Tuesday, 12 August 2025

KISAH AMANDA KNOX: APABILA MEDIA MENJADI HAKIM AWAM

 

Pada tahun 2007, Amanda Knox, seorang pelajar Amerika berusia 20 tahun, berada di Perugia, Itali, untuk program pertukaran pelajar. Dia tinggal di sebuah rumah sewa bersama rakan serumah, Meredith Kercher dari UK. Pada 1 November 2007, Meredith ditemui mati dibunuh dengan kejam di bilik tidurnya.

Polis Itali menahan Amanda, teman lelakinya Raffaele Sollecito, dan seorang lelaki lain, Rudy Guede. Rudy kemudian disabitkan bersalah melalui bukti DNA yang ditemui di lokasi kejadian. 

Bagi Amanda dan Raffaele, bukti forensik terhadap mereka sangat lemah, dan beberapa bahan bukti utama kemudian didapati tercemar atau dikendalikan secara tidak betul. Walaupun begitu, media Itali dan antarabangsa memberi liputan sensasi, menonjolkan naratif seksual dan gelaran “Foxy Knoxy”, seolah-olah Amanda terlibat dalam permainan seks berbahaya dan motif cemburu. 

BAGAIMANA MEDIA MENGHUKUM SEBELUM MAHKAMAH

Liputan media memberi tumpuan berlebihan kepada watak Amanda ,senyuman, cara berpakaian, sikap di mahkamah , berbanding bukti siasatan. Pelbagai gelaran diberikan kepada beliau seperti psikopath, pelacur dan manipulatif. 

Setiap gerak-geri ditafsirkan negatif; senyumannya dianggap “tidak berperasaan” walaupun dia berada di bawah tekanan luar biasa. Spekulasi liar dan teori konspirasi dijadikan berita utama, walaupun tidak disokong bukti sahih.

Sistem kehakiman Itali menggunakan gabungan hakim profesional dan “lay judges” (orang awam) dalam kes jenayah serius, bukan juri penuh seperti di AS atau UK. Walaupun begitu, persepsi awam yang dibentuk media tetap berpotensi mempengaruhi penilaian di mahkamah.

AKIBATNYA

Persepsi awam membentuk “hukuman” lebih awal daripada keputusan mahkamah.

Amanda dan keluarganya menerima cemuhan serta ancaman di seluruh dunia.

Fokus media terhadap Amanda menenggelamkan fakta bahawa hanya Rudy Guede yang akhirnya disabitkan bersalah secara muktamad.

PENGAKHIRAN

Pada tahun 2009, Amanda dan Raffaele disabitkan bersalah dan Amanda dijatuhkan hukuman penjara 26 tahun. 

Namun, selepas proses rayuan berulang kali dan penilaian semula bukti, Mahkamah Agung Itali pada 2015 membebaskan mereka sepenuhnya, menyatakan tiada bukti kukuh yang mengaitkan mereka dengan pembunuhan Meredith Kercher.

Pada 2019, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) memutuskan bahawa hak Amanda dilanggar semasa soal siasat, kerana tidak diberikan peguam dan penterjemah yang mencukupi, dan memerintahkan kerajaan Itali membayar ganti rugi. 

Walaupun namanya dibersihkan dari segi undang-undang, reputasinya sudah tercalar, dan trauma “dihukum” oleh media kekal sepanjang hayatnya.

PENGAJARAN

Kajian media mendapati imej Amanda sebagai “penjenayah” kekal dalam minda ramai orang walaupun mahkamah membuktikan sebaliknya. Orang ramai berdemonstrasi membantah pembebasan beliau kerana sebahagian rakyat Itali masih menganggap beliau bersalah, menunjukkan betapa kuatnya kesan naratif media.

Kisah Amanda Knox adalah contoh klasik bagaimana emosi, persepsi, dan sensasi media boleh mendahului bukti sebenar. Tak kisah samada perjuangan menuntut keadilan mangsa ataupun mengenalpasti pesalah, kisah Amanda mengingatkan kita bahawa keadilan memerlukan kesabaran, verifikasi, dan keseimbangan antara empati dan fakta.

Dalam era media sosial hari ini, risiko “menghukum” tanpa bukti yang lengkap jauh lebih tinggi kerana maklumat dan salah maklumat tersebar sekelip mata. 

Solidariti tanpa asas bukti yang kukuh, sebagaimana yang berlaku kepada Amanda, boleh menghancurkan reputasi seseorang, memusnahkan hidupnya  dan menggugat proses keadilan.

Dato' Dr.Rushdan Noor

13hb Ogos 2025

RUJUKAN

1. Journal of Criminal Justice and Popular Culture. (2015). Tabloid media parochialism and the trials of Amanda Knox. https://jcjpc.org/s/Tabloid-media-parochialism-and-the-trials-of-Amanda-Knox-Draft.pdf

2. Chan, M. (2016, September 30). What to know about the Amanda Knox case. TIME. https://time.com/4513505/amanda-knox-case-what-to-know/

3. Duca, L. (2016, September 29). What really happened in the Amanda Knox case?. Vogue. https://www.vogue.com/article/amanda-knox-documentary-netflix-what-happened-review

4. Winfield, N. (2021, January 14). Amanda Knox says false narrative painted her as a killer. AP News. https://apnews.com/article/ecdbdb97adc34f74a12f026ee7398686

5. Linder, D. O. (n.d.). The Amanda Knox case: A chronology. Famous Trials. https://famous-trials.com/amanda-knox/2634-the-amanda-knox-case-a-chronology

6. Wikipedia contributors. (2025). Murder of Meredith Kercher. In Wikipedia. https://en.wikipedia.org/wiki/Murder_of_Meredith_Kercher

No comments:

Post a Comment