Sunday, 8 December 2024

7 SEBAB MENGAPA ANAK ANDA MEMERLUKAN VAKSIN : ABAIKAN DAKYAH ANTIVAKSIN

 


Kajian mendapati vaksin yang diberikan kepada anak-anak anda telah menyelamatkan nyawa lebih kurang 2- 3 juta orang kanak-kanak setiap tahun (dengan izin Allah melalui ikhtiar vaksinasi kanak2)(1b). Penurunan bilangan kematian ini menyumbang kepada penurunan kadar kematian kanak2 global daripada 65 per 1000 kelahiran hidup dalam tahun 1990 kepada hanya 29 dalam 1000 pada tahun 2018 (1,2).

Satu kajian besar yang telah disiarkan oleh The Lancet menunjukkan bahawa immunisasi global telah menyelamatkan kira2 154 juta nyawa dalam tempoh 50 tahun, di mana majoriti melibatkan kanak2 (101 juta orang). Study yang diketuai oleh WHO menunjukkan imunisasi adalah satu penyumbang terbesar berbanding dengan intervensi kesihatan lain di dalam memastikan setiap bayi bukan sahaja boleh menyambut hari jadi pertama mereka tetapi juga dapat terus hidup sihat hingga dewasa (3).
Vaksin adalah kaedah paling "cost-effective" dalam mengurangkan penyakit dalam kalangan kanak-kanak terutamanya bila dibandingkan dengan kaedah lain seperti air yang bersih dan memperbaiki sanitasi (4).

Tidak hairanlah mengapa salah satu usaha yang diletakkan keutamaan di semua negara dengan bantuan WHO terutama di negara2 kurang maju dan mundur adalah meningkatkan liputan vaksinasi dalam kalangan kanak2. Usaha2 yang dilakukan telah membuahkan hasil di mana liputan vaksinasi kanak2 di negara2 berpendapatan rendah telah meningkat dari 50% kepada 80% dalam masa 2 dekad (5).

Berikut adalah rumusan daripada hasil kajian tentang manfaat yang diberikan oleh program vaksinasi kanak-kanak:

1. IMUNISASI BOLEH MENYELAMATKAN NYAWA ANAK ANDA

Vaksin jangkitan yang serious ke atas anak2 anda di mana penyakit2 ini boleh menyebabkan kecacatan, kerosakan organ dan kematian. Contohnya jangkitan Haemophilus influenza boleh menyebabkan kerosakan otak dan kematian, penyakit polio menyebabkan lumpuh dan jangkitan virus HPV serta Hepatitis B menyebabkan kanser. Sebahagian penyakit ini seperti campak dan tetanus, tidak ada ubat untuk disembuhkan. Hanya vaksin kaedah paling berkesan untuk mencegah penyakit2 ini.
2. PENYAKIT2 YANG BOLEH DICEGAH OLEH VAKSIN MASIH UJUD

Banyak penyakit2 yang dapat dicegah oleh vaksin telah terhapus sepenuhnya, tetapi ada juga yang masih ujud tetapi bilangan kesnya rendah dan mudah dikawal dengan liputan vaksin yang tinggi. Jika liputan vaksin menurun, penyakit2 ini boleh berkembang dan meningkat semula hingga boleh mengancam kesihatan dan nyawa kanak-kanak. Penyakit campak, polio dan TB contohnya masih ujud di negara2 tertentu. Jika penyakit ini tidak dikawal, pengembara dari negara2 ini boleh masuk dan menyebarkan penyakit ini ke dalam negara lain sehingga menyebabkan timbulnya wabak penyakit. Ini mengakibatkan penyakit2 yang jarang berlaku di sesebuah negara, tiba2 meningkat tinggi akibat perpindahan dan pergerakan manusia.
3. VAKSINASI KE ATAS KANAK-KANAK AKAN MEMBANTU MELINDUNGI KANAK-KANAK LAIN

Vaksin yang diberikan kepada anak2 anda bukan sahaja melindungi diri mereka tetapi juga kanak-kanak lain di dalam masyarakat. Jika liputan vaksinasi tinggi, akan ujud apa yang dikenali ssebagai Imuniti Kelompok ("Herd Immunity"). Anak2 yang menerima vaksin akan menjadi penghalang kepada virus ataupun bakteria dari merebak kepada kanak2 lain yang tidak menerima vaksin. Ada dalam kalangan kanak2 ini belum cukup umur untuk menerima vaksin ataupun mereka tidak dapat mengambil vaksin di atas sebab2 kesihatan. Golongan2 rentan lain seperti bayi yang baru lahir, pesakit yang sistem pertahanan badan rendah dan juga orang tua dapat dihindarkan dari jangkitan penyakit. Jadi vaksin memberi manfaat bukan sahaja kepada penerima, tetapi juga kepada masyarakat di sekelilingnya.
4. VAKSIN ADALAH SELAMAT DAN BERKESAN

Sebenarnya kajian mendapati di dalam amalan perubatan moden, vaksin adalah kaedah menangani penyakit yang paling selamat selamat. Kadar kesan sampingnya sangat rendah, malahan dikatakan kemungkinan untuk mendapat kesan sampingan serius dari suntikan vaksin jauh lebih rendah daripada kecederaan semasa bermain di taman permainan dan menaiki kenderaan di jalanraya. Kadar kesan sampingan serius akibat vaksin juga dikatakan lebih rendah daripada kemungkinan anak anda untuk tercekik semasa makan. Sistem pemantauan kesan sampingan vaksin pula sangat terperinci. Golongan antivaksin sengaja menonjol2kan kesan sampingan vaksin untuk tujuan menakut2kan orang ramai dengan mengambil data2 yang berat sebelah dan kes2 terpencil, umpama membesarkan titik hitam dari sebidang kain yang putih.

