Monday, 1 September 2025

INDUSTRI "WELLNESS": RAKYAT SEMAKIN SIHAT ATAU PENIAGA SEMAKIN KAYA?


 

PENDAHULUAN

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, istilah “wellness” atau kesihatan holistik semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Industri ini meliputi pelbagai aspek daripada senaman, meditasi, spa, suplemen, sehinggalah aplikasi kesihatan mental. Nilainya kini dianggarkan mencecah USD 5.6 trilion di seluruh dunia.

Namun, persoalan besar yang wajar kita renungkan ialah: adakah industri ini benar-benar membantu kita menjadi lebih sihat, atau sekadar menjadikan peniaga semakin kaya dengan ilusi kesihatan yang dijual pada harga tinggi?

PILIHAN JENIS PERKHIDMATAN KESIHATAN 

Apabila berdepan masalah kesihatan, masyarakat pada asasnya mempunyai dua pilihan.

Pertama, rawatan moden berasaskan bukti saintifik. Ia melalui kajian klinikal yang ketat, sentiasa dipantau, dan ditambah baik bagi menjamin keberkesanan serta keselamatan pesakit. Walaupun tidak sempurna, ia tetap menjadi asas sistem kesihatan yang boleh dipercayai.

Kedua, rawatan dan produk daripada industri “wellness”. Untuk meraih keyakinan orang ramai, ia sering menggunakan istilah meyakinkan seperti “perubatan integratif”, “fungsional”, “alternatif” atau “komplementari”. Hakikatnya, sebahagian besar pendekatan ini tidak disokong bukti kukuh, malah keberkesanannya jarang dibuktikan secara saintifik. Hanya sebahagian kecil sahaja yang sesuai diambil sebagai komplementari kepada amalan perubatan moden.

RAWATAN ALTERNATIF DAN PERNIAGAAN

Kekuatan terbesar industri wellness bukanlah pada rawatannya, tetapi pada pemasarannya. Dengan slogan seperti “semula jadi”, “holistik” , “alami” dan "merawat punca" ("root cause"), pengguna seolah-olah diyakinkan bahawa produk itu lebih baik dan selamat. Namun, di sebalik label indah ini, banyak rawatan tidak terbukti keberkesanannya, malah ada yang berisiko.

Lebih membimbangkan, ada pengamal alternatif yang sengaja menanam keraguan terhadap perubatan moden, termasuk vaksin. Ada pula laman sesawang yang menawarkan “pengganti vaksin”, sedangkan tindakan ini boleh mengundang bencana kesihatan awam. Kajian menunjukkan individu yang cenderung kepada rawatan alternatif lebih mudah menolak vaksin dan ubatan moden, sekali gus membuka ruang kepada penularan penyakit berjangkit serta kegagalan mengawal penyakit bukan berjangkit (NCD).

Di Amerika Syarikat, industri ini bahkan berjaya menembusi institusi rasmi. Bermula dengan Office of Alternative Medicine pada 1991, ia kemudiannya bertukar nama beberapa kali sehingga akhirnya menjadi National Center for Complementary and Integrative Health pada 2014. Perubahan nama ini memberi gambaran seolah-olah rawatan alternatif setaraf dengan perubatan moden, walaupun bukti saintifik masih lemah.

Dorongan keuntungan yang lumayan menjadikan industri wellness menarik bukan sahaja minat ahli perniagaan, malah sebahagian pengamal perubatan moden yang asalnya berpegang kepada prinsip "evidence-based medicine". Konflik antara prinsip dan keuntungan sering kali membuatkan ramai yang tergoda untuk terjun ke dunia ini. Sedangkan, banyak dari amalan dan produk kesihatan alternatif ini berasaskan pseudosains dan pseudoperubatan. Rupa2nya pseudosains boleh menjana pendapatan yang mungkin lebih besar kerana sasarannya kepada semua orang, yang sihat dan yang sakit. 

KESIMPULAN

Industri wellness kini berkembang pesat sehingga menjadi perniagaan bernilai triliun dolar. Tetapi di sebalik pertumbuhan itu, wujud risiko besar apabila masyarakat dikelirukan dengan istilah manis yang kosong daripada bukti.

Kesihatan adalah aset paling berharga dalam hidup kita. Jangan sesekali digadaikan hanya kerana slogan “semula jadi” atau janji manis yang tidak diuji. Pilihlah rawatan berasaskan sains dan bukti, kerana hanya itulah yang benar-benar mampu melindungi kita untuk jangka panjang.

Dato' Dr.Rushdan Noor

3hb September 2025

RUJUKAN

1. Global Wellness Institute. The Global Wellness Economy: Country Rankings. 2023.https://globalwellnessinstitute.org

2. The Edge :  https://theedgemalaysia.com/article/wellness-industry-growing-fast

3. Hornsey MJ, Harris EA, Fielding KS. The psychological roots of anti-vaccination attitudes: A 24-nation investigation. Health Psychology. 2018;37(4):307–315. https://doi.org/10.1037/hea0000586

4. Wardle J, Frawley J, Steel A, Sullivan E. Complementary medicine and childhood immunisation: A critical review. Vaccine. 2016;34(38):4484–4500. https://doi.org/10.1016/j.vaccine.2016.07.026

5. National Center for Complementary and Integrative Health (NCCIH). About NCCIH. https://www.nccih.nih.gov/about

6. Center for Countering Digital Hate. The Disinformation Dozen. 2021. https://counterhate.com/research/the-disinformation-dozen

7. US Food and Drug Administration. Warning Letters Database. https://www.fda.gov/inspections-compliance-enforcement-and-criminal-investigations/compliance-actions-and-activities/warning-letters


No comments:

Post a Comment