Monday, 13 January 2025

PERIA KATAK BOLEH MERAWAT DIABETES : FAKTA ATAU AUTA


Buah peria katak ataupun bitter melon ataupun nama saintifiknya Momordica charantia adalah satu lagi buah yang seringkali didakwa boleh merawat penyakit diabetes ataupun kencing manis.

Ahli sains menemui banyak sebatian kimia di dalam peria katak dan 3 jenis kompoun yang dikenalpasti mempunyai kesan seperti insulin adalah charantin, vicine dan polipeptid-p. Sebenarnya banyak lagi kompoun ditemui di dalam peria katak mempunyai kesan mengurangkan gula darah. 

Walaupun peria katak mengandungi kompoun yang boleh menurunkan gula darah, serakat ini peria katak ataupun mana2 ektrak yang terkandung di dalamnya belum tersenarai dalam kalangan ubat merawat diabetes yang diiktiraf dan tidak disyorkan oleh pakar2 perubatan bagi menggantikan ubat diabetes yang sedia ada. 

Berikut adalah beberapa alasan mengapa peria katak belum boleh menandingi ubat2an moden di dalam merawat penyakit diabetes:

1. BUKTI DARI KAJIAN KLINIKAL TERHADAP MANUSIA MASIH LEMAH

Kajian2 yang dilakukan masih rendah kualiti dan bilangan sampel yang kecil. Banyak kajian adalah kajian praklinikal di dalam makmal ke atas haiwan. Jika ada kajian ke atas manusia, bilangan sampelnya kecil dan kualitinya atau metodologinya boleh dipertikaikan. Di samping itu, kajian jangkamasa panjang tidak mencukupi. Jadi setakat ini sukar untuk mengesahkan keberkesanannya ke atas manusia dan juga samada ianya selamat diambil dalam jangkamasa panjang. Sedangkan penyakit diabetes adalah penyakit kronik yang perlu rawatan yang lama. Kajian keselamatan ke atas ibu hamil, anak di dalam kandungan dan anak yang disusukan juga tidak dijalankan.

2. KESAN YANG TIDAK KONSISTEN

Di antara punca mengapa hasil kajian tentang keberkesanan peria katak berbeza2 adalah kerana kuantiti bahan aktif (charantin, vicine dan polipeptid-p) berbeza2. Kuantiti bahan aktif ini boleh berbeza dari satu pokok dengan pokok yang lain. Proses penyediaan (serbuk, pil, jus dan lain2) juga boleh mempengaruhi kandungan bahan aktif tersebut. Kajian2 yang dilakukan pula menggunakan dos dan bentuk yang berbeza2. Tidak hairanlah mengapa hasil kajian juga menunjukkan keputusan yang berbeza, ada kajian yang mendapati tidak ada kesan ke atas  kandungan gula darah dan ada juga yang positif. 

3. TIDAKBALAS YANG TIDAK BOLEH DIJANGKAKAN ('UNPREDICTABLE RESPONSE"

Dos ataupun kuantiti produk kesihatan ini tidak mempunyai piawaian seperti mana  ubat2an moden. Ini menyebabkan kesan produk ini tidak dapat dijangkakan kerana dos yang berbeza2. Selain dari 3 kompoun yang dinyatakan, terdapat banyak lagi kompoun yang mempunyai kesan ke atas gula darah. Kita tidak tahu apakah dos berkesan yang minima dan apakah dos maksima yang boleh diambil dengan selamat. Orang ramai boleh terambil dos yang terlalu rendah ataupun terlalu tinggi hingga memudaratkan. Ubat2an suplemen dan tradisional ini pula tidak mempunyai sistem pemantauan yang ketat terhadap seperti ubat2an moden, jadi kesan sampingan boleh terlepas dari dikesan.

4. MEKANISMA PENGURANGAN GULA DARAH YANG TIDAK DIFAHAMI SEPENUHNYA

Walaupun terdapat kajian yang menunjukkan kesan pengurangan gula darah oleh peria katak tetapi mekanisma bagaimana ianya bertindak belum dapat difahami sepenuhnya. Apabila mekanisma ini tidak difahami sepenuhnya, maka sukar untuk mengkaji farmakokinetik bahan aktif tersebut dan ini menyukarkan ahli sains untuk memformulasi ubat dari peria katak. Ini berbeza dengan ubat2an moden untuk merawat diabetes seperti Metformin (mengurangkan penghasilan gula oleh hati) dan insulin (insulin bergabung dengan reseptor di dinding sel dan kemudian seperti kunci membuka pintu, glukos di dalam darah masuk ke dalam sel). Ubat2an moden ini dihasilkan dari satu jenis bahan aktif sedangkan di dalam peria katak terdapat terlalu banyak sebatian kimia yang bercampur aduk.

