Sunday, 31 August 2025

APABILA TOKOH PSEUDOSAINS MENERAJUI KESIHATAN AMERIKA SYARIKAT

 


APABILA TOKOH PSEUDOSAINS MENERAJUI KESIHATAN AMERIKA SYARIKAT 

Pelantikan RFK Jr. sebagai Setiausaha Kesihatan Amerika Syarikat (HHS) pada Februari 2025 telah mencetuskan kontroversi besar.

Beliau terkenal dengan pandangan anti-V, kecenderungan kepada teori konspirasi kesihatan, dan tiada kelayakan perubatan (beliau kelulusan bidang Sejarah, Undang-undang & Alam Sekitar). Kini, beliau berkuasa penuh menentukan dasar kesihatan negara paling berpengaruh di dunia.

Ini adalah amaran jelas, apabila pseudosains mengatasi sains moden, kesihatan rakyat boleh terancam.

TINDAKAN RFK JR YANG MENCEMAR DASAR KESIHATAN AMERIKA

1. Pemecatan besar-besaran di CDC & NIH. Ramai pegawai kanan dipecat, termasuk Pengarah CDC. Beliau gantikan dengan tokoh kontroversi yang meragui vaksin. Akibatnya 3 orang saintis ternama di CDC telah meletakkan jawatan.

2. Memecat 17 anggota ACIP (jawatan panel vaksinasi). Semua pakar diganti dengan individu yang cenderung anti-V. Garispanduan pemberian vaksin juga diubah dengan mengetatkan syarat kelayakan dan menghadkan akses vaksin kepada golongan tertentu. 

3. Laporan rasmi pertama (MAHA Report) penuh kecacatan. Banyak rujukan tidak wujud & dipercayai dihasilkan oleh AI.

4. Enggan mendengar taklimat saintifik. Pegawai kanan CDC, Dr. Demetre Daskalakis, meletak jawatan kerana RFK Jr. menolak fakta saintifik tentang COVID-19, influenza & campak.

5. Mempromosikan rawatan alternatif berbanding vaksin. Dalam menangani wabak campak, beliau sarankan vitamin A, minyak hati ikan & diet sebagai ganti vaksin.

6. Sejarah panjang pandangan pseudosains dan kepercayaan kepada teori konspirasi. Kenyataan & tindakan beliau  jelas menimbulkan keraguan terhadap vaksin. Menolak pendapat HIV menyebabkan AIDs dan bakteria menyebabkan penyakit. Menggalakkan terapi kontroversi seperti susu mentah, terapi hiperbarik, chelation, diet detox, ivermectin dll. Mempercayai teori konspirasi seperti teori chemtrails, teori Lyme disease, pengaruh "Big Pharma", dan lain2. 

7. Tindakan terbaru beliau adalah mengarahkan pihak sebuah jurnal menarik balik kajian besar yang menyangkal kaitan antara aluminium dalam vaksin dengan penyakit (termasuk autisma).Tindakan beliau ini dianggap satu bentuk campur tangan politik ke dalam kajian saintifik. Beliau juga mempunyai sejarah memburuk2kan jurnal berimpak tinggi seperti NEJM, JAMA dan lain2 dengan tuduhan yang tidak berasas sedangkan beliau sendiri bukan dari bidang perubatan dan tidak pernah menerbitkan apa2 kertas kajian.

8. Memotong pembiayaan banyak aktiviti kajian klinikal, antaranya Kajian Alzeimers , kajian mRNA,  kajian kaitan Autisma dan faktor persekitaran dan ada berita yang perlukan pengesahan melibatkan Pediatric Brain Tumour Consortium yang beroperasi menjalankan kajian klinikal ke atas kanak2 yang menghidap kanser otak dan lain2.

Ini baru langkah2 awal, kita akan menyaksikan banyak lagi tindakan yang mengejutkan bakal dilakukan jika beliau terus berkuasa. Komuniti sains perubatan di Amerika sedang berusaha melancarkan petisyen untuk mendesak presiden menggantikan beliau. Organisasi  kesihatan awam, pakar2 perubatan, bekas2 kakitangan CDC dan senator2 seperti Angela Alsobrook dan Bernie Sanders mendesak JFK Jr meletakkan jawatan sebelum kerosakan lebih serius keatas sistem kesihatan negara. 

