Saturday, 25 October 2025

KESAN PLASEBO : ANTARA ETIKA DAN EKSPLOITASI PERNIAGAAN UNTUK KESIHATAN

 


Kesan plasebo ialah tindak balas positif yang dialami seseorang selepas menerima rawatan yang sebenarnya tidak mempunyai kesan terapeutik sebenar terhadap penyakitnya. Pesakit mungkin merasa lebih lega, kurang sakit, atau lebih bertenaga, bukan kerana ubat atau rawatan itu berkesan, tetapi kerana keyakinan dan kepercayaannya bahawa rawatan tersebut mampu menyembuhkan.

Fenomena ini sangat menarik dari sudut sains kerana ia menunjukkan bagaimana kuasa minda dan emosi boleh mempengaruhi tindak balas tubuh. Namun, dalam dunia perniagaan kesihatan, kesan plasebo bukan sekadar reaksi psikologi, ia juga telah menjadi sumber pendapatan besar bagi sesetengah pihak.

PERUBATAN MODEN : BERDASARKAN BUKTI DAN BUKAN KEPERCAYAAN 

Dalam perubatan moden, setiap ubat atau rawatan mesti melalui proses Evidence-Based Medicine (EBM), pendekatan berasaskan bukti saintifik, ujian klinikal, dan penilaian statistik yang ketat. Tujuannya ialah untuk memastikan bahawa sesuatu rawatan benar-benar berkesan merawat penyakit, dan bukan dari kesan plasebo semata-mata. Penyakit yang menjadi punca gejala itu turut dipulih atau dikurangkan. Rawatan hanya dianggap berkesan jika hasil kajian berjaya membuktikan kesan sembuh itu bukan dari kesan plasebo melalui kajian "placebo-controlled trial". 

Berbeza dengan banyak produk kesihatan dan kaedah rawatan alternatif di pasaran yang tidak menjalani kajian klinikal seperti ini. Kesan positif yang dilaporkan pengguna sering kali hanyalah kesan plasebo semata2, rasa sembuh yang datang daripada kepercayaan, bukan keberkesanan rawatan itu memulihkan proses penyakit yang sedang berjalan. Contohnya jika berlaku keradangan pada organ, kesan plasebo bukan bermaksud keradangan sudah dipulihkan. Kesan plasebo hanya mengurangkan sebahagian dari gejala sahaja.

KESAN PLACEBO DAN RAWATAN PENYAKIT

Gejala yang boleh memanfaatkan kesan plasebo adalah gejala ringan seperti sakit kepala, sakit sendi, lenguh badan, keletihan, sakit dada atau sesak nafas. Gejala sebegini mudah dipengaruhi oleh emosi dan tekanan psikologi. Seseorang yang tenang, disokong, dan diyakinkan akan lebih mudah merasai kelegaan, walaupun ubatnya hanya air kosong.

Sebagai contoh, jika ubat radang sendi mampu mengurangkan sakit sebanyak 70%, komunikasi positif dan empati doktor boleh menambah keberkesanan rawatan itu hingga 90% hasil daripada kesan plasebo. Ubat asthma boleh melegakan serangan sebanyak 80% dan baki 10% kesan plasebo, menjadikan kesan lega keseluruhan 90%. Dalam konteks ini, plasebo membantu memperkukuh rawatan sebenar, bukan menggantikannya.

Ada juga pesakit yang tidak menghidap apa2 penyakit fizikal tetapi mengalami gejala2 fizikal dan keadaan ini dinamakan kelainan psikosomatik. Kesan plasebo sangat berkesan untuk memulihkan gejala individu seperti ini.

APABILA KESAN PLASEBO DIJADIKAN PERNIAGAAN 

Di sinilah bermulanya sisi gelap apabila kesan plasebo dijadikan alat mencari keuntungan.

Sesiapa sahaja boleh menjadi “perawat” asalkan mampu menanam keyakinan dalam diri pesakit. Sebarang jenis atau teknik "rawatan" boleh memberi kesan plasebo, kaedahnya terbuka kepada kreativiti pengamal.Tidak perlu pengetahuan anatomi atau patofisiologi, tiada lesen perubatan, cukup dengan gaya meyakinkan, testimoni palsu, dan jenama yang sedap di telinga. 

Maka muncullah pelbagai produk dan rawatan yang kononnya menyembuhkan, air detoks, minyak aura, gelang tenaga, terapi magnet, suplemen ajaib, urutan mujarab, goresan ajaib dan jampi serapah. Kaedahnya tidak ada had, hatta ada pengamal yang menggunakan pistol laser mainan untuk hasilkan kesan plasebo.Walaupun bahan-bahannya tidak memberi kesan fisiologi sebenar, pelanggan tetap berasa lebih baik kerana percaya. Dari sinilah lahirnya industri yang modalnya kecil tetapi untungnya besar. 

BAHAYA DI SEBALIK UNTUNG 

Masalah timbul apabila pesakit menyangka dirinya telah sembuh lalu menangguhkan rawatan sebenar. Ramai pesakit menghidap penyakit kronik seperti kanser, jantung, atau darah tinggi yang semakin parah kerana bergantung kepada produk plasebo.

Ada pesakit yang mengalami kesan nosebo, iaitu tindak balas negatif akibat jangkaan buruk terhadap rawatan, seperti loya, muntah, sakit kepala, pening, sakit ulu hati atau cirit-birit, walaupun bahan yang diambil tidak berbahaya. Ini menunjukkan betapa kuatnya pengaruh psikologi terhadap tubuh manusia. Nosebo adalah kesan sampingan plasebo.

Pesakit juga boleh mengalami kesan sampingan dari kaedah rawatan yang menggunakan kesan plasebo kerana ada di antaranya melibatkan prosedur yang berisiko seperti suntikan, torehan, manipulasi tulang serta sendi dan penggunaan ubat2an yang boleh mengancam kesihatan.

ANTARA ETIKA DAN KEUNTUNGAN 

Dalam perubatan moden, kesan plasebo digunakan secara etikal sebagai nilai tambah kepada kesan sembuh oleh rawatan sebenar. Doktor digalakkan berempati, berkomunikasi dengan baik, dan meyakinkan pesakit,  kerana faktor psikologi memang menyumbang kepada penyembuhan.

Namun, apabila kesan plasebo dimanipulasi untuk keuntungan, ia menjadi penipuan kesihatan. Pengguna diperdaya membeli produk yang tidak berkesan dengan harga tinggi, hanya kerana “rasa lega sementara” dianggap bukti keberkesanan.

KESIMPULAN

Kesan plasebo sememangnya unik,  lahir daripada kuasa minda dan dizahirkan melalui perubahan fizikal. Ia boleh memberi manfaat dalam rawatan sebenar, malah menjadi sumber pendapatan besar dalam industri “wellness”. Namun, apabila disalahgunakan, kesan plasebo berubah menjadi alat penipuan yang mengancam kesihatan dan kepercayaan masyarakat.

Percaya itu tidak salah, tetapi jangan membuta tuli. Setiap pengguna wajar bertanya:

“Adakah rawatan ini benar-benar terbukti berkesan, atau saya sebenarnya hanya membayar untuk kesan plasebo?”

Dalam dunia yang sarat dengan produk “menyembuh segala”, ilmu dan bukti saintifik ialah benteng terbaik untuk melindungi diri daripada tipu daya yang berselindung di sebalik senyuman manis dan kata-kata meyakinkan.


Dato' Dr.Rushdan Noor

26hb Okt 2025

No comments:

Post a Comment