RAWATAN UTAMA (MENGAMBIL CONTOH MINYAK IKAN/OMEGA-3)
Ramai yang keliru tentang maksud ubat dan suplemen. Malahan ada pengamal perubatan turut terjebak dengan menawarkan suplemen untuk menggantikan ubat. Semenjak kebelakangan ini, terdapat golongan yang anti-ubat moden contohnya anti-statin. Mereka menyebarkan salah faham tentang statin hingga ada yang mendakwa kalau ditanya apakan ubat yang mereka tidak akan ambil, salah satunya adalah statin. Sedangkan mengikut garispanduan amalan klinikal dan nasihat dari pakar jantung, ada golongan tertentu yang mendapat manfaat dari ubat statin dan ubat ini terbukti berkesan berdasarkan kepada banyak kajian klinikal.
Jika satu jenis ubat tidak sesuai, ada pilihan lain yang boleh disyorkan pakar. Namun ramai yang menolak ubat moden lalu beralih kepada suplemen seperti minyak ikan, minyak zaitun dan lain-lain.
Di sinilah kekeliruan besar mereka menggantikan ubat dengan suplemen. Dalam rencana ini saya mengambil contoh suplemen minyak ikan ataupun asid lemak omega-3. Banyak lagi jenis2 suplemen dalam bentuk minyak, pil, kapsul dan jus dan rencana ini terpakai untuk semua jenis suplemen.
UBAT ADALAH RAWATAN UTAMA BILA SAKIT
Rawatan moden menekankan diet, berat badan sihat, senaman, cukup tidur dan kawalan stres sebagai pendekatan asas. Ubat diperlukan apabila pesakit memenuhi kriteria2 tertentu.
Dalam penyakit jantung, statin, aspirin, ubat darah tinggi dan ubat diabetes terbukti mengurangkan risiko serangan jantung, angin ahmar, komplikasi penyakit dan kematian. Jenis ubat ditentukan melalui penilaian pakar dan panduan garispaduan amalan klinikal, bukan sewenang-wenangnya.
Matlamat sebenar merawat penyakit kronik bukan setakat mencantikkan bacaan tetapi untuk mencegah komplikasi penyakit terhadap organ badan, mencegah serangan penyakit berulang, memperbaiki kualiti hidup dan memanjangkan hayat. Penyakit kronik pada tahap tertentu boleh juga dipulihkan sepenuhnya ataupun mencapai remisi ("remission").
Suplemen omega-3 pula hanya dikaji sebagai tambahan atau suplemen, bukan pengganti. Jika ubat ditinggalkan dan hanya bergantung pada suplemen, risiko komplikasi meningkat dan penyakit sukar dikawal, akhirnya matlamat sebenar rawatan penyakit tidak tercapai.
SUPLEMEN SEBAGAI IKHTIAR TAMBAHAN
Omega-3 mungkin memberi manfaat sederhana kepada pesakit tertentu seperti mereka yang pernah diserang jantung atau trigliserida tinggi. Namun, manfaat itu hanya muncul apabila digabungkan dengan rawatan moden. Inilah hasil dari banyak kajian klinikal yang besar dan selari dengan saranan pertubuhan2 kesihatan antarabangsa termasuk Pertubuhan Jantung Amerika ("American Heart Association (AHA)".
Suplemen tidak boleh diuji bersendirian kerana mengikut etika di dalam penyelidikan, ubat yang berkesan tidak boleh dibandingkan dengan sesuatu yang belum dipastikan keberkesanannya. Kajian seumpama ini berpotensi memudaratkan peserta kajian yang hanya mengambil suplemen.
TIDAK ADA BUKTI KUKUH UNTUK ORANG SIHAT
Kajian besar seperti VITAL dan ASCEND menunjukkan asid lemak omega-3 (DHA dan EPA) tidak mengurangkan risiko jantung atau angin ahmar pada individu sihat. Pertubuhan Jantung Amerika juga menyatakan tiada bukti kukuh.
Sebaliknya, dalam konteks pencegahan, pemakanan ikan berlemak seperti salmon, sardin atau tenggiri jauh lebih bermanfaat. Ikan bukan sahaja membekalkan omega-3, tetapi juga protein berkualiti, vitamin D dan selenium, nutrien penting yang tidak wujud dalam produk suplemen.
SUPLEMEN TIDAK BEBAS DARI KESAN SAMPINGAN
Suplemen bukan jaminan selamat. Omega-3 boleh menyebabkan loya, cirit-birit, sendawa berbau ikan, dan risiko pendarahan jika diambil dengan ubat cair darah. Ia juga boleh meningkatkan LDL.
Kajian STRENGTH mendapati dos tinggi omega-3 meningkatkan risiko fibrilasi atrium ("atrial fibrillation"), iaitu irama jantung tidak normal yang berbahaya.
Tambahan pula, kajian mendapati lebih 90% pengguna minyak ikan di AS mendapat dos tidak tepat kerana label produk mengelirukan. Akhirnya ramai hanya membazir wang dan berisiko jika meninggalkan ubat untuk suplemen.
Belum lagi menyentuh kesan sampingan yang lain terhadap organ dan juga isu berkaitan dengan campur palsu dengan ubat2an terlarang.
