Monday 9 December 2019

PERBEZAAN SAINS DAN PSEUDOSAINS

Pseudosains ataupun sains palsu adalah kenyataan, kepercayaan ataupun amalan yang didakwa sebagai kebenaran dan saintifik tetapi hakikatnya tidak mematuhi kaedah saintifik yang sebenar. Sains adalah bidang yang luas dan ia meliputi sains perubatan, sains fizik, sains sosial dan lain-lain, maka begitulah juga pseudosains yang meliputi semua jenis-jenis sains yang tersebut. Apabila pseudosains merangkumi disiplin sains biologi ataupun perubatan, ia dikenali sebagai pseudoperubatan ("pseudomedicine"). Di dalam rencana ini saya akan memfokuskan kepada pseudosains yang melibatkan disiplin perubatan yakni kaedah mencegah dan merawat penyakit. Terdapat banyak ciri-ciri yang membezakan di antara sains dan pseudosains, maka orang ramai patut mengetahuinya supaya mereka tidak tersalah langkah memilih sesuatu kepercayaan dan amalan yang tidak betul dan menyeleweng. Ia adalah umpama ilmu agama, memilih ilmu agama yang sesat boleh memudaratkan akidah seseorang, begitulah juga memilih pseudosains boleh memudaratkan kesihatan seseorang.


Salah satu ciri-ciri pseudosains (sains palsu) adalah kesimpulan telah ditentukan terlebih dahulu. Kemudian mereka mencari apa sahaja alasan dan bukti2 yang membenarkan kesimpulan tersebut. Sebab itu mereka terpaksa menggunakan testimoni, hasil kajian makmal, hasil kajian kecil yang tidak konklusif dan keratan2 akhbar. Apabila sudah tak ada idea untuk berhujah, mereka guna senjata teori konspirasi. Berbeza dengan sains yang sangat menitikberatkan fakta berasaskan kepada bukti kajian klinikal yang berwibawa. Kenali pendokong pseudosains, dan jauhi mereka, mereka sedang teliur memerhati kocek anda.


Satu lagi ciri2 pseudosains (sains palsu) adalah pendapat atau dakwaan yang rigid dan tak boleh diubah ataupun dipertikaikan. Sebab itu ada kepercayaan dan pendapat mereka yang sudah berusia berpuluh2 tahun, malahan ratusan tahun pun ada. Berilah apa sahaja hujah kepada mereka, pendirian mereka tidak akan berganjak. Berbeza dengan sains yang fakta ataupun dapatan sesuatu hasil kajian boleh dibahas dan berubah jika ada bukti2 saintifik terbaru yang lebih kukuh. Ia bersifat dinamik dan kebenaran ditegak melalui hujah yang berasaskan disiplin ilmu yang jelas dan standard. Contohnya kaedah rawatan A boleh menjadi "outdated" apabila kajian saintifik menunjukkan rawatan B lebih berkesan. Pendek kata kaedah rawatan moden dan kefahaman tentang sesuatu kejadian berkembang menjadi bertambah baik dari masa ke semasa. Sains sebenar menggunakan prinsip yang dikenali sebagai "Evidence based medicine", sila rujuk di pautan ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan prinsip "evidence based medicine".



Ciri seterusnya pseudosains (sains palsu) adalah dakwaan keberkesanan yang luar biasa dan ajaib seperti boleh menyembuhkan banyak jenis penyakit dengan satu jenis ubat. Ataupun bahan2 yang biasa ditemui tetapi dikatakan mujarab untuk merawat banyak jenis penyakit. Pengamal pseudosains ini pula memberi janji yang terlalu tinggi dan dakwaan keberkesanan yang tidak munasabah. Sedangkan tidak ada bukti yang berwibawa tentang dakwaan tersebut ( "extraordinary claim in the absence of extraordinary evidence"). Dakwaan ini walaupun sudah dibuktikan salah, terus hidup dan muncul berkali2 ("claims that are repeated despite being refuted").

