Saturday 18 January 2020

MENGAPA MANUSIA MENGUAP





Tidak ada manusia yang tidak pernah menguap, malahan bayi di dalam kandungan pun menguap. Manusia menguap semenjak dari dalam rahim hingga ke hujung hayat. Mengapa manusia menguap dan apakah manfaat menguap. Menguap adalah perbuatan di luar kawalan membuka mulut dengan luas serentak dengan tarikan nafas yang dalam melalui mulut serta hidung dan kemudiannya diikuti dengan hembusan nafas keluar secara perlahan. Menguap sebenarnya melibatkan proses yang kompleks di mana berlaku pergerakan atau pengecutan otot2 secara tersusun(coordinated) melibatkan otot dada, diaphragm, tekak dan langit mulut. Purata masa seseorang menguap adalah 5 saat. Kadang kala, menguap juga diikuti dengan regangan tangan dan pusingan badan. Kita tidak boleh menguap atas arahan.

Menguap selalunya dikaitkan dengan seorang yang mengantuk dan malas jadi perbuatan menguap ini mendapat reputasi yang kurang baik jika berlaku di hadapan orang lain. Kajian sains tentang menguap masih dijalankan dan ahli sains belum dapat memahami dengan mendalam tentang menguap. Terdapat banyak teori mengenai bagaimana berlakunya menguap.

Mengantuk adalah punca paling kerap mengapa seseorang menguap. Anda merasa bosan apabila ransangan dari luar tidak dapat mengekalkan tarikannya ke atas anda. Ini menyebabkan anda rasa mengantuk kerana berlakunya ransangan ke atas sistem yang menyebabkan mengantuk.  Pada ketika ini, minda anda perlu berusaha untuk mengekalkan hubungan dengan persekitaran luar jadi berlakulah menguap yang dianggap tindakan meningkatkan kesedaran. Ahli sains mendapati pada ketika menguap, kadar denyutan jantung meningkat dengan ketara. Menguap juga didapati menekan carotid body akibat bukaan rahang semasa menguap yang kemudiannya bertanggungjawab meransang penghasilan hormone seperti adenosine dan katekolamin yang bertanggungjawab mencetuskan tindakbalas kesedaran. Kebanyakan menguap berlaku apabila kurangnya interaksi di sekellling anda seperti ketika menghadiri kuliah, belajar, memandu dan menonton TV.

Ahli sains juga percaya bahawa salah satu lagi fungsi menguap adalah untuk mengawal suhu otak. Kajian ke atas otak haiwan menunjukkan bahawa suhu otak di bahagian prelimbik meningkat sebelum menguap tetapi menurun dan mencecah tahap normal  3 minit selepas menguap. Menguap dikesan berlaku ke atas manusia semasa kejadian hipertermia dan renjatan panas. Ahli sains mendapati kekerapan menguap berkurangan apabila meletakkan pek ais di dahi dan meningkatkan kekerapan menguap apabila pak panas digunakan. Ini mencadangkan kaitan antara kawalan suhu otak dengan menguap.

Pengecutan dan kerehatan otot muka yang berlaku ketika menguap meningkatkan bekalan darah ke bahagian muka. Bukaan mulut yang besar dan tarikan nafas yang dalam juga menyejukkan udara yang masuk dan mungkin member kesan ke atas suhu darah yang mengalir dari paru-paru ke otak. Kadangkala air mata keluar semasa menguap dan ini dipercayai dapat melepaskan suhu panas dari tengkorak. Pesakit yang mengalami multiple sclerosis, sawan, migraine, kerisauan, stress, kecederaan kepala dan angin ahmar seringkali didapati mengalami menguap yang kerap. Ada yang mengalami pengurangan gejala selepas menguap. Berkemungkina keadaan2 ini menyebabkan peningkatan suhu badan dan gangguan kawalan suhu dan menguap dikatakan mencuba untuk memulihkan gangguan suhu ini.

 Menguap juga dikatakan berlaku apabila melihat orang lain menguap, ini dikenali sebagai menguap yang berjangkit (contagious yawning). Dipercayai ini adalah tindakan bawah sedar empati. Penemuan ini diperolehi daripada kajian melihat reaksi subjek yang dipertontonkan video orang yang sedang menguap walaupun kesan ini hanya berlaku ke atas subjek yang berusia lebih daripada 4-5 tahun. Jadi menguap mungkin mempunyai sebahagian daripada tingkahlaku empati dan proses komunikasi di antara manusia.

Menguap boleh melegakan ketidakselesaan dalam telinga dan mengurangkan masalah pendengaran setengah orang akibat perubahan kedudukan badan dari rendah ke tempat tinggi semasa menaiki kapalterbang dan lif.Apabila menguap, tiub Eustachian akan terbuka. Nampaknya menguap mampu menyeimbangkan tekanan di dalam telinga dengan tekanan di luar.

Pada masa dahulu, menguap dipercayai berlaku akibat  bekalan darah ataupun oksigen ke otak terjejas dan apabila menguap, udara kotor dikeluarkan daripada paru-paru dan meningkatkan bekalan oksigen ke otak. Walau bagaimanapun, kepercayaan ini didapati tidak tepat kerana kajian mutakhir menunjukkan kekerapan menguap tidak berubah apabila subjek diberi udara yang bercampur samada mengandungi lebih gas karbon dioksida ataupun oksigen yang tulin. 

Di dalam kes-kes terpencil, menguap yang terlalu kerap boleh menjadi petunjuk kepada masalah kesihatan yang lain seperti kesukaran untuk tidur (insomnia), kerisauan (anxiety), kesan sampingan ubat (antihistamine, antidepressants), kemurungan, angin ahmar, epilepsi, multiple sclerosis dan ketumbuhan otak.

Menguap adalah perbuatan spontan yang dialami oleh manusia dan ahli sains berpendapat yang masih banyak perkara yang tidak diketahui mengenainya.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor
19hb Jan 2020

RUJUKAN


Gupta S, Mittal S. Yawning and its physiological significance. International J of Applied and Basic Med Research. 2013;3(1):11-15




No comments:

Post a Comment