KENAPA KAJIAN MENGAMBIL SUPLEMEN SAHAJA TIDAK MEYAKINKAN
Hampir semua kajian omega-3 dilakukan atas pesakit yang sudah atau sedang menerima rawatan moden. Manfaat tambahan yang ditemui hanya berlaku apabila ia digabungkan dengan ubat.
Kajian menggunakan omega-3 sahaja (secara bersendirian) sukar dilakukan untuk tujuan perbandingan kerana boleh dianggap tidak beretika, menolak rawatan yang sudah terbukti berkesan. Justeru, banyak kajian melibatkan perbandingan gabungan ubat dan suplemen versus ubat sahaja.
"TAPI SAYA AMBIL SUPLEMEN BERKESAN, DOKTOR PUN TERKEJUT"
Dalam merawat penyakit, usaha kita bukan sekadar dengan ubat atau suplemen sahaja, tetapi turut melibatkan diet sihat dan senaman. Bezanya, ubat moden yang disyorkan terbukti berkesan secara sendirian melalui kajian klinikal yang ketat. Apa yang dianggap kesan suplemen sebenarnya mungkin hasil diet ekstrem dan senaman.
Ubat moden bukan sekadar menurunkan bacaan ujian darah, tetapi terbukti mengurangkan komplikasi, mencegah serangan penyakit berulang, meningkatkan kualiti hidup dan memanjangkan jangka hayat.
Mengatakan ubat atau produk itu berkesan atas alasan pengalaman diri sendiri adalah satu bentuk testimoni. Testimoni adalah kaedah yang paling lemah untuk membuktikan sesuatu mengikut disiplin ilmu perubatan.
Pihak KKM juga kerapkali menemui suplemen atau produk kesihatan yang dicampur palsu dengan ubat2 terkawal seperti metformin (ubat diabetes), steroid dan lain-lain.
KESIMPULAN
Suplemen minyak ikan ataupun lain suplemen seumpamanya mungkin ada manfaat kecil dalam keadaan tertentu, tetapi tidak pernah menyamai keberkesanan ubat moden yang diuji dalam kajian besar.
Menggantikan ubat dengan suplemen adalah berisiko dan memudaratkan. Hakikatnya, suplemen hanyalah pelengkap; asas sebenar pencegahan dan rawatan ialah diet sihat, senaman, serta kepatuhan kepada ubat moden yang terbukti berkesan dan selamat.
Bila sakit, berjumpalah doktor bertauliah dan beretika, bukan penjual suplemen. Jika mahu mencuba suplemen, lakukan dengan nasihat dan pengawasan doktor.
Dato' Dr.Rushdan Noor
26hb Sep 2025
RUJUKAN
1. Manson, J. E., Cook, N. R., Lee, I.-M., et al. (2019). Marine n−3 Fatty Acids and Prevention of Cardiovascular Disease and Cancer — VITAL Trial. NEJM, 380(1), 23–32.
2. Bowman, L., Parish, S., et al. (2018). Effects of n−3 Fatty Acid Supplements in Diabetes Mellitus (ASCEND). NEJM, 379(16), 1540–1550.
3. Abdelhamid, A. S., Brown, T. J., Brainard, J. S., et al. (2020). Omega-3 fatty acids for the primary and secondary prevention of cardiovascular disease. Cochrane Database Syst Rev, CD003177 (pub5).
4. O’Connor, E. A., Evans, C. V., Ivlev, I., et al. (2022). Vitamin and Mineral Supplements for the Primary Prevention of Cardiovascular Disease and Cancer. JAMA, 327(23), 2334–2347.
5. Siscovick, D. S., Barringer, T. A., Fretts, A. M., et al. (2017). Omega-3 Polyunsaturated Fatty Acid Supplementation and the Prevention of Clinical Cardiovascular Disease: A Science Advisory From the AHA. Circulation, 135(15), e867–e884.
6. Aung, T., Halsey, J., Kromhout, D., et al. (2018). Associations of Omega-3 Fatty Acid Supplement Use With Cardiovascular Disease Risks: Meta-analysis of 10 Trials. JAMA Cardiol, 3(3), 225–234.
7. Nicholls, S. J., Lincoff, A. M., Garcia, M., et al. (2020). Effect of High-Dose Omega-3 Fatty Acids vs Corn Oil on Major Adverse Cardiovascular Events (STRENGTH Trial). JAMA, 324(22), 2268–2280.
8. Assadourian, J. N., Madenci, A. L., Chiu, C. H., Kim, D. H., Tucker, C. A., Cannon, C. P., & Vaduganathan, M. Health Claims and Doses of Fish Oil Supplements in the US. JAMA Cardiology, 2023 8(9), 935–941.
9. Bhatt, D. L., Steg, P. G., Miller, M., et al. (2019). Cardiovascular Risk Reduction with Icosapent Ethyl for Hypertriglyceridemia. New England Journal of Medicine, 380(1), 11–22.
10. Visseren, F. L. J., Mach, F., Smulders, Y. M., et al. (2021). 2021 ESC Guidelines on cardiovascular disease prevention in clinical practice. European Heart Journal, 42(34), 3227–3337.
No comments:
Post a Comment