Thursday 5 December 2019

ANCAMAN SAINS PERUBATAN CACA MERBA KEPADA MASYARAKAT



Agama sangat menggalakkan perkembangan ilmu bagi tujuan manfaat kepada manusia. Pengetahuan sains perubatan moden adalah anugerah Allah yang memberi ilham kepada manusia. Sebenarnya perkembangan sains perubatan adalah salah satu petunjuk kebesaran Allah. Maka mendalami ilmu sains tidak bercanggah dengan agama. Malahan perkembangan sains perubatan moden yang ada pada hari ini sebahagiannya dicetuskan oleh sarjana-sarjana terkemuka yang beragama Islam pada masa dahulu seperti Ibnu Sina, Ibnu Rusy, Al-Razi, Ak-Zahrawi dan lain-lain. Mereka dikagumi oleh semua sarjanawan termasuk sarjana-sarjana Barat. Seorang pakar matematik Mesir beragama Islam, Al-Hasan Ibn Al-Hatym yang hidup lebih 1000 tahun yang lalu dikatakan pencetus idea kaedah saintifik yang ada pada hari ini. Saya yakin jika mereka masih hidup, mereka tentu akan berbangga dengan perkembangan teknologi perubatan moden pada hari ini.

Perkembangan dan amalan sains perubatan moden telah terbukti meningkatkan mutu kesihatan dan memanjangkan hayat manusia. Banyak jenis penyakit telah dapat dicegah dan dirawat berbanding dengan masa lampau. Purata jangkahayat manusia juga telah meningkat dari masa ke semasa. Perubatan moden hari ini seiring dengan kemajuan sains fizik contohnya yang menjadi ilmu asas di dalam menghasilkan alat2 elektronik dan pengangkutan yang kita gunakan setiap hari. Mengapa menafikan hasil penciptaan ilmu sains perubatan tapi pada waktu yang sama menerima hasil penciptaan disiplin sains yang lain.

PSEUDOSAINS ("pseudosciences") adalah kepercayaan dan amalan yang disalah-anggap sebagai saintifik tetapi sebenarnya tidak mematuhi disiplin ilmu sains moden. Perkataan sains meliputi sains biologi/perubatan, sains fizik, sains sosial dan lain-lain, maka perkataan pseudosains ini melibatkan semua bidang-bidang sains yang tersebut. PSEUDOPERUBATAN ("pseudomedicine') pula iaitu amalan perubatan berasaskan kepada pseudosains yang mewakili sains biologi/perubatan. Ada yang menggelarkan produk pseudoperubatan dengan gelaran produk s**pah. Sains dan perubatan moden menggunakan kaedah amalan berdasarkan bukti kajian saintifik ("scientific evidences") yang sangat menitikberat aspek ketepatan fakta dan keberkesanan terhadap manusia, manakala pseudosains pula banyak menggunakan andaian dan tidak memerlukan bukti kajian saintifik. Pseudosains menggunakan konsep yang bersifat subjektif, berbeza dengan sains moden yang menggunakan bukti objektif untuk menerangkan bagaimana sesuatu perkara itu terjadi. Sesuatu yang bersifat subjektif tentu sekali lebih terdedah kepada kesilapan dan berat sebelah (bias). Kesalahan terbesar pseudosains adalah membuat kesimpulan terlebih dahulu sebelum dibuktikan benar. Melalui kesimpulan yang telah ditetapkan, mereka akan mencari apa sahaja bukti ataupun alasan untuk membenarkan kesimpulan tersebut. Tidak hairanlah jika mereka seringkali menggunakan testimoni ataupun hasil kajian2 kecil dan kajian awal untuk menegakkan hujah mereka. Idea yang dibawa oleh pengamal pseudosains adalah rigid dan tidak boleh dikritik. Kritikan yang diterima akan dianggap mereka sebagai satu ancaman, jadi tidak hairanlah jika mereka akan mengeluarkan pelbagai bentuk teori konspirasi seperti konspirasi syarikat farmaseutikal, konspirasi pihak berkuasa, konspirasi Yahudi, konspirasi illuminati dan banyak lagi. Hasil dapatan pengamal pseudosains juga tidak dapat diulang ataupun dihasilkan semula ("unreproducible")  kerana dapatan itu hanya kebetulan dan tidak ada hubungan antara sebab dan akibat ("causal relationship"). Disebabkan oleh ciri-ciri pseudosains yang saya nyatakan di atas, maka pengamalnya bebas untuk mendakwa apa sahaja kemujaraban produk mereka sehingga satu jenis produk boleh merawat banyak jenis penyakit. Untuk mengetahui perbezaan antara sains dan pseudosains, baca tulisan saya di sini.

