Tuesday, 8 October 2024

MAHASISWA DAN USRAH



Semasa bergelar mahasiswa pada tahun 80an dulu, seperti ramai mahasiswa lain, saya juga terlibat dengan usrah. Sehingga hari ini saya masih berhubungan dengan beberapa orang rakan usrah.

Semasa pertama kali mengikuti usrah, kebanyakan kita tak sedar yang usrah adalah salah satu aktiviti dari sebuah gerakan Islam yang merekrut penyokong atau ahli mereka. Mahasiswa adalah sasaran yang tepat untuk memilih ahli ke dalam gerakan Islam dan yang berpotensi akan "digroom" untuk menjadi pemimpin masa depan. Semasa "solo" dan masih mula menyesuaikan diri dengan alam mahasiswa, kita akan didekati oleh beberapa wakil kumpulan usrah yang berbeza. Pada tahun 80an, kita ada ABIM, IRC, PAS, Tabligh dan beberapa lagi. Pada ketika itu Al-Arqam pun ada. JIM, IKRAM dan ISMA ujud kemudian. Mungkin terdapat juga kumpulan usrah yang tidak digerakkan oleh mana2 jemaah Islam, yang ini saya kurang pasti.

Banyak alasan mengapa seseorang menyertai usrah, antaranya adalah kesedaran untuk bersama jemaah Islam, kategori ini mungkin tidak berapa ramai, ataupun kesedaran itu datang kemudian. Ada juga yang dipaksa rela bila menyertai usrah, apatah lagi yang mengajak itu adalah senior. Ada yang menyertai usrah tanpa ada niat untuk menyertai gerakan. Tidak kurang juga yang menyertai secara tidak sengaja ataupun semata2 untuk mencari kawan.

Sebenarnya, sebagai mahasiswa, menyertai usrah memberi peluang kepada mereka untuk berada dalam lingkaran sahabat2 yang boleh dianggap baik. Ahli2 usrah perlu menjaga nama baik kumpulan mereka dan juga rasa malu untuk melakukan perkara yang tidak baik. Mereka juga boleh belajar agama, tajwid, tadarus quran dan mempelajari kisah2 pejuang gerakan Islam terdahulu. Kesempatan ini juga diambil untuk saling bantu membantu dalam urusan peribadi dan akademik.

Bagi yang tidak menyertai usrah, mereka memang sedar tentang ujudnya beberapa kelompok mahasiswa dengan aktiviti mereka yang tersendiri. Beriadah bersama, makan bersama dan study grp pun nampak bersama. Tanggapan umum kepada kumpulan2 usrah ini adalah positif, ahli2nya nampak warak dan muslimahnya bertudung labuh. Ada yang berkahwin sesama jemaah. Pendek kata, agak jelas ujudnya kumpulan mahasiswa yang eksklusif, tertutup kepada orang luar. Apabila ujudnya banyak kumpulan mahasiswa seperti ini, tidak dapat dielakkan dari berlakunya pertembungan, pertikaian dan tanggapan yang berbeza antara satu sama lain, seolah2 pelajar2 Islam ini berpecah, ini adalah dari sudut yang negatif. Manakala, mahasiswa yang tidak terlibat dengan usrah ini mempunyai lingkaran sahabat yang lebih terbuka dan mereka juga ada aktiviti2 keagamaan dan sosial mereka sendiri.

Sukar untuk tentukan apakah peranan usrah di dalam membentuk masa depan mahasiswa kerana tidak ada kajian. Jika ada yang cemerlang dalam akademik, kemungkinan bukan sebab menyertai usrah tetapi kerana sememangnya mahasiswa2 yang cerdik akan menjadi rebutan untuk ditarik masuk ke dalam kumpulan usrah. Tetapi keakraban dan sikap tolong menolong mungkin ada peranan membantu mahasiswa2 yang lemah untuk lulus peperiksaan.

Kaitan antara kemahiran memimpin di masa depan pun sukar untuk dikaitkan dengan usrah. Memang ada pemimpin hari ini lahir dari pemimpin usrah. Tetapi ramai juga pemimpin di dalam banyak organisasi dan NGO bukan datangnya dari golongan yang mengikuti usrah atau gerakan Islam semasa zaman mahasiswa dulu. Ramai juga individu yang dahulunya aktif dalam usrah, menjadi pemimpin pelajar, tetapi apabila sudah berkerjaya, mereka hilang dari radar dan buat hal sendiri. Tidak kurang yang menyertai parti2 politik, NGO dan aktif dalam gerakan2 Islam yang lain, berbeza dengan apa yang diperjuangkan semasa mahasiswa. Malahan ada yang menjadi musuh politik dengan bekas rakan seusrah mereka dahulu.

Umumnya gerakan2 Islam ini mempunyai rujukan dan matlamat yang sama, tetapi pendekatan yang berbeza. Ada yang menjadikan ideologi dan perjuangan dari luar negara sebagai inspirasi mereka. Dalam pada itu, kita tidak dapat menolak kemungkinan ujudnya gerakan yang berasaskan kepada ajaran yang menyimpang ataupun pendekatan yang ekstrem. Maka, salah satu kebimbangan apabila menyertai gerakan ini adalah bahaya doktrinisasi dan taksub kepada ideologi ataupun ajaran yang sesat, ekstremisma dan yang memecahbelahkan masyarakat. Ketaksuban dan ideologi ini boleh terbawa2 selepas mereka masuk ke alam pekerjaan, berkeluarga dan bermasyarakat. Jadi menyelidik dan memilih kumpulan usrah yang betul dengan sikap keterbukaan sangat penting dimiliki oleh mahasiswa. Yang penting, jangan biarkan diri dipergunakan oleh mana-mana kumpulan yang ada kepentingan mereka.

Tidak semua mahasiswa mempunyai kemampuan membahagikan masa antara akademik, aktiviti ko-kurikulum universiti dan aktiviti2 kumpulan usrah. Berusrah hanya salah satu dari banyak lagi aktiviti gerakan Islam, mereka juga menganjurkan program2 ilmu, ibadah dan aktiviti kebajikan di luar kampus. Malahan ada yang ikut serta berdemonstrasi dan berkempen di dalam pilihanraya. Apabila menyertai usrah, anda perlu bersedia untuk tugasan yang lebih besar.

Jadi, mahasiswa perlu menilai kemampuan dan kecenderungan diri. Akademik sepatutnya diberikan keutamaan. Mereka perlu berani berkata tidak, jika tidak mampu untuk menyertai aktiviti kumpulan usrah. Jika bersetuju untuk menyertai, pilihlah kumpulan usrah yang betul selepas meneliti ideologi dan matlamat kumpulan tersebut. Walau bagaimanapun, ada banyak lagi pendekatan dan kaedah yang boleh digunakan untuk menyumbang dan mendapat manfaat yang sama. Tidak menyertai usrah bukan bermakna mereka lemah, tidak boleh berjaya ataupun kurang islamik, sebaliknya mereka mungkin tergolong dalam golongan mahasiswa yang tahu menilai kemampuan diri dan bijak menetapkan keutamaan mengikut kepentingan.

Nota: Perkongsian di atas adalah berdasarkan pengalaman peribadi penulis dengan usrah pada era 80 an. Mungkin sistem usrah pada hari ini sudah berbeza mengikut peredaran masa.

Dato' Dr Rushdan Noor
9hb Okt 2024





No comments:

Post a Comment