Kebahagiaan adalah satu perkataan yang maknanya sangat subjektif. Setiap orang ada citarasa dan cara tersendiri untuk bahagia. Betul sekali pendapat yang mengatakan bahawa jika neraca bahagia itu diletakkan atas perkara dunia, sifatnya sementara. Banyak mana sekali pun wang dan harta benda tidak akan cukup untuk pertahankan kebahagiaan.
Ada orang yang meletakkan sasaran tinggi habuan dunia untuk menikmati rasa gembira dan bahagia. Mereka hendak beli kereta mewah dan berumah besar. Mereka ingin mengumpul sebanyak mungkin harta kekayaan untuk dijadikan legasi kepada anak dan keturunan.
Ada satu lagi golongan yang sasaran mereka biasa2 sahaja, cukuplah sebuah kereta murah dan rumah teres biasa asalkan bebas hutang. Mereka tidak terlalu obses dengan harta dunia. Pendek kata keutamaan hidup mereka itu berbeza.
Nampaknya golongan pertama memerlukan pengorbanan dan kos yang tinggi untuk bahagia. Perlu bekerja lebih keras dan banyak masa perlu dikorbankan, ada kala anak pun tak kenal siapa ibubapa mereka. Sedangkan golongan kedua tidak perlu terlalu tertekan untuk mengejar harta dunia, mereka punya lebih masa lapang untuk keluarga, menjaga hubungan sesama manusia dan Maha Pencipta.
Kalau boleh diukur tahap kebahagiaan kedua2 golongan ini, tentu tidak banyak bezanya. Kerja keras dan harta benda yang banyak tidak menjamin mereka lebih bahagia dan gembira. Semewah mana sekali pun kehidupan, kereta besar dan rumah besar, lama kelamaan ianya jadi biasa sahaja. Tidak sedikit dari mereka yang sepanjang hidup dihabiskan untuk mencari harta tetapi tidak sempat untuk menikmatinya. Akhirnya penat lelah mereka itu hanya menjadi habuan anak2 dan keturunan.
Apabila tiba hari tua, golongan yang mewah ini baru sedar bahawa mereka lebih selesa tinggal di rumah kecil dan menginap di tingkat bawah. Keselesaan dan kesedapan bukan lagi bergantung kepada barangan mewah. Rupa2nya kebahagiaan itu terletak kepada ketenangan hati. Selama ini wang dan harta yang banyak itu membuat mereka tidak tenang. Mereka mula rasa cemburu melihat golongan kedua yang tinggal di rumah kecil tepi sungai dipinggiri kebun buah2an, anak2 yang sangat mengambil berat hal ehwal ibubapa dan sangat akrab dengan mereka. Tidak seperti anak2 golongan pertama yang sudah dibiasakan dengan hidup serba mewah dan tidak mahu susah.
Manusia ini memang berbeza2 citarasa dan menentukan sendiri matlamat hidup masing-masing. Yang penting kita menyusun senarai keutamaan pada kedudukan yang betul, sedar kemampuan diri dan mengukur baju di badan sendiri. Bersyukur dengan pencapaian diri sendiri dan tidak membandingkannya dengan orang lain kerana masing2 ada selera dan pilihan tersendiri untuk seronok dan bahagia.
Wang yang banyak, rumah besar, kereta besar dan harta yang melimpah ruah itu tidak semestinya memberi gembira dan bahagia yang lebih besar. Ia didatangkan dengan tanggungjawab yang lebih besar dan timbangan dosa-pahala yang lebih berat.
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui” (QS Al-Ankabut, 64)
Dato' Dr.Rushdan Noor
17hb Jan 2025
No comments:
Post a Comment