Banyak kepercayaan dan amalan pseudosains adalah diwarisi oleh pengamal perubatan zaman dahulu ketika sains moden belum berkembang. Apabila sains moden berkembang kepercayaan dan amalan yang bercanggah dengan sains moden itu masih dipegang oleh kelompok masyarakat tertentu hinggalah pada hari ini. Memandangkan manusia sangat mengharapkan untuk menjadi sihat dan sanggup berbelanja untuk tujuan tersebut, maka bidang perubatan samada perubatan alternatif ataupun perubatan moden telah menjadi satu bidang perniagaan yang sangat menguntungkan. Perubatan yang berasaskan kepada pseudosains telah menjadi salah satu bidang perniagaan dan sumber pendapatan yang lumayan, tidak hairanlah mengapa ia telah menjadi rebutan banyak pihak yang berlainan latarbelakang. 

Pada hari ini berlaku pertembungan di antara sains perubatan sebenar (saya namakan sains perubatan moden) dengan pseudosains/pseudoperubatan. Di dalam kancah pertembungan perubatan moden dan pseudosains, muncul pengamal perubatan moden yang berpaling arah seolah-olah menyokong golongan pseudosains. Mereka menjadi begini mungkin salah satu sebabnya adalah gagal menepis tarikan kuat yang berupa keuntungan wang ringgit. Tidak dapat dinafikan produk pseudosains menjanjikan keuntungan yang lebih besar kerana modal yang jauh lebih kecil berbanding dengan produk yang perlu menjalani kajian saintifik serta regulasi yang ketat dilalui oleh ubat2an moden. Walaupun pengamal perubatan moden yang berpaling arah ini nampak seperti menyokong pseudosains tetapi di dalam hati kecil mereka, saya yakin masih berpegang dengan prinsip sains moden dan ini boleh dilihat daripada gaya mereka bercakap ataupun menulis mengenai sains dan perubatan. Saya percaya, jika ahli keluarga mereka sendiri yang sakit, mereka akan mencari kaedah perubatan moden.

Satu lagi golongan yang tidak melepaskan peluang mencari pengaruh dan keuntungan daripada produk-produk pseudosains ini adalah individu2 yang memiliki gelaran terutamanya gelaran Dr. Kepada masyarakat awam gelaran Dr itu semuanya sama sahaja sedangkan gelaran Dr ini boleh juga dimiliki oleh individu yang memiliki ijazah doktor falsafah PHD yang tidak ada kena mengena dengan perubatan. Mereka ini mungkin mempunyai pengetahuan ilmu sains tetapi hanya pada peringkat asas ataupun jika peringkat lanjut hanya melibatkan ilmu-ilmu sains khusus seperti fisiologi, biokemia dan lain-lain yang cabangnya berbeza dengan sains perubatan. Ada juga yang mempelajari ilmu tumbuh2an, sains fizik,psikologi,haiwan, pertanian dan lain-lain. Banyak lagi bidang2 yang boleh digunakan untuk mendapat gelaran Dr. Di samping ijazah PHD yang sah, terdapat lambakan pemegang PHD yang memiliki sijil ini melalui jalan pintas yang diperolehi daripada institusi2 yang tidak diiktiraf terutama yang menjalankan operasi mereka di atas talian. Bidang pengajian pseudosains sendiri sudah lama diperkenalkan oleh institusi-institusi pengajian tertentu sehingga pelajarnya boleh melanjutkan pelajaran ke peringkat PHD, pendek kata pada hari ini sudah terhasil ramai pemegang PHD di dalam bidang Pseudosains. Dengan lambakan pemegang gelaran Dr yang ramai ini, muncul pelbagai produk hasil ciptaan sendiri yang dikaitkan dengan nama mereka supaya ianya nampak lebih gah dan hebat. 

Pada waktu yang sama, dalam kalangan ahli agama sendiri, terdapat pula yang berminat untuk mempelopori ilmu sains dan bercakap mengenai sains. Disebabkan tidak ada perincian di dalam Quran dan Hadith, di dalam banyak keadaan mereka mencipta sendiri fakta sains mengikut tahap kefahaman mereka yang mereka fikir selari dengan maksud ayat ataupun hadith yang ditemui. Disebabkan mereka bukan daripada aliran sains, maka mereka nampak sangat janggal apabila bercakap tentang sains. Walau bagaimanapun disebabkan oleh kefasihan bertutur dalam bahasa arab dan kepetahan membaca ayat alquran, mereka sangat berpengaruh dan mempunyai pengikut yang ramai. Saya dapati terdapat juga ahli agama yang menggunakan populariti untuk menjadi duta produk pseudosains. Mungkin ada kalangan mereka ini terpedaya kerana dipergunakan oleh pengamal pseudosains dan penjual produk.

Masyarakat hari ini sedang menyaksikan pertembungan di antara pengamal perubatan moden yang kekal dengan prinsip mereka, golongan-golongan pengamal perubatan moden yang berpaling tadah, pengamal pseudosains yang menggunakan pelbagai strategi termasuk gelaran dan ahli agama yang bercakap tentang sains mengikut kefahaman mereka. Selain daripada sains yang dibawa oleh golongan pertama di atas, sains yang dibawa oleh golongan yang lain itu saya namakan sebagai SAINS PERUBATAN CACAMERBA.