Keberkesanan vaksin juga sudah disahkan bukan sahaja semasa kajian dijalankan tetapi juga semasa program vaksinasi dijalankan di lapangan. Untuk data keberkesanan vaksin, sila rujuk jaduan bawah yang diperolehi daripada negara Kanada bagaimana keberkesanan vaksin boleh mencapai 99-100%. Jadi vaksin terbukti selamat dan berkesan.


5. ADALAH JAUH LEBIH SELAMAT UNTUK MENERIMA VAKSIN DARIPADA MENDAPAT PENYAKIT.

Anak anda mungkin salah seorang yang tidak bernasib baik dan mendapat penyakit2 serius yang sepatutnya boleh dicegah oleh vaksin. Penyakit2 serius ini bukan sahaja boleh menyebabkan kecacatan, kerosakan organ badan dan kerosakan otak, malah boleh menyebabkan kematian. Anak anda mungkin selamat dari kematian, tetapi kecacatan dan kerosakan otak boleh kekal sepanjang hayat. Contohnya jangkitan meningococcal boleh menyebabkan pekak, kehilangan anggota badan dan kerosakan otak. Chickenpox boleh menyebabkan jangkitan paru2 teruk. Jika anda berani membiarkan anak2 bermain dan berbasikal di taman permainan, mengapa takut mengambil vaksin sedangkan kadar kesan sampingan serius akibat aktiviti2 fizikal itu jauh lebih tinggi dari suntikan vaksin. Tambahan pula kos untuk merawat penyakit2 tersebut jauh lebih tinggi. Program vaksinasi telah menjimatkan 10 billion Amerika setiap tahun.
6. VAKSIN MENGURANGKAN KES KEKEBALAN ANTIBIOTIK

Kekebalan antibiotik adalah keadaan di mana antibiotik yang selalu digunakan untuk merawat jankitan penyakit serius tidak berkesan kerana bakteria tersebut telah menjadi kebal dari antibiotik tersebut. Memberi vaksin kepada anak2 anda mengurangkan anak2 anda daripada keperluan antibiotik, apabila jarang menggunakan antibiotik, bakteria yang menjadi sasaran kepada antibiotik tersebut juga tidak berupaya untuk menjadi kebal. Contohnya kajian mendapati kekebalan antibiotik ke atas bakteria pneumococcal telah menurun semenjak vaksin pneumococcal diperkenalkan, penurunan sebanyak 57%. Begitu juga ke atas bakteria Haemophillus Influenza.
7. VAKSIN MELINDUNGI GENERASI AKAN DATANG

Wabak dan Pandemik jangkitan penyakit boleh menyebabkan kematian berjuta2 orang manusia. Sejarah telah membuktikannya. Vaksin telah mengurangkan dan menghapuskan banyak penyakit yang telah mengorbankan jutaan manusia di masa lampau. Contohnya penyakit cacar ("smallpox") yang sudah tidak wujud pada hari ini. Penyakit demam campak sahaja telah mengorbankan 546,800 orang pada tahun 2000, tetapi telah menurun sebanyak 79% pada tahun 2014 hasil dari program vaksinasi.

Banyak lagi manfaat yang diberikan dari program imunisasi kanak2 seperti meningkatkan jangkahayat, mengurangkan beban ekonomi akibat penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin, keselamatan semasa mengembara dan lain-lain. Jangan teragak2 untuk membenarkan anak2 anda diberikan vaksin.

Jangan terpengaruh dengan golongan antivaksin yang sentiasa mencari jalan mengelirukan masyarakat. Mengambil vaksin telah dibuktikan dengan data2 kukuh yang ianya selamat dan memberi manfaat kepada diri sendiri dan membantu masyarakat. Maka memilih untuk berkongsi maklumat yang salah tentang vaksin akan menyebabkan kesan di sebaliknya. Mungkin anda terselamat, tetapi anak cucu anda atau saudara mara anda ditimpa musibah. Elakkan diri dari terjerumus ke dalam "circle" toksik antivaksin.

Dato' Dr. Rushdan Noor
7hb Disember 2024



RUJUKAN

1a.World Health Organization . World Health Organization: 10 facts on immunization; 2018. [accessed 2019 April9]. https://www.who.int/features/factfiles/immunization/en/.


2.World DataBank: World Development Indicators . The World Bank; 2017. http://databank.worldbank.org/data/reports.aspx?source=world-development-indicators.


4.Ozawa S, Mirelman A, Stack ML, Walker DG, Levine OS.. Cost-effectiveness and economic benefits of vaccines in low- and middle-income countries: a systematic review. Vaccine. 2012;31:96–108. doi: 10.1016/j.vaccine.2012.10.103

5.World Health Organization . Progress towards global immunization goals - 2016. Geneva (Switzerland); 2016.

No comments:

Post a Comment