Wednesday 23 October 2024

TIDAK EMPATI : KRISIS AKHLAK MASYARAKAT KITA HARI INI

 


Empati bermaksud menyelami dan merasai situasi serta perasaan orang lain seolah2 anda adalah orang tersebut. Dengan prinsip ini anda akan berurusan dan berkomunikasi dengan orang tersebut.  Empati adalah salah satu ciri2 akhlak terpuji.

Kes jenayah, buli, keganasan rumahtangga, keganasan seks, menipu, menindas dan sikap ganas adalah antara manifestasi tidak empati. Hatta, memaki hamun, menghina dan memfitnah dalam medsos juga boleh dianggap sebahagian dari akibat terhakisnya perasaan empati.

Kata lawan kepada empati adalah apati ("apathy"). Golongan yang tidak empati ini tahu yang perlakuan mereka adalah salah, tetapi mereka tetap lakukan untuk memuaskan nafsu. Sedangkan mereka tidak sedar bahawa memiliki sifat empati ini sebenarnya boleh mendamaikan jiwa dan memperbaiki hubungan dengan orang lain.

Seorang senior membuli junior di tempat kerja, seorang pegawai tinggi menekan pegawai bawahan, seorang ketua memberi arahan2 atau peraturan yang tidak munasabah dan tidak mempedulikan kebajikan petugas bawahan.  Begitu juga petugas di kaunter yang bengis dan kasar terhadap pelanggan. Perawat yang bersikap halai-balai semasa berurusan dan merawat pesakit. Sebaliknya pula, pelanggan yang bersikap kasar, tidak bertolak ansur dan membuat permintaan yang tidak munasabah juga boleh dianggap tidak empati. Ini adalah contoh2 fenomena yang sering berlaku di tempat kerja. Salah satu puncanya adalah kurangnya empati.


PETANDA SEORANG YANG TIDAK EMPATI

Kita boleh mengesan seseorang yang mempunyai masalah kurang empati. Berikut adalah beberapa ciri individu tersebut:

1. Sangat suka mengkritik orang lain dan seringkali secara terbuka.

2. Gagal mengawal perasaan ataupun panas baran. 

3. Tulisan atau pertuturannya kasar, suka mengecam dan merendah2kan orang lain.

4. Tidak pernah atau jarang memahami perasaan orang lain

5. Seringkali menuduh orang lain terlalu sensitif, sedangkan hakikatnya dia yang tak sensitif.

6. Reaksi berlebihan ("overeacting") terhadap perkara2 kecil

7. Tidak akan mengaku diri bersalah

8. Berkelakuan tidak sensitif

9. Menghadapi masalah untuk mengekalkan hubungan dengan orang lain.

10. Tidak mampu menangani situasi yang tegang atau tidak selesa

11. Kurang sikap empati boleh juga merupakan salah satu petanda seseorang yang mengalami masalah kelainan personaliti seperti Personaliti Narcissistik atau Anti-sosial. Mereka juga mungkin dibesarkan dengan sikap begitu akibat salah asuhan.

Akibat daripada sikap2 di atas, orang yang memiliki sifat tidak empati ini akan menjadi punca ketegangan, pergaduhan, tekanan dan persekitaran yang tidak harmoni. Mereka bukan sahaja menyebabkan masalah kepada orang lain, tetapi juga tekanan dan musibah ke atas diri mereka sendiri.

Secekap mana sekalipun kemahiran anda melakukan kerja, jika tidak ada sifat empati kepada orang lain, samada sesama pekerja atau dengan pelanggan, anda bukan seorang kakitangan yang baik.

KEUNTUNGAN MEMILIKI SIFAT EMPATI

Memiliki sifat empati membawa banyak kelebihan dan manfaat kepada seseorang. Di antara kelebihan2 tersebut adalah:

1. Anda boleh mengujudkan hubungan yang lebih baik dengan orang lain, berasa puas dengan diri sendiri dan mengurangkan stres. Bayangkan betapa stresnya anda jika asyik tidak puas hati, marah dan menambah bilangan orang yang tidak menyukai anda setiap hari jika anda seorang yang tidak empati.

2. Kurang stres membawa banyak manfaat kepada kesihatan fizikal. Salah satu gayahidup sihat yang seringkali disyorkan oleh pakar2 perubatan adalah mengurangkan stres.

3. Sikap empati memperbaiki kemahiran berkomunikasi.

4. Sikap empati dalam satu2 pasukan kerja akan mengujudkan pasukan yang kuat dan mantap.

5. Mengujudkan persekitaran kerja yang harmoni

6. Memiliki sifat empati akan menjadikan seseorang itu pemimpin/ketua yang disegani dan petugas yang disayangi.

7. Mengurangkan sikap negatif dalam diri seseorang.

8. Anda akan lebih dihargai, dihormati dan diingati oleh ramai orang kerana sifat empati anda memberi kepuasan dan kegembiraan kepada orang lain. 

9. Sifat empati adalah sifat2 terpuji yang pasti akan diberi pahala dan ganjaran oleh Allah swt. Pendek kata, kita boleh mengumpul banyak saham akhirat.

Daripada An Nu’man bin Bisyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda:

"Perumpamaan orang yang beriman dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila salah satu anggota tubuhnya sakit, maka seluruh tubuhnya juga akan merasakan sakit." (HR. Bukhari dan Muslim, No 4685).

Rasulullah SAW bersabda:"Barangsiapa memudahkan orang yang dalam kesulitan, Allah memudahkannya di dunia dan akhirat." (Riwayat Ibnu Majah)

Menangani masalah kurang empati ini mungkin sukar bergantung kepada puncanya. Daripada senarai kelebihan memiliki sifat empati di atas, jelas sekali bahawa berubah menjadi seorang yang empati adalah jauh lebih berbaloi daripada terus kekal dengan sikap yang buruk itu.


Dato' Dr.Rushdan Noor

24hb Okt 2024

No comments:

Post a Comment