Sains perubatan cacamerba adalah cabaran yang besar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia kerana ianya memberi kesan ke atas tahap kesedaran masyarakat tentang kaedah pencegahan dan rawatan penyakit yang betul. Keujudan pseudosains ini menyebabkan masyarakat keliru dan seringkali tersalah pilih sehingga lambat mendapatkan rawatan yang lebih berkesan. Mudarat paling besar yang dibawa oleh produk2 pseudosains adalah apabila ianya didakwa boleh merawat penyakit seperti penyakit jantung, buah pinggang, hati, kanser, diabetes, stroke dan lain2 yang merupakan penyakit kronik yang serius. Akibat dari memilih pseudoperubatan, pesakit lambat menerima rawatan yang lebih berkesan. Ada juga yang berhenti menerima rawatan yang lebih berkesan untuk mencuba produk pseudosains. Jika penyakit tersebut adalah kanser, akibat dari lambat menerima rawatan kanser moden, kadar kematian pesakit lebih tinggi. Tidak ada cara lain untuk menyelesaikan masalah ini selain daripada menguatkuasakan undang-undang dan mendakwa pengamal-pengamal pseudoperubatan yang mengelirukan orang ramai. Negara kita sememangnya sudah mempunyai peraturan produk kesihatan yang ketat dan ada undang-undang yang boleh digunakan untuk mendakwa tetapi mungkin disebabkan oleh kekurangan kakitangan maka penguatkuasaan tidak dapat dilakukan sepenuhnya. Di samping itu pengeluar produk pseudoperubatan ini pula bijak memanipulasikan perkataan pada label produk mereka dengan seolah2 tidak mengaitkan produk dengan rawatan penyakit sehingga sukar didakwa sedangkan perkataan itu telah dianggap untuk tujuan merawat penyakit oleh orang awam. Pihak berkuasa perlu melihat semula peraturan2 yang sedia ada dan memperbaikinya supaya  pihak yang tidak bertanggungajawab ini tidak terlepas daripada kesalahan mengelirukan masyarakat. Mereka juga mengelirukan masyarakat melalui perkataan KELULUSAN KEMENTERIAN KESIHATAN kerana bagi masyarakat, lulus oleh KKM itu adalah pengiktirafan KKM terhadap keberkesanan produk sedangkan hakikatnya kelulusan itu hanya diberikan atas sebab ianya tidak mengandungi bahan terlarang dan pencemaran. KKM tidak pernah mengiktiraf keberkesanan untuk merawat penyakit ke atas mana-mana produk pseudoperubatan dan produk-produk yang dilabelkan sebagai produk Traditional (T) dan Suplemen (N) apatah lagi dalam kategori produk makanan.

Hasil pendapatan yang lumayan daripada perniagaan produk pseudoperubatan ini membuat mereka mampu untuk menaja rancangan dan iklan di media masa. Pihak media masa yang memerlukan dana pula tidak menolak dan mengiklankan produk-produk mereka di samping menjemput penceramah2 yang menyokong produk tersebut. Ini tentu sekali menyukarkan usaha kementerian kesihatan untuk memberi kesedaran dan pengetahuan yang betul tentang kaedah mencegah dan merawat penyakit. Media masa patut membantu pihak KKM untuk meningkatkan kesedaran masyarakat ke arah amalan hidup sihat yang betul dan kaedah rawatan yang tepat. Kesihatan adalah aset paling utama negara kerana dengan kesihatan, peruntukan untuk mencegah dan merawat penyakit dapat dikurangkan dan produktiviti negara dapat ditingkatkan.

Salah satu punca keujudan pseudosains adalah potensi besar untuk dikomersialkan melalui produk pseudoperubatan yang didakwa boleh merawat seribu satu jenis penyakit. Ada di antaranya bukan sahaja menjanjikan keuntungan kepada pengeluar dan pengedar, tetapi juga kepada pengguna yang juga bertindak sebagai jurujual. Pengeluar berjaya memerangkap pengguna dengan perkataan "anda boleh sihat dan boleh kaya". Kurangnya asas ilmu sains perubatan dalam kalangan masyarakat kita telah menjadikan mereka sasaran mudah kepada penjual2 produk pseudoperubatan. Di samping itu, internet dan media sosial telah memberi peluang kepada segala macam ilmu disebarkan sehingga sukar untuk membezakan antara ilmu yang benar dengan ilmu yang sesat. Kaedah pembelajaran sains perlu diperbaiki bagi meningkatkan minat masyarakat kepada ilmu sains moden. Di samping itu setiap masyarakat perlu memainkan peranan dengan memilih pakar rujuk yang betul dan menjauhi pengamal pseudosains dan penjual produk pseudoperubatan. Keadaan ini sama seperti memilih alim ulamak yang berwibawa sebagai sumber maklumat agama, bukan memilih pengamal ajaran sesat dan agamawan yang menyeleweng.

Dato'Dr.Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
Medical Mythbusters Malaysia

TIDAK DIBENARKAN SESIAPA MENGAMBIL SEBAHAGIAN ATAUPUN KESELURUHAN RENCANA INI TANPA KEBENARAN PENULIS

No comments:

Post a Comment