Pakar Perunding Kanan Obstetriks & Ginekologi
Penjagaan Pra-Kehamilan adalah penjagaan kesihatan sebelum seseorang
wanita itu hamil. Penjagaan pra-kehamilan merujuk kepada penjagaan
kesihatan yang diberikan kepada semua wanita yang berkemampuan untuk
hamil samada sedang berusaha untuk hamil dalam masa terdekat ataupun
tidak. Perkhidmatan pra-kehamilan juga perlu melibatkan suami. Program
penjagaan kesihatan ini akan terlebih dahulu mengenalpasti wanita yang
berisiko mengalami masalah kesihatan ketika hamil samada ke atas diri
mereka ataupun anak yang dikandung. Selepas mengenalpasti
individu-individu ini, mereka akan disyorkan untuk menjalani kaunseling,
rawatan perubatan, pendidikan dan juga panduan tingkahlaku sebelum
mereka hamil. Penjagaan prakehamilan yang baik akan menjamin proses
kehamilan dan kelahiran yang lebih selamat dan ini juga dapat
mengurangkan kadar kematian ibu. Banyak kes-kes kematian ibu di negara
kita disebabkan oleh kelemahan di peringkat penjagaan pra-kehamilan.
Penjagaan pra-kehamilan ini dipercayai mula diperkenalkan oleh Chamberlain di dalam tahun 1980 an. Pada asalnya penjagaan pra-kehamilan ini disasarkan ke atas wanita yang pernah mengalami masalah kehamilan yang lalu, walau bagaimanapun pada hari ini program ini dikembangkan kepada semua wanita-wanita di dalam lingkungan usia reproduktif yakni yang berkemampuan untuk hamil. Mensasarkan hanya kepada wanita-wanita yang mempunyai risiko-risiko kehamilan sahaja akan menyebabkan manfaat penjagaan prakehamilan ini tidak dapat dikecapi oleh hampir 50% wanita-wanita lain. Ini disebabkan proses kehamilan sukar diramal kerana ramai dalam kalangan wanita yang tidak mengalami masalah kehamilan terdahulu boleh mengalami komplikasi kehamilan di masa hadapan.
Penjagaan pra-kehamilan
merangkumi saringan risiko, kaunseling,pendidikan dan juga rawatan ataupun
intervensi ke atas wanita yang berhajat untuk hamil ataupun yang berkemungkinan
mengalami kehamilan tidak terancang. Penjagaan antenatal iaitu ketika seseorang
itu sudah hamil dikira peringkat yang lewat kerana pada ketika itu kehamilan
sudah berlaku dan anak sudah wujud di dalam kandungan. Tambahan pula pada ketika awal kehamilan,
bayi di dalam kandungan sangat berisiko untuk mengalami kecacatan jika
kesihatan ibu tidak berada di dalam keadaan yang optima. Wanita-wanita yang
sihat juga dapat manfaat daripada penjagaan pra-kehamilan kerana ada
amalan-amalan tertentu yang boleh mengurangkan risiko kecacatan bayi contohnya
mengambil asid folik sebelum hamil dapat mengurangkan kadar kecacatan bayi
yang dikenali sebagai “neural tube defects”.
Jadual 1 di bawah
menunjukkan organ-organ yang terbentuk mengikut usia kandungan, perhatikan
bahawa pada 12 minggu pertama, banyak organ-organ penting di dalam badan bayi
yang sedang berkembang. Pada peringkat perkembangan awal inilah, organ-organ
ini lebih mudah terkesan dengan sebarang masalah kesihatan yang dialami oleh
ibu ataupun apa-apa bahan yang diambil oleh ibu yang boleh berpindah kepada
bayi. Umumnya selepas 11 minggu usia kandungan, hampir semua organ-organ
penting seorang bayi akan terbentuk dengan lengkap dan selepas tempoh ini, bayi
ini dianggap lebih selamat jika terdedah kepada bahan-bahan ataupun factor-faktor yang
boleh merosakkan organ-organ.
Jadual 1 : Usia bayi di
dalam kandungan dan proses pembentukan organ-organ penting di dalam
kandungan
Terdapat lebih daripada 10 komponen penjagaan pra-kehamilan dan setiap komponen
telah menjalani penilaian tentang tahap kekuatan bukti dan kesahihan yang
dilakukan oleh badan berkuasa yang berautoriti contohnya oleh panel
jawatankuasa yang dicadangkan oleh Centers for Disease Control (CDC). Berikut adalah 4 matlamat yang
hendak dicapai melalui penjagaan pra-kehamilan:
Matlamat 1: Meningkatkan
pengetahuan, memperbaiki sikat dan tingkahlaku wanita dan lelaki berkaitan
dengan kesihatan pra-kehamilan.