5. RISIKO DAN KESAN SAMPINGAN PERIA KATAK

Peria katak boleh menyebabkan penurunan gula darah yang mencapai tahap terlalu rendah, lebih2 lagi jika diambil bersama dengan ubat diabetes. Peria katak boleh menyebabkan kesan sampingan terhadap usus seperti cirit, loya dan sakit perut. Ini mungkin dikaitkan dengan kandungan quinine, glycoside dan momordica di dalamnya. Pengambilan yang berlebihan boleh merosakkan hati. Molekul visine di dalamnya dikatakan boleh merosakkan sel darah merah dan menyebabkan anemia, ke atas individu yang mengalami kekurangan enzim G6PD. Pendarahan faraj dan pengecutan rahim juga dilaporkan berlaku dan ini berpotensi memudaratkan wanita hamil. Kemungkinan dicampur palsu dengan ubat2an lain di dalam.produk peria katak boleh berlaku.

6. RAWATAN DIABETES ADALAH KOMPLEKS

Penyakit kronik seperti diabetes adalah penyakit yang boleh menyebabkan kerosakan banyak organ badan seperti saraf, mata, buah pinggang, jantung dan lain2.. Ini menyebabkan penyakit ini perlu ditangani oleh banyak disiplin. Merawat diabetes bukan sekadar mengawal gula darah dan HbA1c tetapi juga memantau dan merawat organ2 yang berpotensi rosak akibat penyakit ini. Merawat sendiri ataupun oleh pengamal perubatan alternatif boleh menyebabkan penyakit ini tidak ditangani sepenuhnya dan kesan penyakit ke atas organ2 badan akan terlepas dari dikesan awal.

7. STATUS PRODUK DAN PERATURAN

Peria katak ataupun ekstrak yang diambil daripadanya dianggap produk suplemen yang bukan bertujuan untuk merawat penyakit. Kajian yang dijalankan ke atas peria katak dan ektraknya belum mampu untuk menjadikannya pilihan kepada ubat diabetes yang sedia ada. Jadi ia akan kekal di bawah kategori produk suplemen ataupun makanan. Keberkesanan dan keselamatan jangkapanjang peria katak belum dapat disahkan. Peraturan pengiklanan ubat juga melarang mengiklankan 20 jenis penyakit termasuk diabetes.  

KESIMPULAN

Peria katak mempunyai kompoun2 yang dapat menurunkan gula darah. Setakat ini banyak kajian  telah dilakukan tetapi belum cukup untuk menjadikannya pilihan yang sama ataupun lebih baik daripada ubat2an moden untuk merawat diabetes. Banyak sebab mengapa ianya tidak boleh menggantikan ubat diabetes yang sedia ada termasuk kajian manusia yang belum mencukupi, tindakbalas yang tidak konsisten, tidak ada piawai rujukan dos, kesan jangka panjang ke atas kawalan diabetes yang tidak pasti, kesan sampingan yang boleh berlaku dan juga peraturan pihak berkuasa ubatan. Peria katak lebih sesuai diambil dalam bentuk mentah dalam kuantiti yang sederhana sebagai ulam ataupun masakan sayur kerana ia membekalkan serat, nutrin dan mineral yang agak tinggi. Tidak ada jaminan keselamatan jika ianya diambil di dalam bentuk suplemen, lebih-lebih lagi jika diambil dalam jangka masa yang panjang dan digabungkan dengan ubat diabetes. Sila dapatkan rawatan dan nasihat  dari doktor untuk penyakit diabetes anda.

Dato' Dr.Rushdan Noor

14hb Jan 2024


RUJUKAN

Peng Ooi C , Yassin Z, Hamid TA. Momordica charantia for type 2 diabetes mellitus. Cochrane Database Syst Rev. 2012 Aug 15:(8):CD007845. doi: 10.1002/14651858.CD007845.pub3.

Fuangchan A, Sonthisombat P, Seubnukarn T, et al. Hypoglycaemic effect of bitter melon compared with metformin in newly diagnosed type 2 diabetes patients. Ethnopharmacol. 2011 Mar 24;134(2):422-8. doi: 10.1016/j.jep.2010.12.045. Epub 2011 Jan 4

Joseph B, Jini D. Antidiabetic effects of Momordica charantia (bitter melon) and its meidinal potency. Asian Pac J Trop Dis, 2013;3(2):93-102

Richter E, Geetha T, Burnett D, et al. The effects of Momordica charantia on Type 2 Diabetes mellitus and Alzheimer’s Disease. Int J Mol Sci, 2023, Feb 28; 24(5):4643

Laczko Zold E, Csupor-Loffler B, Kolcsar EB, et al. The metabolic effects of Momordica charantia cannot be determined based on the available clinical evidence: a systematic review and meta-analysis of randomized clinical trials. Front Nutr. 2024, Jan 11:101200801.

 doi: 10.3389/fnut.2023.1200801. eCollection 202

Fuangchan A, Sonthisombat P, Seubnukam T, et al. Hypoglyciaemia effect of bitter melon compared with metformin in newly diagnosed type 2 diabetes patients. J Ethnopharmacol, 2012, Mar 24;134(2):422-8

Asyley Dahlquist, Dana Jandali, Mirielle C, Nauman, Jeremy J Johnson. Clinical application of Momordica charantia (bitter melon) for reducing blood sugar in type 2 diabetes mellitus. International Journal of Nutrition, 2023 ;7(4):8-26

https://www.healthline.com/health/diabetes/bitter-melon-and-diabetes#takeaway

No comments:

Post a Comment