KATEGORI PERTAMA
Di negara kita, doktor2 dan pakar2 perubatan yang berdaftar dengan MMC (Malaysian Medical Council) adalah mewakili bidang perubatan moden. Mereka menerima asas pendidikan yang sama dan berpegang kepada prinsip amalan perubatan yang sama. Tamat pengajian dan selesai menjalani latihan doktor siswazah, di bawah akta perubatan 1971, mereka dikehendaki untuk memohon sijil amalan perubatan (APC) dari MMC. Tanpa APC mereka tidak boleh merawat pesakit dan boleh didakwa. Apabila mereka melanjutkan pelajaran menjadi pakar, mereka memilih salah satu cabang bidang perubatan untuk belajar dengan lebih mendalam. Apabila sah menjadi pakar, mereka akan mendaftar dengan NSR dan diberikan nombor pendaftaran NSR (National Specialist Registry). Tidak kira apa bidang sekali pun cabang2 tersebut, prinsip "evidence-based medicine" ini akan terus dipertahankan. Rujuk di pautan ini untuk mengetahui tentang "evidence based medicine": (https://www.minda2tinta.com/2019/05/perubatan-berasaskan-bukti-evidence.html). Di dalam menentukan kaedah terbaik merawat seseorang pesakit, doktor perubatan akan merujuk kepada pakar di dalam bidang2 berkenaan dan Garispanduan Amalan Klinikal (CPG). CPG ("Clinical Practice Guidelines") adalah dokumen yang dihasilkan oleh sekumpulan pakar2 di dalam sesuatu bidang yang melakukan penelitian dan pencarian maklumat berasaskan kajian klinikal yang terkini. Melalui konsensus yang dipersetujui oleh pakar2 ini, satu garispanduan penyiasatan dan rawatan akan disyorkan untuk mencegah serta merawat penyakit2 tertentu. CPG akan dikemaskinikan dari masa ke semasa supaya selari dengan penemuan terkini hasil2 kajian terbaru.
KATEGORI KEDUA
Kategori kedua adalah pengamal perubatan alternatif ataupun komplementari ataupun tradisional. Rata2 mereka tidak mempunyai latar belakang pendidikan sains perubatan. Malahan ada di antara mereka dari aliran sastera ataupun orang awam biasa yang berjinak2 dengan ilmu kesihatan. Terdapat juga mereka yang memiliki gelaran Dr dan Profesor tetapi bukan daripada bidang sains perubatan. Mereka ada mengikuti latihan samada yang formal ataupun tidak formal berkenaan dengan rawatan alternatif. Prinsip amalan dan kaedah rawatan mereka berbeza2. Kaedah pengubatan mereka dikumpulkan dalam satu kategori yang dinamakan Tradisional and Complementary Medicine (TCM). Di dalam organisasi KKM, terdapat Bahagian TCM di bawah bidang kuasa Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan). Amalan mereka di bawah pemantauan autoriti badan yang berperanan seperti MMC dinamakan TCMC (Traditional & Complementary Medicine Council). Pengamal TCM yang diiktiraf terikat dengan akta 775 TCM. Di bawah akta ini, pengamal TCM perlu berdaftar dengan TCMC dan mendapatkan sijil amalan TCM. Pada asasnya TCM adalah kaedah2 rawatan selain daripada perubatan moden yang diiktiraf oleh KKM dan berperanan sebagai kaedah rawatan sampingan ataupun komplementari. Kaedah perubatan moden akan menjadi rawatan utama dan rawatan alternatif yang terpilih akan menjadi pelengkap ataupun komplemen kepada apa yang dikenali sebagai perubatan integratif yang lebih holistik. TCM yang terpilih boleh juga dijadikan alternatif jika perubatan moden gagal mengesan penyakit walaupun telah menjalani penyiasatan terperinci oleh pakar ataupun jika perubatan moden gagal merawat penyakit seseorang. Kaedah rawatan alternatif ini masih belum boleh dijadikan rawatan utama kerana belum mempunyai bukti yang kukuh (keberkesanan dan keselamatan) berdasarkan kepada kajian klinikal. (Baca tentang perubatan alternatif, komplementari dan integratif di pautan ini: (https://www.minda2tinta.com/2019/05/dato-dr.html)
KATEGORI KETIGA
Golongan ketiga adalah pengamal TCM yang bersaing dengan perubatan moden, menganggap kaedah rawatan mereka lebih alami dan taksub dengan ideologi naturopati. Mereka tidak menerima konsep perubatan intergratif yang disarankan oleh KKM kerana menganggap kaedah rawatan mereka lebih berkesan dan lebih alami untuk merawat penyakit termasuk penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi, kanser, sakit jantung dan lain2. Untuk menguatkan dakwaan mereka itu, seringkali diujudkan naratif bahawa perubatan moden ini mengandungi bahan beracun dan merosakkan organ badan sehingga menonjolkan sikap anti perubatan moden, anti-doktor perubatan dan anti-ubat hospital. Mereka juga seringkali berprasangka buruk terhadap badan2 autoriti perubatan moden seperti KKM, WHO, CDC dan lain2 dengan mengujudkan pelbagai persepsi negatif dan teori konspirasi, termasuk penyelewengan syarikat pharma. Amalan yang mereka lakukan lebih banyak berasaskan andaian, testimoni, kesan plasebo dan kerapkali kesimpulan berkesan sesuatu produk dibuat sebelum dibuktikan. Jika ada pun kajian klinikal, mereka membesar2 kajian makmal dan pra-klinikal. Mereka tidak merujuk kepada tokoh2 TCM yang berdaftar, sebaliknya menjadikan tokoh2 pseudosains dan pseudoperubatan sebagai sumber maklumat. Ada antara mereka yang mengeluarkan produk sendiri ataupun kaedah rawatan yang belum dibuktikan berkesan kerana tidak melalui kajian klinikal. Disebabkan sangat sukar untuk mendaftarkan produk mereka di bawah kategori ubat berjadual (A), produk2 "overclaim" mereka akan didaftarkan di bawah kategori ubat tradisional (T), suplemen ( N ) ataupun makanan.