APAKAH KESAN KE ATAS SISTEM KESIHATAN GLOBAL

Tindakan Robert F. Kennedy Jr. di Amerika Syarikat bukan sahaja menggugat sistem kesihatan negaranya sendiri, malah memberi kesan global kerana AS merupakan rujukan utama dalam dasar kesihatan dunia. Peruntukan ke atas aktiviti penyelidikan yang dikurangkan dan kurang galakan untuk mengamalkan prinsip perubatan berasaskan bukti boleh menjejas kualiti perkhidmatan kesihatan.

Apabila dasar rasmi dipengaruhi ideologi anti-sains/pseudosains, ia melemahkan kepercayaan masyarakat antarabangsa terhadap sains moden, memberi ruang kepada gerakan anti-perubatan moden/vaksin global untuk semakin berani, serta menjejaskan kerjasama antarabangsa dalam menangani wabak. Lebih membimbangkan, kelemahan dasar kesihatan AS boleh melambatkan tindak balas global terhadap krisis penyakit berjangkit, menjejaskan bekalan ubat/vaksin, serta melemahkan solidariti kesihatan antarabangsa yang amat diperlukan dalam dunia yang saling bergantungan.

MENGAPA PENTING MELANTIK PEMIMPIN YANG BETUL

Apabila individu seperti RFK Jr. diberi kuasa, dasar kesihatan boleh diselewengkan untuk memenuhi agenda ideologi, bukan kesejahteraan rakyat. Akibatnya, wabak boleh kembali menular, nyawa rakyat terkorban, dan kepercayaan awam terhadap sains hancur.

Selagi kepimpinan sistem kesihatan Amerika ini tidak berubah, jangan hairan nanti akan timbul pelbagai tindakan dan kenyataan serta dakwaan yang janggal dan bertentangan dengan pendirian komuniti perubatan dan saintifik antarabangsa.

BAGAIMANA MENCEGAH PERKARA INI BERLAKU DI NEGARA KITA

Kita bersyukur setakat ini negara belum mengalami situasi seperti di Amerika dan berharap ianya dapat dikekalkan, walaupun banyak penambahbaikan perlu dilakukan.

1. Pelantikan pemimpin berdasarkan merit dan kelayakan. Perkhidmatan kesihatan mesti dipimpin oleh individu yang faham dan berwibawa tentang ilmu sains dan perubatan sebenar dan bukan pendokong pseudosains ataupun anti perubatan moden.

2. Pengawasan profesional. Persatuan perubatan, akademia dan NGO perlu memantau dasar kerajaan dan memberi suara lantang jika ada penyimpangan.

3. Pendidikan literasi sains. Rakyat perlu dilengkapi dengan ilmu untuk membezakan fakta/sains sebenar daripada pseudosains, melalui kurikulum sekolah/Institusi, media dan kempen KKM.

4. Tindakan undang-undang tegas. Individu atau kumpulan yang menyebarkan maklumat palsu tentang kesihatan, termasuk anti-V, mesti dikenakan tindakan kerana ancaman mereka bukan sekadar pendapat, tetapi boleh menjadi wabak infodemik yang memesong pandangan masyarakat terhadap sains moden. Natijahnya adalah musibah kepada masa depan sistem kesihatan negara.

KESIMPULAN

Apa yang berlaku di Amerika adalah pengajaran besar. Apabila seorang penolak/jahil sains memegang tampuk pentadbiran kesihatan, bukan sahaja dasar negara tergadai, malah keselamatan awam terancam. Malaysia mesti bertindak dari sekarang, pastikan tidak tersilap memilih pengemudi kesihatan negara , memperkukuh pendidikan sains dalam masyarakat, dan menguatkuasakan undang-undang terhadap penyebar maklumat palsu. Kesihatan awam adalah amanah besar, dan kita tidak boleh membiarkannya dihancurkan oleh pseudosains.

