Dato' Dr.Mohd Rushdan
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Salah satu mitos yang berlegar di media sosial dan perbualan orang
ramai adalah larangan mengambil beberapa jenis makanan dan minuman
secara total (sedikit pun tak boleh) ke atas pesakit kanser. Sumber
mitos ini mungkin bermula dari ceramah2 atau tulisan2 individu yang
salah faham ataupun menceduk dari orang lain. Ada di antara sumber
maklumat ini datangnya daripada doktor perubatan sendiri yang bukan
pakar di dalam bidang yang berkenaan.
Akibat dari mitos ini maka
terdapat pesakit kanser mengamalkan pantang yang keterlaluan sehingga
menjejaskan fungsi badan mereka akibat tahap nutrisi yang rendah. Tahap
nutrisi yang rendah juga menjejaskan keupayaan untuk menerima rawatan
dan melawan penyakit. Pesakit2 ini bukan sahaja menderita akibat
penyakit yang mereka hidapi tetapi juga tertekan dengan pantang yang
keterlaluan. Di samping itu, kesan maklumat yang tidak tepat ini juga
menyebabkan ramai orang samada yang sihat ataupun yang sakit mengamalkan
pantang yang tidak betul seperti tidak langsung mengambil
susu,telur,gula,daging dan lain-lain.
Umumnya memang terdapat
kaitan yang tidak langsung di antara makanan/minuman dan kanser samada
kaitan yang positif (meningkatkan risiko) ataupun negatif (mengurangkan
risiko). Terdapat juga yang tidak ada kaitan langsung. Kaitan ini
ditemui melalui kajian2 pemerhatian ("observational study"), "case
control study" dan kajian cohort ( "cohort study") yang walaupun
melibatkan sampel yang besar tetapi bukanlah kajian yang terbaik. Memang
sangat sukar untuk menjalankan kajian berkualiti tinggi untuk melihat
kaitan antara makanan dan kanser kerana terlalu besarnya variasi makanan
manusia (kuantiti dan kualiti) dan terlalu banyak faktor2 sampingan
lain yang mempengaruhi kaitan tersebut. Tidak hairanlah mengapa hasil
dari kajian2 ini memberi keputusan yang bercanggah dan jarang konsisten.
Jika ada kaitan sekalipun ianya bukan faktor penyebab utama yang
bertindak secara langsung tetapi hubungan tidak langsung ataupun
asosiasi sahaja ("association").
Akibat kesilapan merujuk sumber
sesuatu maklumat maka akan terceduklah hasil2 kajian yang positif,
manakala hasil kajian yang negatif diketepikan ataupun terlepas pandang.
Penulis atau penceramah ini hanya nampak satu aspek sahaja tentang
makanan atau minuman tersebut. Maka tersebarlah berita yang tidak benar
sehingga orang ramai menganggap inilah penyebab penyakit kanser dan
terus membuangnya dari menu makanan mereka. Sedangkan prinsip amalan
kesihatan yang betul adalah amalan berdasarkan kepada pertimbangan
manfaat:mudarat. Ini termasuklah menceduk bulat2 makanan atau minuman
yang tersenarai dalam monograph karsinogen IARC tanpa memahami prinsip
monograph tersebut dan kekuatan hubungan di antara bahan yang tersenarai
dengan kanser. Monograph IARC tidak menilai pertimbangan baik buruk
sesuatu bahan sebaliknya hanya memfokuskan ciri2 penyebab kanser bahan2
tersebut walaupun ciri tersebut sangat sedikit ataupun hanya dikesan ke
atas haiwan.
Saya ingin mengambil contoh susu yang kebelakangan
ini ditularkan sebagai penyebab penyakit kanser. Susu adalah salah satu
produk tenusu. Memang terdapat kajian pemerhatian dan kohort yang besar
mengkaji kaitan antara produk tenusu termasuk susu dengan penyakit
kanser. Kualiti kajian ini bukan terbaik tetapi sederhana sahaja
walaupun kajian2 ini dikumpulkan di dalam semakan sistematik dan
metaanalisis. Jika anda hanya mengambil satu sahaja hasil kajian tentang
susu, maka anda pasti akan menemui maklumat yang berat sebelah.