Matlamat 2: Memastikan
semua wanita yang berada pada usia reproduktif (15-50 tahun) menerima penjagaan
pra-kehamilan sehingga mereka dapat membuat keputusan samada untuk hamil ataupun
tidak dan jika mereka hamil, kehamilan mereka adalah selamat.
Matlamat 3: Mengurangkan
risiko kesihatan berdasarkan kepada sejarah komplikasi kehamilan yang lalu
melalui intervensi ataupun penjagaan sebelum kehamilan akan datang. Dengan
intervensi awal ini, risiko untuk mengalami komplikasi yang sama ketika
kehamilan akan datang dapat dicegah ataupun diminimakan.
Matlamat 4 : Mengoptimakan kesihatan ibu sebelum hamil bagi memastikan ibu dan anak yang bakal dilahirkan adalah sihat dan selamat. Ini juga dapat mengurangkan kadar kematian ibu dan bayi.
Matlamat 4 : Mengoptimakan kesihatan ibu sebelum hamil bagi memastikan ibu dan anak yang bakal dilahirkan adalah sihat dan selamat. Ini juga dapat mengurangkan kadar kematian ibu dan bayi.
Banyak kajian telah
dilakukan dan menunjukkan bahawa penjagaan pra-kehamilan memainkan peranan
penting di dalam mengurangkan komplikasi kehamilan dan memperbaiki mutu
kesihatan ibu dan anak yang akan dilahirkan. Contoh yang paling baik adalah
kesan penjagaan pra-kehamilan ke atas wanita yang menghidap diabetes. Kajian
telah menunjukkan bahawa insiden kecacatan major dan keguguran seseorang ibu
yang menghidap diabetes dapat dikurangkan apabila penyakit diabetes dikawal dengan
sempurna sebelum hamil. Jadual di bawah menunjukkan dua keadaan di mana
penyakit diabetes dikawal dengan baik dan satu lagi tidak dikawal dengan baik.
Perhatikan bahawa komplikasi kehamilan jauh lebih tinggi jika diabetes tidak
dikawal dengan baik sebelum seseorang wanita itu hamil.
Jadual 2: Perbandingan
di antara pesakit diabetes yang mendapatkan penjagaan prakehamilan yang
sempurna berbanding dengan wanita yang tidak mengawal penyakit diabetesnya
dengan baik sebelum hamil.
Diabetes
dikawal dengan baik
|
Diabetes
yang tidak dikawal dengan baik
|
|
Tahap HBA1c (%)
|
7.3
|
8.4
|
Komplikasi kehamilan
(%)
|
24%
|
47%
|
Sakit tidak cukup
bulan (%)
|
16%
|
37%
|
Kecacatan bayi (%)
|
1.5%
|
8.5%
|
Kematian bayi (%)
|
1%
|
6.4%
|
Di
negara kita memang
terdapat program saringan pra-kehamilan dan perkhidmatan klinik
pra-kehamilan
samada di peringkat Klinik Kesihatan ataupun Hospital. Petugas akan
melakukan
saringan dan akan merujuk kes-kes tertentu yang memerlukan penjagaan
khusus.
Petugas-petugas ini akan menggunakan borang soal selidik untuk menyaring
wanita-wanita yang layak dan jika wanita ini dikesan mempunyai risiko
maka
mereka akan dirujuk untuk menghadiri Klinik Prakehamilan. Terdapat juga
perkhidmatan saringan dan Klinik Pra-kehamilan yang dijalankan serentak
supaya
wanita-wanita ini tidak berlu berulang alik. Tidak kira apakah kaedah
yang
diamalkan, setiap wanita yang telah disaring dan telah dirujuk hendaklah
hadir
ke Klinik Pra-kehamilan jika mereka ingin mendapat manfaat daripada
perkhidmatan
ini. Walaupun wanita tersebut belum merancang untuk hamil, kehadiran
mereka ke klinik pra-kehamilan akan membuka mata mereka betapa
pentingnya penjagaan prakehamilan jika satu hari nanti mereka merancang
untuk hamil.
KOMPONEN PENJAGAAN
PRA KEHAMILAN
Semua wanita dan juga
pasangan mereka akan digalakkan supaya membuat perancangan tentang masa depan
mereka daripada aspek kehamilan dan bilangan anak. Mereka juga perlu merancang
jarak masa di antara kehamilan dan juga jenis merancang keluarga yang akan diamalkan.