Dato' Dr.Rushdan Noor

1hb September 2025


RUJUKAN

1. Politico – Inside Kennedy’s effort to oust the CDC director (29 Ogos 2025) https://www.politico.com/news/2025/08/29/inside-kennedys-effort-to-oust-the-cdc-director-00537125

2. AP News – With CDC in chaos, scientists and physicians piece together replacements for agency's lost work (29 Ogos 2025). https://apnews.com/article/b4eeba69e03a8d4ed50fb0a12fbcec6e

3. The Daily Beast – MAGA Senator Who Backed RFK Jr. Sounds Alarm on Anti-Vax Panel (Ogos 2025). https://www.thedailybeast.com/maga-senator-who-backed-rfk-jr-sounds-alarm-on-anti-vax-panel

4. HHS.gov – Executive Order: Make America Healthy Again (Februari 2025). https://www.hhs.gov/press-room/eo-maha.html

5. Wikipedia – Robert F. Kennedy Jr. (dikemaskini 2025, seksyen MAHA report & Vaccine controversy). https://en.wikipedia.org/wiki/Robert_F._Kennedy_Jr.

6. Washington Post – Kennedy’s refusal to heed science prompts resignation of senior CDC official (28 Ogos 2025). https://www.washingtonpost.com/opinions/2025/08/28/kennedy-monarez-cdc-director-vaccines/

7. Skadden – Under RFK Jr., U.S. Health Policy and FDA Operations May See Major Shifts (Februari 2025) https://www.skadden.com/insights/publications/2025/02/under-rfk-jr-us-health-policy-and-fda-operations-may-see-major-shifts

8. Politico – Who is RFK Jr.? (Profil pandangan & kontroversi RFK Jr.). https://www.politico.com/robert-f-kennedy-jr

9. Associated Press (AP News). Lawmakers question Kennedy on staffing cuts, funding freezes and policy changes at health department https://apnews.com/article/8c99853031507ecb5408b4132329cdea

10. U.S. Senator Tammy Baldwin (Laman rasmi Senat AS). Baldwin Hits RFK Jr. on Devastating Cuts to Clinical Trials, Cancer, and Alzheimer’s Research. https://www.baldwin.senate.gov/news/press-releases/watch-baldwin-hits-rfk-jr-on-devastating-cuts-to-clinical-trials-cancer-and-alzheimers-research-at-senate-hearing

11. FactCheck.org. RFK Jr. Denies Cuts to Scientific Research While Slashing Staff, Funding. https://www.factcheck.org/2025/05/rfk-jr-denies-cuts-to-scientific-research-while-slashing-staff-funding

12. Clinical Advisor. RFK Jr. Cancels $500M in mRNA Vaccine Research Projects. https://www.clinicaladvisor.com/news/rfk-jr-cancels-500m-in-mrna-vaccine-research-projects

13. OncoDaily. RFK Jr. Slashes Funding for mRNA Vaccine Research. https://oncodaily.com/societies/mrna-vaccine-research-funding-robert-f-ken

14. Science Media Centre (UK). Expert reaction to RFK Jr. cancelling $500m of funding for mRNA vaccines. https://www.sciencemediacentre.org/expert-reaction-to-rfk-jr-cancelling-500m-of-funding-for-mrna-vaccines

15. ProPublica. RFK Jr. Cuts Autism and Environmental Research Funding. https://www.propublica.org/article/rfk-jr-autism-environment-research-funding

16. https://kffhealthnews.org/news/article/senior-cdc-officials-resign-susan-monarez-ouster-concerns-over-scientific-independence/

17. https://www.thebulwark.com/p/kennedy-rfk-jr-cdc-purge-anti-vaccination

18. https://www.facebook.com/share/p/1Hhg3Kuumw/

19. https://www.facebook.com/share/p/18R7ENFfHX/

20. https://news.immunologic.org/p/rfk-jr-destroyed-vaccine-trust-for

21. https://www.nytimes.com/2025/08/30/opinion/bernie-sanders-robert-f-kennedy-jr-resign-hhs.html

22. https://www.facebook.com/share/p/1A4c2M6Jhw/

23. https://www.facebook.com/share/p/1AGQR55CQJ/

24. https://www.nytimes.com/2025/08/28/well/pediatric-brain-cancer-trial-group.html

25. https://www.facebook.com/share/p/17HHVsWCn7/ (RFK Jr mengarahkan pihak jurnal menarik balik kertas kalian mengenai kaitan antara Aluminium dalam vaksin dan penyakit)

No comments:

Post a Comment