KATEGORI KE EMPAT
Golongan ke-empat adalah pengamal yang asalnya doktor perubatan, tapi kemudiannya terbabas dari landasan. Rujukan mereka bukan lagi pakar perubatan moden dan CPG, tetapi sudah beraleh kepada tokoh2 pseudosains dan pseudoperubatan yang dibawa oleh golongan ketiga di atas. (Baca tentang pseudosains di pautan ini: https://www.minda2tinta.com/2019/12/perbezaan-sains-dan-pseudosains.html). Mereka sedar bahawa jika terus berada di dalam bidang perubatan moden, peraturan dan disiplinnya ketat, sebarang dakwaan keberkesanan dan keselamatan ubat memerlukan bukti yang kukuh. Apabila membaca tulisan mereka dan mendengar percakapan mereka, sebiji seperti tokoh2 pseudosains yakni senada dengan golongan ketiga di atas. Kadangkala content mereka bercampur aduk antara perubatan dan pseudosains, saya gunakan istilah sains caca-merba. Pendirian mereka terhadap vaksin dan ubat2 moden pun sudah condong ke arah yang berlawanan. Jadi, mereka ini memegang sijil amalan perubatan yang dikeluarkan oleh autoriti perubatan moden (MMC) tetapi penyampaian dan amalan mereka lebih condong kepada pseudosains dan pseudoperubatan (kategori ketiga). Mereka sedar bahawa jika terus berpaut kepada prinsip perubatan moden, amat sukar untuk memasarkan produk2 pseudosains dan "overclaim". Lagi pun, pengikut mereka yang sudah ramai itu akan lari. Yang penting, percakapan dan tulisan mestilah mengikut rentak yang dimahukan oleh pengikut.
RUMUSAN
Daripada 4 kategori pengamal perubatan di atas, kita boleh katakan bahawa kategori pertama dan kedua adalah pengamal perubatan yang lebih berprinsip dan beretika. Mereka berpegang kepada prinsip amalan berdasarkan bukti dan merujuk kepada pakar2 di dalam bidangnya serta panduan dari CPG.
Perubatan moden tidak menolak sepenuhnya kaedah2 rawatan yang termasuk di dalam kategori TCM tetapi memilihnya dengan berhati2 dan meletakkannya pada kedudukan yang betul. Sebab itu kita ujudkan istilah rawatan komplementari dan integratif. Di bawah sistem ini, kaedah rawatan moden akan menjadi tunjang utama pengubatan dan kaedah alternatif yang terpilih dijadikan komplemen bagi mencapai maksud rawatan integratif yang lebih holistik. Apabila mengalami masalah kesihatan, pesakit disarankan terlebih dahulu menemui doktor2 ataupun pakar2 perubatan yang berkenaan dan menjalani pemeriksaan, ujian dan rawatan. Kemudian barulah boleh dipertimbangkan untuk mencuba kaedah2 rawatan sampingan yang diiktiraf dan selamat diamalkan.
Semakin banyak hospital sudah mempunyai Unit Perubatan TCM (Unit Perubatan Tradisional dan Komplementari). Apabila TCM ini diletakkan di bawah bumbung KKM, pengamal2nya yang berdaftar akan bekerjasama dengan pengamal perubatan moden dan yang lebih penting mereka akur dengan prinsip "evidence-based medicine" . Lambat laun mereka juga akan menjadikannya sebagai prinsip amalan mereka. Hari ini, semakin ramai pengamal TCM sudah memahami konsep ini (golongan kedua) dan akur dengan kaedah serta prinsip perubatan moden. Inilah arah tuju masa depan perkhidmatan perubatan dan kesihatan di negara kita. Matlamatnya tidak lain dari untuk mengujudkan masyarakat yang lebih sihat dan sejahtera. Alangkah baiknya jika orang ramai dapat mengenali pengamal-pengamal perubatan seperti yang tersebut di atas agar tidak tersilap memilih pengamal untuk dijadikan rujukan.
Dato' Dr.Rushdan Noor
29hb Disember 2024
No comments:
Post a Comment