Thursday 30 January 2020

BAGAIMANA KELAWAR MAMPU MEMBAWA BEGITU BANYAK VIRUS PENYEBAB WABAK




Tentu kita tertanya2 mengapa kelawar seringkali disebut2 sebagai haiwan pembawa penyakit di dalam wabak penyakit yang melibatkan virus. Di antara virus2 yang dikaitkan dengan kelawar adalah Ebola, Marburg, Hendra, Nipah, Influenza, MERS-CoV, SARS-CoV dan yang terbaru adalah 2019 nCoV (virus Wuhan). Kesemua virus2 ini sangat menakutkan kerana ia boleh menyerang manusia dan ada antaranya menyebabkan kematian pada kadar yang tinggi. Apa yang peliknya, kelawar yang membawa virus2 ini tidak mengalami masalah kesihatan dan dapat hidup lama sehingga 40 tahun. Penyelidik mengkaji 100 jenis coronavirus yang berbeza dan mendapati 98% daripada haiwan yang menyimpan virus ini adalah kelawar. Walau bagaimanapun kebanyakan daripada virus yang dibawa oleh kelawar adalah tidak merbahaya kepada manusia. Apakah keunikan kelawar sehingga mampu menjadi perumah kepada banyak jenis virus.

Asalnya penyelidik berpendapat bahawa semua haiwan boleh membawa virus. Mereka mengkaji 586 jenis virus yang mampu menjangkiti mamalia dan kemudian menyenarai-pendek virus2 yang boleh merebak daripada haiwan kepada manusia dan menyebabkan penyakit zoonotik. Apa yang mengejutkan adalah kebanyakan virus2 yang menyebabkan penyakit zoonotik ini ditemui di dalam kelawar termasuk 17 lagi jenis virus zoonotik yang belum dikenalpasti. Dari sinilah penyelidik berpendapat bahawa kelawar memang haiwan yang unik dan mempunyai keupayaan untuk membawa banyak virus2 tanpa memudaratkan diri mereka. Keupayaan ini diperolehi melalui proses adaptasi dan evolusi yang sangat panjang.

Ahli sains tertanya2 bagaimana kelawar dapat bertahan daripada virus yang hidup di dalam diri mereka. Pakar virologi di Institut Virologi Wuhan mendapati kemampuan kelawar ini terletak kepada satu protein yang dikenali sebagai STING (Stimulator of Interferon Genes) yang dikod oleh gene TMEM173. STING memainkan peranan penting di dalam sistem imun tidak spesifik (“Innate immunity”) melalui ransangan sel darah putih untuk menghasilkan interferon 1 apabila sel dijangkiti oleh virus. Interferon 1 adalah pertahanan pertama yang digunakan oleh tubuh untuk melawan kemasukan virus. Inteferon ini sepatutnya akan membantu melancarkan tindakbalas badan ke atas jangkitan. Apa yang menarik di dalam kelawar adalah berlaku kelainan gene (mutasi gene) yang menghasilkan STING. STING yang terhasil oleh kelawar ini meransang penghasilan interferon 1 pada kadar yang lebih rendah sehingga tidak cukup untuk mematikan/menghalang virus yang masuk ke dalam badan mereka. Pada waktu yang sama disebabkan oleh tindakbalas imun yang lebih rendah ini, virus tidak mati dan saki baki sistem pertahanan yang ada dapat mengawal badan kelawar daripada menerima akibat buruk oleh jangkitan. Berbeza dengan manusia pula, STING meransang penghasilan interferon pada kadar yang tinggi dan apabila jangkitan virus berlaku, walaupun ransangan ini perlu untuk melawan virus namun kadangkala akibat ransangan yang keterlaluan, tisu2 badan yang normal juga akan mengalami kecederaan/keradangan ataupun di dalam istilah mudah “memakan diri sendiri”, juga dikenali sebagai “kesan autoimun”. Begitulah salah satu penemuan ahli sains yang dapat menjelaskan keunikan kelawar. Kajian lanjut masih diteruskan untuk memahami dengan lebih mendalam berkenaan kemampuan kelawar dan virus2 yang dibawa oleh mereka.

Walaupun kelawar dianggap sebagai perumah kepada banyak virus2 merbahaya yang ada diantaranya telah membunuh beribu2 orang manusia, namun haiwan ini bukannya buruk dalam semua segi, ia juga bermanfaat di dalam keseimbangan ekosistem, membantu proses pendebungaan, mengawal populasi serangga, sumber makanan haiwan dan lain-lain lagi. Manusia patut membiarkan kelawar hidup di dalam habitat mereka tanpa diganggu, tidak menjadikan kelawar sebagai haiwan peliharaan dan yang pasti mereka bukanlah sumber makanan manusia. Memandangkan kelawar juga adalah sumber makanan haiwan2 yang lain ataupun kadangkala mempunyai kontak yang dekat dengan haiwan tertentu, maka virus yang ada di dalam tubuh mereka boleh berpindah kepada haiwan2 tersebut. Manusia boleh mendapat jangkitan virus daripada binatang2 ini melalui kontak yang dekat (“close contact”) termasuk mengendalikan haiwan2 ini untuk dijual dan dimakan ataupun dengan memakan daging mereka yang tidak dimasak dengan baik dan tidak bersih.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Noor
31hb Jan 2020






RUJUKAN

Jiazheng Xie, Yang Li, Xurui Shen, Geraldine Goh, Yan Zhu, Jie Cui, Lin-Fa Wang, Zheng-Li Shi, Peng Zhou. Dampened STING-Dependent Interferon Activation in Bats. Cell Host & Microbe, 2018; DOI: 10.1016/j.chom.2018.01.006

https://www.medicinenet.com/script/main/art.asp?articlekey=204551

https://www.sciencemag.org/news/2017/06/bats-really-do-harbor-more-dangerous-viruses-other-species

Xie J, Li Y, Shen X et al.Dampened STING-Dependent Interferon Activation in Bat. Cell Host & Microbe, 2018;23:297-301

https://www.google.com/amp/s/www.the-scientist.com/notebook/why-bats-make-such-good-viral-hosts-64251/amp

No comments:

Post a Comment