Thursday, 10 December 2020

KAITAN ANTARA STATUS MINDA DAN GEJALA FIZIKAL

Cuba perhatikan imej pertama di bawah yang pernah saya kongsi dalam fb. Memang wujud gejala2 (sakit kepala, sakit dada, sakit belakang, sesak nafas, perut kembong dll) yang bukan akibat penyakit fizikal tetapi berpunca dari minda seseorang. Kita boleh lah anggap gejala2 ini berpunca dari otak. Sebenarnya banyak lagi gejala2 yang tidak dinyatakan, ianya juga dikenali sebagai "psychosomatic".Tidak semestinya anda sentiasa sedar sedang mengalami konflik kerana ada komponen2 minda anda yang terletak di zon bawah sedar atau tanpa sedar (lihat rajah kedua). Sebab itu ramai yang menafikan mengalami stres apabila ditanya. Minda manusia sangat kompleks seperti yang ditunjukkan dalam "topography of mind" di bawah.




Apabila puncanya dari otak, maka untuk mengubatnya juga di otak. Jadi sesiapa sahaja yang dapat mengubat emosi dan psikologi orang ini, gejala yang dialami boleh disembuhkan ataupun dikurangkan. Tidak hairanlah mengapa pesakit2 ini akan mendakwa sembuh selepas berjumpa dengan perawat yang mereka cari.
Di dalam situasi ini, sesiapa sahaja boleh menjadi perawat, hatta yang tidak ada kelayakan akademik dan latar belakang perubatan pun boleh menjadi perawat yang berkesan. Perawat ini pula boleh melakukan apa sahaja kaedah rawatan termasuk kaedah2 yang pelik, yang penting pesakit yakin dan percaya kepada mereka. Tentu kita pernah dengar cerita bomoh menggunakan pistol laser, torehan badan dengan tanduk, silap mata termasuk "bedah batin" dan banyak lagi. Kesan sembuh (gejala) melalui kaedah ini dinamakan KESAN PLASEBO.
Di dalam rawatan moden, doktor tidak menolak kepentingan kesan plasebo ini kerana seringkali ada elemen2 psikologi/minda yang hadir bersama dengan penyakit fizikal. Doktor merawat penyakit dengan ubat, melakukan prosedur atau pembedahan dan ini akan merawat penyakit fizikal. Gejala seperti sakit mungkin disebabkan oleh gabungan sakit fizikal dan sakit psikologikal/emosi. Seorang doktor yang mahir mampu memberi kepuasan yang tinggi jika dapat menangani kedua2 jenis sakit ini serentak. Sebab itu doktor yang mempunyai kemahiran berkomunikasi dengan baik mempunyai kelebihan dan dapat memberi lebih kepuasan kepada pesakit kerana mereka boleh menjadi perawat sakit fizikal dan sakit minda sekaligus. Tambahan pula terdapat penyakit yang boleh dipengaruhi oleh status minda atau tahap stres seseorang seperti darah tinggi, asma dan sakit jantung.
Sebagai orang awam, apabila anda mengalami gejala, pastikan anda mengesan punca gejala itu terlebih dahulu dengan berjumpa dengan doktor. Jika anda berjumpa dengan pengamal rawatan alternatif ataupun bomoh ataupun Dr.Quack terlebih dahulu, anda berkemungkinan boleh mengurangkan gejala yang dialami jika kebetulan anda mengalami gejala2 psychosomatic. Dengan kata lain anda dirawat dengan plasebo dan rasa sembuh yang anda alami itu adalah kesan plasebo.
Hari ini rawatan plasebo menjadi satu bentuk perniagaan yang besar dan boleh mendatangkan pulangan yang lumayan kerana modalnya kecil, sekecil AIR LIUR dan SENTUHAN. Walau bagaimanapun risiko kepada orang awam adalah besar kerana mereka mungkin menghidap penyakit fizikal yang serius dan boleh mengancam nyawa. Rawatan plasebo yang mereka terima itu hanya melegakan sebahagian gejala (symptoms) tetapi penyakit fizikal yang sudah wujud dalam tubuh mereka terus merebak, apabila sedar mungkin sudah terlewat.
Kita semua bersetuju bahawa manusia hanya mampu berikhtiar dan yang menyembuhkan adalah Allah swt. Nabi menegaskan bahawa Allah akan sembuhkan penyakit jika ikhtiar itu sesuai dan betul. Sabda Rasulullah saw dari Jabir R.A:
" Bagi setiap penyakit ada ubatnya, maka apabila ubat itu sesuai, akan sembuh dengan izin Allah" (Riwayat Muslim dan Ahmad).
Jika penyakit itu dirawat oleh pakar di dalam bidangnya, maka kemungkinan besar ikhtiar/ubat yang akan disyorkan itu adalah juga ubat yang betul dan sesuai. Allah yang mengizinkan ujudnya penyakit fizikal, begitu juga dengan gejala "psychosomatic" dan kesan plasebo. Allah juga memberi ilham dan kepandaian kepada pakar untuk menjadi perawat yang mahir dan cekap.
Kalau nak tahu dengan lebih mendalam tentang KESAN PLASEBO termasuk peranannya dalam kajian klinikal boleh baca tulisan saya di pautan ini:
Dato' Dr Rushdan Noor
11hb Disember 2020

No comments:

Post a Comment