Walaupun terdapat kaitan antara pengambilan susu dengan kanser prostat
(1,2), namun bukan bermaksud susu itu penyebab kanser prostat sebaliknya
ia bermaksud risiko menghidap kanser prostat lebih tinggi dalam
kalangan lelaki yang mengambil susu melebihi kadar tertentu. Malahan
kaitan yang ada itu pula sangat kecil (3). Disebaliknya pula ada kajian
lain di Amerika yang menafikan kaitan susu dengan risiko menghidap
kanser prostat (4). Bagaimana pula kaitan antara susu dan produk tenusu
dengan kanser-kanser yang lain. KANSER USUS BESAR: Kajian menunjukkan
bahawa pengambilan susu dikaitkan dengan risiko menghidap kanser usus
besar yang lebih rendah (5,6). KANSER PERUT: Kajian metanalisis terhadap
kaitan pengambilan produk tenusu dengan kanser perut telah dilakukan
dan mendapati amalan mengambil produk tenusu ini mengurangkan risiko
kanser perut (7). Manakala kajian meta-analisis yang lain pula
menunjukkan tidak ada kaitan antara pengambilan produk tenusu dengan
kanser perut (8,9). KANSER PAYUDARA: Semakan metanalisis ke atas kajian2
prospektif kohort telah menunjukkan bahawa pengambilan produk tenusu
dikaitkan dengan risiko kanser payudara yang lebih rendah (10).
Daripada hasil kajian yang dinyatakan di atas jelas menunjukkan bahawa
produk tenusu termasuk air susu mempunyai kaitan yang berbeza-beza
mengikut jenis kanser dan majoriti adalah bermanfaat. Akibat daripada
kelemahan dan kualiti kajian yang sederhana, hasil kajian yang
diperolehi juga tidak cukup kuat untuk memberi satu kesimpulan yang
muktamat. Walau bagaimanapun, satu perkara yang nyata adalah susu dan
produk2 tenusu mempunyai kebaikan ke atas manusia yakni sebagai sumber
nutrient, vitamin, mineral dan air yang baik. Di samping itu terdapat
juga hasil kajian yang menunjukkan bahawa ia mengurangkan risiko
menghidap beberapa jenis kanser iaitu kanser usus besar dan kanser
payudara. Apa yang paling penting adalah mengambil produk-produk ini
dalam kuantiti yang berpatutan di samping mengamalkan gaya hidup sihat
yang lain, bukan terus meninggalkannya sehingga terpaksa mengikat perut
dan kempunan. Keadaan yang sama juga terpakai ke atas lain-lain makanan
dan minuman termasuk satay, gula, telur, daging dan lain-lain yang
sering ditakut2kan. Setiap makanan dan minuman yang halal dan bersih itu
ada manfaatnya jika diambil dalam kuantiti yang sederhana ataupun
bersesuaian dengan kemampuan tubuh badan serta penyakit yang dihidapi
mengikut nasihat doktor dan pakar pemakanan. Hanya alahan/alergik
terhadap makanan sahaja yang memerlukan anda mengelak terus dari
mengambil makanan tersebut.
Semoga dengan penerangan ini dapat
memberi pencerahan berkenaan isu hubungan antara makanan/minuman dan
kanser khususnya terhadap pihak yang suka menyebarkan maklumat-maklumat
salah yang menakutkan tentang makanan kepada orang awam khususnya
pesakit-pesakit kanser. Kepada pesakit, rujuklah pakar yang merawat anda
untuk maklumat yang lebih tepat.
DDr Rushdan Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
18hb Jan 2020
RUJUKAN
1. Qin LQ, Xu JY, Wang PY,et al. Milk consumption is a risk factor for prostate cancer: meta-analysis of case-control studies. Nutr Cancer, 2004;48(1):22-7
2. Aune D, Navarro Rosenblatt DA, Chan DS, et al. Dairy product, calcium, and prostate cancer risk: a systematic review and meta-analysis of cohort studies. Am J Clin Nutr, 2015;101(1):87-117
3. Gao X, LaValley MP, Tucker KL. Prospective studies of dairy product and calcium intakes and prostate cancer risk: A meta-analysis. J Natl Cancer Inst, 2005 Dec 7;97(23):1768-77
4. Preble I et al. Dairy Product Consumption and Prostate Cancer Risk in the United States. Nutrients. 2019 Jul; 11(7): 1615
5. Cho E, Smith-Warner SA, Spiegelman D, et al. Dairy foods, calcium and colorectal cancer: a pooled analysis of 10 cohort studies. J Natl Cancer Inst, 2004;96(22):1724
6. Aune D, Lau R, Chan DS, et al. Dairy products and colorectal cancer risk: a systematic review and metaanalysis of cohort studies
7. Guo Y, Shan Z, Ren H, Chen W. Dairy consumption and gastric cancer risk: A meta-analysis of epidemiological studies. Nutr Cancer, 2015;67(4):555-68
8. Sun Y, Lin LJ, Sang LX, et al. Dairy product consumption and gastric cancer risk: A meta-analysis. World J Gastroenterol, 2014; 20(42):15879-98
9. 7. Tian SB, Yu JC, Kang WM. Association between dairy intake and gastric cancer: A meta-analysis of observational studies. PloS One July 9;9(7):e101728
10. Dong JY, Zhang L, He K, Qin LQ. Dairy consumption and risk of breast cancer: A meta-analysis of prospective cohort studies. Breast Cancer Res Treat, 2011 May;127(1):23-31
No comments:
Post a Comment