsa boleh kehilangan wang ringgit dan juga memudaratkan kesihatan, malahan boleh menyebabkan kematian. 

Tajuk makanan, buah2an dan sayuran boleh merawat penyakit memang sangat disukai oleh orang ramai kerana ini adalah benda2 yang mereka hadap setiap hari. Tajuk2 ini menarik ramai peminat dan memberi keterujaan yang tinggi. Wow, tak sangka makan kunyit boleh merawat kanser, minum air kelapa serta makan kangkung boleh mencegah jangkitan virus, limau nipis boleh rawat darah tinggi dan minum teh boleh rawat diabetes. Tajuk yang santai dan mudah dihadam ini sangat digemari oleh masyarakat kita dan tidak hairanlah tajuk2 ini juga menjadi pilihan utama akhbar, station radio dan TV. Mitos2 ini juga paling banyak dikongsikan di dalam media sosial sehingga sukar untuk ditepis. Tajuk seperti ini juga akan mendapat 'share' dan 'like' paling banyak. Masyarakat tidak sedar yang mereka dihidangkan dengan sains perubatan caca-merba, fakta dan auta bercampur aduk. Bahan makanan dan tumbuh2an boleh menjadi ubat dengan syarat ianya melalui proses-proses mengeluarkan sebatian kimia aktif yang spesifik di dalam nya dan diuji ke atas manusia di dalam kajian klinikal. Malahan banyak ubat yang digunakan di hospital adalah dihasilkan daripada sumber alam semulajadi tetapi mematuhi disiplin ilmu dan amalan yang betul.

Beginilah modus operandi bagaimana tersebarnya mitos perubatan dan pseudosains yang berlaku di dalam masyarakat kita. Kebenaran bukan lagi keutamaan kerana yang lebih penting adalah populariti dan pendapatan. Fenomena ini mengecewakan kami yang berusaha untuk menyanggah mitos perubatan dan pseudosains yang menjadi racun kepada masyarakat. Hanya semangat dan kemahuan untuk mendidik  sahaja membuat kami terus berjuang tanpa ganjaran, mengharapkan ada kesan positif yang boleh ditinggalkan dan saham akhirat yang boleh di bawa ke sana nanti. Semoga masyarakat kita tidak akan dikuasai oleh Dr.Quack, pengamal pseudosains dan pendokong mitos perubatan. 

Dato' Dr Rushdan Noor 

Medical Mythbusters Malaysia

14hb Feb 2020

No comments:

Post a Comment