Thursday, 7 August 2025

GARAM DAN TEKANAN DARAH : MEMAHAMI HUBUNGANNYA SECARA OBJEKTIF

 


Tahukah anda, terdapat sesetengah pihak yang giat menyebarkan salah faham bahawa garam atau sodium bukanlah penyebab kepada tekanan darah tinggi? Dalam rencana ini, saya akan mengupas kenyataan tersebut berdasarkan bukti saintifik dan cuba memahami mengapa isu ini menjadi perdebatan dalam kalangan pengamal diet tertentu.

SODIUM : PENTING, TETAPI DALAM HAD TERTENTU

Sodium adalah mineral penting untuk fungsi tubuh seperti mengawal keseimbangan cecair,  fungsi  saraf dan otot. Namun, pengambilan berlebihan boleh membawa risiko kesihatan.

Sangat banyak kajian yang disiarkan dalam jurnal berimpak tinggi mengesahkan hubungan antara Sodium dan darah tinggi. Kajian meta-analisis dan kajian rawak terkawal (RCT) menunjukkan bahawa pengurangan sodium dalam diet secara konsisten menurunkan tekanan darah. Hubungan ini juga bersifat linear,  lebih tinggi pengambilan sodium, lebih tinggi risiko tekanan darah tinggi.

Sebagai contoh, kajian DASH-Sodium yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine menunjukkan bahawa pengambilan sodium sebanyak 1500 mg sehari menurunkan tekanan darah secara signifikan berbanding pengambilan 3000 mg sehari, penurunan sebanyak 11.5 mmHg sistolik dan 5.7 mmHg diastolik dalam kalangan mereka yang menghidap darah tinggi.

Atas sebab itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan KKM mencadangkan agar pengambilan sodium harian tidak melebihi 2000 mg, bersamaan kira-kira 5 gram garam sehari. Begitu juga pertubuhan2 kesihatan antarabangsa yang lain.

KENAPA ADA YANG MEMPERTAHANKAN PENGAMBILAN GARAM/SODIUM TINGGI ?

Sering terlintas di laman facebook kita dakwaan2 yang mengatakan sodium bukan penyebab darah tinggi dan menolak amalan menghadkan pengambilan garam/sodium Naratif yang cuba ditonjolkan nampaknya bertentangan dengan pandangan arus perdana dunia perubatan. Mengapa mereka ini tiba2 jadi begitu ?

Dalam konteks diet rendah karbohidrat seperti diet ketogenik, keperluan sodium menjadi lebih tinggi. Diet ini mengurangkan simpanan glikogen dan menyebabkan kehilangan air serta sodium dan beberapa lagi mineral melalui buah pinggang. Ini boleh menyebabkan gejala kekurangan mineral termasuk sodium seperti loya, muntah, sakit kepala, keletihan dan kekejangan otot.

Fenomena ini dikenali sebagai "keto flu". Justeru, sesetengah pengamal diet keto mencadangkan pengambilan sodium sehingga 5000 mg sehari, jauh lebih tinggi daripada saranan WHO dan KKM.

Namun, penting untuk difahami bahawa di dalam mempertahankan sesuatu diet khusus, contohnya diet Keto ini,  jangan pula menolak bukti kukuh bahawa pengambilan sodium berlebihan memberi risiko kepada kesihatan awam secara keseluruhan, terutamanya bagi mereka yang tidak mengamalkan diet keto, mempunyai masalah kesihatan kronik, atau kurang aktif secara fizikal.

KESIMPULAN

Pengambilan sodium sememangnya penting, tetapi harus disesuaikan mengikut keperluan individu dan latar belakang kesihatan masing-masing. Bagi kebanyakan orang, terutama mereka yang mengamalkan diet seimbang dengan karbohidrat mencukupi, pengambilan garam/sodium yang tinggi perlu dielakkan kerana boleh memudaratkan kesihatan..

Sebaliknya, untuk mereka yang mengamalkan diet rendah karbohidrat secara ketat, nasihat profesional kesihatan adalah penting dalam menentukan jumlah sodium yang sesuai agar tidak berlaku kesan sampingan yang memudaratkan.

Yang paling penting, kita tidak sepatutnya menyebarkan maklumat bahawa garam/sodium tidak berbahaya kepada semua orang, kerana ini boleh mengelirukan dan membahayakan masyarakat umum yang sudahpun berisiko tinggi kepada penyakit kardiovaskular. Sampaikanlah dengan bertanggungjawab dan beretika, lebih2 lagi jika anda mempunyai ramai pengikut.

Nota :  1 sudu teh garam (~5g) mengandungi lebih kurang 2000 mg natrium

Dato' Dr Rushdan Noor

8hb Ogos 2025

RUJUKAN

1. He FJ, Li J, MacGregor GA. Effect of longer‑term modest salt reduction on blood pressure: Cochrane systematic review and meta‑analysis of randomised trials. BMJ. 2013 Apr 30;346:f1325. DOI:10.1136/bmj.f1325  

2. Filippini T, Malavolti M, Whelton PK, Vinceti M. Sodium intake and risk of hypertension: a systematic review and dose‑response meta‑analysis of observational cohort studies. Curr Hypertens Rep. 2022 May 4;24:9455. DOI:10.1007/s11906-022-01182‑9  

3. Yuan C, Jing P, Jian Z, Wei X. Impact of urinary sodium on hypertension and heart failure risk: a Mendelian randomization analysis. Front Nutr. 2023 Nov 29;14:1189473. DOI:10.3389/fendo.2023.1189473  

4. DASH Collaborative Research Group (Appel LJ, Moore TJ, Obarzanek E, Svetkey LP, Sacks FM, Bray GA, et al.). A clinical trial of the effects of dietary patterns on blood pressure. N Engl J Med. 1997 Apr 17;336(16):1117–24. DOI:10.1056/NEJM199704173361601  

5. Sacks FM, Svetkey LP, Obarzanek E, Vollmer WM, Appel LJ, Bray GA, et al. Effects on Blood Pressure of Reduced Dietary Sodium and the Dietary Approaches to Stop Hypertension (DASH) diet. N Engl J Med. 2001 Jan 4;344(1):3–10. DOI:10.1056/NEJM200101043440101  

6. Volek JS, Phinney SD. The Art and Science of Low Carbohydrate Living: An Expert Guide to Making the Life‑Saving Benefits of Carbohydrate Restriction Sustainable and Enjoyable. Beyond Obesity LLC; 2011. ISBN 978‑0‑9834907‑0‑8  

7. Westman EC, Feinman RD, Mavropoulos JC, Vernon MC, Volek JS, Wortman JA, et al. Low‑carbohydrate nutrition and metabolism. Am J Clin Nutr. 2007 Aug;86(2):276–84. DOI:10.1093/ajcn/86.2.276  

8. Santos FL, Esteves SS, da Costa Pereira A, Yancy WS Jr, Nunes JPL. Systematic review and meta‑analysis of clinical trials of the effects of low carbohydrate diets on cardiovascular risk factors. Obes Rev. 2012 Nov;13(11):1048–66. DOI:10.1111/j.1467-789X.2012.01021.x

No comments:

Post a Comment