Wanita yang mengalami
masalah kegemukan ataupun obesiti sangat disyorkan supaya dapat menurunkan
berat badan sebelum hamil. Mereka digalakkan supaya mendapatkan berat badan
yang unggul melalui langkah penjagaan pemakanan dan juga senaman. Manakala
wanita-wanita yang berat badan terlalu rendah (BMI ≤ 19.8 kg/m2 ) juga mempunyai risiko jika mereka hamil,
jadi golongan ini perlu meningkatkan berat badan mereka.
Status pemakanan dan
nutrisi wanita-wanita perlu dinilai dan jika terdapat bukti yang wanita ini
mengalami masalah kekurangan zat makanan, ianya perlu dipulihkan sebelum mereka
hamil. Mereka mungkin perlu dirujuk kepada pakar pemakanan ataupun pakar
perubatan.
Semua wanita yang
berhajat untuk hamil disyorkan untuk mengambil asid Folik sebanyak 400
mikrogram setiap hari, 3 bulan sebelum hamil.
Status imunisasi mereka
perlu dikemaskini contohnya imunisasi tetanus-diphtheria-pertussis, campak dan
rubella perlu diambil mengikut jadual. Semua wanita yang berisiko tinggi kepada
jangkitan Hepatitis B perlu mendapatkan imunisasi Hepatitis B sebelum hamil
untuk mengurangkan risiko transmisi jangkitan kepada anak di dalam kandungan.
Jika mereka belum lagi kebal kepada jangkitan rubella, suntikan vaksin rubella
perlu diberikan. Setelah suntikan vaksin Rubella diberikan, wanita ini tidak
boleh hamil sekurang-kurangnya selama 3 bulan.
Bahaya merokok dan
mengambil alcohol akan ditekankan semasa sesi kaunseling dan pendidikan. Jika
wanita ini mempunyai risiko dijangkiti penyakit bawaan seks, mereka perlu
menjalani kaunseling, khidmat nasihat dan jika perlu akan dirujuk kepada pakar
untuk rawatan.
Semua
wanita dan suami
mereka digalakkan untuk mengetahui status samada mereka dijangkiti oleh
virus
HIV ataupun tidak, terutama jika salah seorang ataupun kedua-duanya
mempunyai faktor yang berisiko tinggi. Wanita yang sudah dijangkiti
virus HIV tidak digalakkan untuk hamil dan perlu mengamalkan kaedah
merancang keluarga yang sesuai dan selamat. Jika mereka masih ingin
untuk
hamil, mereka ini akan diberi kaunseling dan rawatan yang perlu bagi
mengurangkan
risiko jangkitan ke atas bayi di dalam kandungan. Wanita-wanita juga
perlu
disaring untuk penyakit-penyakit bawaan seks yang lain seperti jangkitan
Clamydia dan Syphilis.
Masalah-masalah
perubatan seperti diabetes, penyakit kelenjar tiroid, darah tinggi, penyakit
buah pinggang, penyakit jantung dan lain-lain perlu dirawat dengan sempurna
sebelum hamil. Terdapat juga penyakit-penyakit yang menyebabkan wanita ini
tidak boleh hamil kerana risiko kematian yang tinggi. Setiap wanita perlu
diterangkan tentang betapa pentingnya untuk mengawal gula darah sebelum hamil.
