Salah satu salah faham atau mitos yang sering kelihatan dikongsikan di dalam medsos adalah kenyataan seperti berikut:
"MENGAMBIL SAYUR A DAN MAKAN BUAH B BOLEH MENGECUTKAN KANSER C "
Ramai pengguna medsos sangat teruja dengan posting2 pendek seperti di atas yang dikaitkan pula dengan rawatan kanser ataupun penyakit2 kronik yang lain. Maka ramailah yang "like" dan "share". Ramailah yang akan sebarkan berita kononnya sayur kobis dan brakoli boleh merawat penyakit kanser.
Terdapat beberapa fakta yang tidak tepat di dalam posting seumpama itu dan boleh menimbulkan salah faham orang ramai. Saya senaraikan beberapa salah-faham tersebut di bawah:
1. Tidak ada kajian ke atas manusia atau pesakit yang menggunakan sayur ataupun buah di dalam bentuk asal untuk menilai keberkesananya merawat kanser.
2. Memang terdapat bahan aktif di dalam sayur dan buah2an tertentu yang mempunyai ciri2 anti-kanser tetapi bahan2 aktif itu perlu diekstrak keluar menggunakan teknologi makmal terlebih dahulu, dipekatkan dan ditentukan dosnya.
3. Bahan aktif ini akan di uji dalam makmal terlebih dahulu. Ianya akan dimasukkan ke dalam bekas yang mengandungi "cancer cell lines" yakni lapisan sel2 kanser yang dibiakkan di dalam makmal. Sel2 ini diperolehi daripada kanser yang dihidapi oleh pesakit , sel2 ini akan dibiakkan menggunakan peransang dan disimpan untuk pelbagai kegunaan. Jika kanser yang hendak diuji adalah kanser payudara, maka "cancer cell lines" tersebut adalah hasil pembiakan sel2 kanser dari pesakit kanser payudara. Pesakit ini seolah2 seperti penderma sel kanser. Dari situlah ahli sains akan dapat mengesan tindakbalas bahan aktif tadi terhadap "cancer cell lines" tersebut. Jika lulus kajian peringkat lapisan sel ("in-vitro") ini barulah akan diuji ke atas haiwan ("in-vivo"). Haiwan yang diuji ini akan diransang untuk mendapat penyakit kanser yang dikaji dan bahan aktif tadi akan diberikan kepada mereka. Ini baru peringkat kajian pra-klinikal ataupun kajian makmal. Belum lagi masuk kajian ke atas manusia. Terlalu jauh lagi perjalanan untuk mengesahkan keberkesanan.
4. Bahan2 aktif yang dikenalpasti itu perlu dimodifikasikan agar ianya boleh kekal lama di dalam darah ataupun boleh bertahan dari dirosakkan oleh asid perut dan sampai ke tempat kanser yang hendak dirawat. Kebanyakan bahan2 aktif yang mempunyai ciri2 anti-kanser ini perlu diambil melalui suntikan, bukan dimakan.
5. Sebenarnya bahan2 aktif itu hanya berkesan ke atas lapisan sel ataupun tikus di dalam makmal, belum pun lagi diuji ke atas pesakit. Tentulah ia tidak mengecutkan saiz kanser manusia jika kajian belum lagi sampai kepada fasa klinikal. Kajian fasa klinikal ini pula bukan mudah, dari fasa 1, 2 dan 3, melibatkan beratus ataupun lebih bilangan peserta yang memakan masa bertahun2.
Selalunya kertas2 hasil penyelidikan dalam makmal (kajian pra-klinikal) ini akan diterbitkan di dalam jurnal2. Rujukan dari kertas2 kajian inilah yang akan digunakan oleh penulis2 blog, laman portal dan juga pempengaruh media sosial untuk berkongsi maklumat tetapi disalah-tafsirkan hingga menjadi seperti di atas. Selalunya tajuk kertas kajian ini akan meletakkan nama bahan aktif ataupun istilah ekstrak bukan nama sayur ataupun buah (Contoh : Anti-cancer properties of sulforaphane). Lebih mendukacitakan lagi jika ada pula pihak yang menggunakan hasil kajian makmal ini untuk menghasilkan produk (serbuk atau air rebusan) dari sayur A ataupun buah B, kemudian mereka mendakwa boleh merawat penyakit kanser C.
Kesimpulannya, posting yang berbentuk seperti di atas sebenarnya tidak membawa apa2 makna dan boleh mengelirukan. Lazimnya mengambil sayuran dan buah2an di samping lain2 gaya hidup sihat mempunyai manfaat di dalam membantu mencegah penyakit kanser dan bukan merawat.
Bila terjumpa kenyataan seperti ini, cuba bertanya adakah ianya hasil kajian makmal ke atas sel kanser atau tikus ataupun kajian yang dilakukan ke atas manusia. Jika ada kajian, adakah ianya menggunakan bahan mentah yang asal ataupun bahan aktif yang ditulinkan. Jika bahan aktif, fasa klinikal ke berapakah kajian tersebut. Adakah kajian tersebut sudah mengesahkan bahawa bahan aktif itu berkesan merawat kanser yang dihidapi oleh manusia? Mohon kepada orang yang mendakwa itu kongsikan pautan ataupun kertas kajian yang telah disiarkan.
Merawat penyakit kanser ini adalah satu proses yang sangat kompleks menggunakan pelbagai kaedah salah satu atau gabungan rawatan pembedahan, kemoterapi, radioterapi dan lain2. Kaedah2 ini telah dibuktikan berkesan melalui kajian klinikal ke atas manusia. Saya telah menulis tajuk ini panjang lebar di dalam posting saya yang terdahulu.
Keadaan ini bukan saja terpakai kepada penyakit kanser tetapi juga penyakit2 kronik yang lain. Semoga tahun 2025 ini masyarakat kita lebih celek ilmu dan teliti di dalam menilai sebarang maklumat mengenai kesihatan.
Dato' Dr.Rushdan Noor
3hb Disember 2024
No comments:
Post a Comment