Gelaran Dr.Quack seringkali ditujukan kepada pengamal pseudosains dan pseudoperubatan. Asal perkataan quack bukan dari seekor itik tetapi dari perkataan Belanda, "quacksalver" yang merujuk kepada penjual ubat palsu di kurun ke 17. Peranan Dr.Quack ini paling menonjol pada tahun 1800 an di mana wabak kolera menyerang Eropah sehingga rakyat tidak tahu bagaimana untuk merawatnya. Pada masa inilah ubat2 ajaib ini dijual kepada orang ramai yang terdesak. Sehingga hari ini Dr.Quack masih wujud dan mungkin lebih luas pengaruhnya akibat dari pengaruh media masa dan internet. Dr. Quack juga terdiri daripada individu yang menggunakan gelarannya untuk menghasilkan produk sendiri dan mendakwa berkesan merawat penyakit walaupun produk tersebut tidak menjalani kajian klinikal. Ada yang menghasilkan produk sendiri hanya berasaskan kepada kajian pra-klinikal ataupun kajian kecil, kemudian sanggup memperjudikan kesihatan orang lain dengan menjual produk tersebut dengan dakwaan ianya sudah terbukti berkesan ke atas manusia. Dr.Quack berjaya meyakinkan orang ramai tentang kehebatan dirinya dengan gelaran, kononnya berkelulusan tinggi dan berkelayakan tetapi sebenarnya adalah seorang penipu dan scamner. Perkataan Quackery merujuk kepada segala bentuk amalan perubatan yang dipromosi atau dijual oleh Dr.Quack. Sebagai pengguna, kenali Dr.Quack, jauhi dari mereka dan jangan terpengaruh dengan quackery.
Di dalam menerangkan proses kejadian penyakit dan kaedah merawat, pengamal pseudosains (sains palsu) akan menggunakan perkataan atau istilah yang berbunyi macam saintifik dan profesional tetapi digunakan secara semberono dan di luar konteks. Bagi individu yang mempunyai pengetahuan sains, ayat2 yang menggunakan istilah yang berbunyi saintifik itu sangat janggal dan tidak menepati kaedah penggunaan yang betul. Ia juga membawa maksud yang menyimpang daripada apa yang ditemui oleh ilmu sains. Di dalam bahasa inggeris keadaan ini dikenali sebagai PSYCHOBABBLE. Orang awam boleh terpengaruh dan kagum dengan penerangan2 menggunakan psychobabble. Berikut adalah sebahagian daripada contoh2 psychobabble yang digunakan oleh pengamal pseudoscience yang berkaitan dengan rawatan penyakit:
1. Penyakit dirawat dengan kaedah similia similibus curentur ataupun "like cure likes" yakni penyakit dirawat dengan penyebab penyakit. Ubat menjadi lebih mujarab jika dicairkan kerana molekul air mempunyai memori untuk menyimpan maklumat.
2. "Theory of subluxation". Punca penyakit adalah akibat tulang belakang yang tidak betul atau tidak selari (subluxation). Kuasa kesihatan (power of vitality) dipancarkan oleh saraf tunjang melalui urat saraf yang keluar dari tulang belakang. Maka kalau nak sihat atau melegakan sesuatu penyakit, tulang belakang perlu dibetulkan dengan kaedah manipulasi tulang belakang ("spine manipulation"). Maka wujudlah kaedah2 manipulasi tertentu untuk tujuan merawat penyakit tertentu.
3. "Chromotherapy" juga dikenali sebagai terapi warna ("color therapy"). Pengamal chromotherapy mendakwa cahaya di dalam pelbagai warna mempunyai tenaga tertentu yang boleh mengimbangi tenaga dalam badan samada pada peringkat fizikal, emosi, spiritual dan mental.
5. "Detoxification" – Kaedah detoksifikasi badan yang menyimpan banyak toksin sehingga mengganggu kesihatan, maka terciptalah pelbagai jenis kaedah detoksifikasi yang tidak pernah terbukti berkesan oleh badan saintifik. Ini termasuk kaedah hydrotherapy menggunakan air yang dicampur dengan herba untuk kononnya membuang kerak usus dan juga toksin yang dipercayai menjadi punca penyakit. Di samping detoksifikasi usus, terdapat juga kepercayaan boleh detoksifikasi darah ("blood detoxification") melalui kaedah2 yang meragukan seperti sengaja mengeluarkan darah, rawatan herba dan sebagainya.
6. "Energy medicine", "energy therapy", "energy healing", "vibrational medicine", "psychic healing", "spiritual medicine" , "electromagnetic field therapy" dan "spiritual healing" adalah di antara cabang2 pseudosains. Penyakit dikaitkan dengan aliran tenaga yang tidak betul di dalam badan. Pengamal percaya tenaga penyembuh boleh disalurkan ataupun distabilkan kepada pesakit melalui kaedah2 yang tersebut untuk menyembuhkan penyakit.
7. "Adrenal fatigue" ataupun "hypoadrenia" adalah keadaan yang dicipta oleh pengamal pseudosains. Keadaan di mana kelenjar adrenal menjadi keletihan dan tidak mampu untuk menghasilkan hormon yang mencukupi sehingga mrnyebabkan penyakit.
Tidak satu pun rawatan2 yang tersenarai di atas disokong oleh bukti kajian klinikal yang KUKUH sebagai kaedah berkesan MERAWAT PENYAKIT walaupun pengamalnya mengambil pendekatan menerangkan mekanisma rawatan menggunakan istilah2 saintifik. Beratus2 lagi amalan dan kepercayaan pseudosains yang wujud dalam masyarakat dan saya tidak akan menyenaraikan keseluruhannya kerana ruangan yang terhad. Yang tersebut di atas baru meliputi hanya satu cabang sains iaitu sains perubatan, belum lagi disenaraikan lain2 bidang sains contohnya sains fizik, sains sosial, pemakanan, pertanian dan lain2.
Sebenarnya terdapat sebilangan kecil amalan2 ini boleh dipertimbangkan untuk tujuan mengurangkan gejala seperti sakit sendi, sakit badan, loya dan gejala-gejala ringan dengan syarat ianya selamat dan diperakui oleh pengamal perubatan moden. Kelegaan yang diberikan oleh kaedah2 ini bukan melalui mekanisma yang didakwa oleh pengamal tetapi melalui kesan plasebo ataupun sebahagiannya dicetuskan oleh tindakbalas neurohormonal. Terdapat sebahagian daripadanya dimasukkan ke dalam komponen perubatan integratif sebagai kaedah komplementari. Apa yang paling membimbangkan adalah apabila berlaku "overclaim" dan amalan ini digunakan untuk merawat penyakit serius seperti penyakit kronik kerana setakat ini belum ada kaedah2 ini yang terbukti berkesan untuk tujuan tersebut. Mudarat terbesar adalah apabila pesakit meninggalkan kaedah rawatan moden dan memilih kaedah rawatan pseudosains untuk merawat penyakit mereka yang serius. Masyarakat perlu menyedari kewujudan golongan-golongan pengamal pseudosains dan pseudoperubatan supaya mereka lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan mereka. 


Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Ahli Medical Mythbusters Malaysia

TIDAK DIBENARKAN SESIAPA MENGAMBIL SEBAHAGIAN ATAUPUN KESELURUHAN RENCANA INI TANPA KEBENARAN PENULIS


No comments:

Post a Comment