Mereka perlu memastikan tahap HBA1c mereka adalah normal sekurang-kurangnya 1
bulan sebelum mencuba untuk hamil bagi mengurangkan risiko kecacatan bayi. Jika
diabetes mereka tidak dikawal dengan baik, mereka patut terlebih dahulu
mengamalkan perancang keluarga. Wanita yang mengalami penyakit sawan perlu
memastikan penyakit mereka dikawal dengan baik sebelum hamil kerana kehamilan
boleh meningkatkan serangan sawan, sawan ketika hamil boleh memudaratkan anak
serta ibu dan terdapat ubat-ubat anti-sawan yang boleh memudaratkan bayi di
dalam kandungan. Wanita yang menghidap penyakit darah tinggi perlu mengambil
perhatian bahawa jika mereka hamil, mereka boleh mengalami masalah berganda dan
terdapat ubat-ubat darah tinggi yang tidak boleh diambil ketika hamil seperti
ACE inhibitors dan Angiotensin-receptor blockers. Wanita yang mengalami
Rheumatoid Arthritis boleh mengalami serangan yang lebih kerap semasa hamil dan
terdapat ubat-ubat yang tidak boleh diambil seperti methotrexate dan
leflunomide. Wanita yang mengalami penyakit buah pinggang perlu memastikan
penyakit mereka itu dikawal dengan baik kerana penyakit ini mungkin boleh
menjadi lebih serius ketika hamil, ini akan memudaratkan ibu dan anak. Pesakit
buah pinggang juga selalu mengalami tekanan darah tinggi, ubat untuk merawat
tekanan darah tinggi perlu ditukarkan kepada ubat yang lebih selamat jika mereka
hamil. Penyakit jantung adalah salah satu masalah perubatan yang utama dalam
kalangan wanita yang hamil di negara kita. Pesakit jantung wajib menghadiri
klinik pra-kehamilan supaya status penyakit mereka dapat dinilai dan pakar
jantung dapat memberi nasihat sewajarnya sebelum mereka mengambil keputusan
untuk hamil. Terdapat beberapa jenis penyakit jantung yang jika dialami ketika
hamil boleh membawa risiko kematian yang tinggi ke atas ibu, di dalam keadaan
ini, pakar jantung mungkin akan menasihati wanita ini supaya tidak hamil. Di
antara penyakit jantung yang membawa risiko kematian yang tinggi ke atas ibu hamil
adalah Primary Pulmonary Hypertension, Cardiomyopathy, Eisemenger’s syndrome
dan beberapa jenis lagi. Pesakit Asma boleh mendapat serangan asma yang lebih
kerap ketika hamil dan mereka perlu memastikan rawatan asma mereka sudah
terkawal sebelum hamil. Jika penyakit asma mereka tidak dikawal dengan baik,
wanita-wanita ini perlu mengamalkan perancang keluarga yang berkesan supaya
mereka tidak hamil di dalam keadaan penyakit yang belum stabil.
Wanita
yang mengalami
masalah psikitri seperti kemurungan dan psikosis perlu memastikan
penyakit yang
mereka alami ini dikawal dengan baik sebelum hamil. Masalah kemurungan
yang
dialami oleh wanita diketahui boleh membawa kesan negative ke atas
kehamilan
termasuk meningkatnya risiko kelahiran tidak cukup bulan.
Pesakit-pesakit
psikosis seperti bipolar disease dan schizophrenia pula adalah penyakit
psikiatri yang serius dan pesakit-pesakit ini mungkin akan mengalami
gejala
yang lebih kerap apabila hamil terutamanya jika mereka tidak mengambil
ubat
dengan tetap. Kaedah perancang keluarga yang sesuai perlu disyorkan
kepada
wanita-wanita ini. Wanita yang mengalami masalah psikiatri yang serius
ini memerlukan sokongan pihak suami dan suami perlu terlibat di dalam
proses penjagaan pra-kehamilan.
Sejarah yang lalu boleh
juga menjadi petunjuk kepada kemungkinan wanita ini boleh membawa baka ataupun
gene yang menyebabkan kecacatan anak. Sejarah generasi yang lalu perlu diambil
dan jika memang terdapat kecenderungan
untuk menyebabkan kecacatan anak melalui keturunan, maka wanita ini perlu
terlebih dahulu dirujuk kepada kaunselor genetic sebelum hamil.
Terdapat ubat-ubat yang
boleh menyebabkan kecacatan bayi, jadi penjagaan pra-kehamilan dapat menyediakan
peluang mendapatkan kaunseling dan nasihat mengenai ubat-ubat ini supaya ianya
boleh ditukarkan kepada ubat-ubat yang lebih selamat diamalkan ketika hamil.
Jika wanita ini sedang mengamalkan pengambilan suplemen ataupun herba-herba,
maka mereka disyorkan untuk berhenti mengambilnya sebelum hamil kerana
kebanyakan suplemen dan herba-herba ini tidak diketahui kandungannya.
Terdapat
keadaan-keadaan
di mana masalah kehamilan dan kelahiran boleh berulang jika wanita itu
hamil semula. Wanita yang menjalani pembedahan caesarean section semasa
kehamilan yang lalu perlu mendapat nasihat mengenai jarakmasa yang
sesuai
sebelum boleh hamil semula. Di samping itu doktor juga boleh menasihati
wanita
ini tentang kaedah kelahiran yang akan datang. Terdapat juga wanita yang
menghadapi masalah kelahiran tidak cukup bulan dan diketahui puncanya,
maka
jika punca ini tidak dirawat sebelum mereka hamil, risiko kelahiran
tidak cukup bulan akan dapat dikurangkan. Begitu juga wanita-wanita yang
mengalami
keguguran yang berulangkali sebanyak lebih daripada 2 kali, mereka perlu
menjalani pemeriksaan dan penyiasatan untuk mengenalpasti punca
keguguran
tersebut. Jika punca keguguran ini dapat dikesan dan dirawat sebelum
mereka
hamil, maka mereka mempunyai peluang yang lebih cerah untuk menimang
cahaya
mata pada kehamilan yang akan datang.
Terdapat juga
golongan-golongan tertentu yang memerlukan perhatian khusus sebelum mereka
berusaha untuk hamil. Wanita yang mengalami kecacatan ataupun ketidakupayaan seperti
kecacatan tulang pelvis, kehilangan anggotan badan dan lain-lain perlu mendapat
kaunseling dan nasihat terlebih dahulu supaya mereka dapat menyediakan diri di
peringkat yang lebih awal sebelum hamil. Mereka juga akan mendapat maklumat
mengenai apakah masalah dan komplikasi yang bakal dihadapi jika mereka hamil. Terdapat
juga pesakit kanser yang berhajat untuk hamil. Ini adalah pesakit kanser yang
sudah sembuh daripada rawatan. Mereka perlu diberikan maklumat berkenaan dengan
kesan rawatan ke atas organ peranakan dan juga benih. Ada rawatan kanser yang
menyebabkan mereka sukar hamil ataupun putus haid pada usia yang lebih muda.
Walau bagaimanapun, terdapat juga pesakit kanser yang mudah untuk hamil tetapi
kehamilan yang berlaku terlalu awal akan mendedahkan wanita ini kepada risiko
kehamilan termasuk anak yang tidak cukup bulan dan terencat tumbesaran.
Penjagaan pra-kehamilan
juga merangkumi pendidikan ke atas suami kerana ada tabiat-tabiat suami boleh
mempengaruhi kesihatan isteri dan anak seperti merokok, melakukan aktiviti seks
rambang sehingga dijangkiti penyakit bawaan seks, suami yang menghidap penyakit
AIDs dan lain-lain lagi. Begitu juga dengan status kesihatan mental suami yang
boleh memberi impak ke atas keluarga keseluruhannya. Maka penjagaan
pra-kehamilan dianggap tidak lengkap jika hanya menumpukan perhatian kepada kaum
wanita semata-mata.
KESIMPULAN
Penjagaan pra-kehamilan
adalah salah satu komponen penjagaan kesihatan yang sangat penting bagi
memastikan seseorang wanita yang merancang untuk hamil berada di dalam keadaan
kesihatan yang optima apabila mereka hamil kelak. Komplikasi kehamilan dan kelahiran sangat bergantung
kepada status kesihatan wanita sebelum hamil. Wanita yang tidak sihat sebelum
hamil bakal menghadapi masalah ketika hamil dan ketika melahirkan anak. Kajian
telah membuktikan bahawa penjagaan pra-kehamilan yang optima akan mengurangkan
risiko kepada ibu dan anak ketika hamil. Penjagaan pra-kehamilan merangkumi
kesihatan fizikal dan juga kesihatan mental kerana kedua-duanya sangat penting
serta boleh menentukan samada kehamilan berjalan dengan baik sehingga kedua-dua
ibu dan anak yang dilahirkan akan berada di dalam keadaan yang sihat.
RUJUKAN
1.
Cefalo RC, Moos MK. Preconceptional health
care: A practical guide. St.Louis:Mosby,1995
2.
Allaire AD, Cefalo RC. Preconceptional health
care model. European J of O&G and Reprod Bio. 1998;78:163-168
3.
Jack BW, Atrash H, Bickmore T, Johnson K. The
future of preconception care. A Clinical Perspective. Women’s Health Issues
.2008;18S:S19-S25
4.
Jack BW, Atrash H, Coonrod DV, et al. The
clinical content of preconception care: an overview and preparation of this
supplement. Americal J of O&G, Dec 2008; S266-S278.
5.
Miodovnik M, Rosenn B, Combs CA, Khoury J,
Siddiqi TA. Pre-conception management of insulin-dependent diabetes:
improvement of pregnancy outcome. Obstet Gynecol;1991; 77:846-849.
TIDAK
DIBENARKAN SESIAPA MENGAMBIL ISI KANDUNGAN RENCANA INI DAN DISIARKAN DI
DALAM APA BENTUK PENYIARAN TANPA KEBENARAN PENULIS.
No comments:
Post a Comment