Tuesday, 16 September 2025

VAERS/PELAPORAN AEFI : ANTARA FAKTA DAN MANIPULASI ANTI-VAKSIN

 


VAERS/PELAPORAN AEFI: ANTARA FAKTA DAN MANIPULASI ANTI-VAKSIN
PENGENALAN
Dalam era media sosial, pelbagai maklumat tentang vaksin tersebar tanpa tapisan. Salah satu “senjata” yang sering digunakan oleh golongan anti-Vx ialah data daripada Vaccine Adverse Event Reporting System (VAERS) di Amerika Syarikat. Di Malaysia dan WHO kita guna istilah sistem pelaporan AEFI (Adverse Events Following Immunization) yang merupakan salah satu komponen pelaporan ADR ("Adverse Drug Reaction").
Ramai yang terkeliru kerana tidak memahami tujuan asal sistem ini. Artikel ini akan menjelaskan apa itu VAERS, bagaimana ia kerap dimanipulasi, dan bagaimana kita boleh menangkis hujah anti-Vx.
APA ITU VAERS ?
VAERS ialah sistem pelaporan pasif yang diwujudkan pada tahun 1990 oleh CDC dan FDA. Ia membenarkan peluang kepada sesiapa sahaja, sama ada doktor, jururawat, pesakit, atau ibu bapa melaporkan apa sahaja kejadian yang berlaku selepas vaksin diberikan. Tak kisah kejadian itu ada kaitan ataupun tidak ada kaitan dengan vaksin.
Tujuan utama VAERS adalah sebagai sistem amaran awal. Ia berfungsi seperti “alat penggera/alarm”. Apabila terdapat corak luar biasa, penyiasatan lanjut dijalankan menggunakan kaedah saintifik yang lebih kukuh.
Namun, VAERS tidak direka untuk membuktikan punca. Laporan di dalamnya:
1. Belum disahkan ("unverified").
2. Boleh laporkan kejadian yang kebetulan, contohnya kematian akibat kemalangan dan lain2 selepas vaksin . Kalau merujuk kepada laporan, ada kes kejutan elektrik, "sunburn", mati lemas, ditembak, dibunuh dan lain2 yang pelik juga dilaporkan. Jadi data2 dari VAERS ini sangat mentah dan caca-merba.
3. Tidak mewakili kadar sebenar kejadian kerana belum lagi disahkan kaitan dengan vaksin.
Oleh itu, VAERS hanyalah langkah awal, bukan bukti muktamad bahawa vaksin berbahaya.
BAGAIMANA ANTI-Vx MENYALAHGUNAKAN VAERS
Golongan anti-Vx sering:
1. Ambil data mentah (oleh diakses oleh orang ramai) tanpa konteks contohnya menyatakan “ribuan kematian akibat vaksin COVID-19 dilaporkan di VAERS” seolah-olah ia bukti rasmi. Hakikatnya, kebanyakan laporan ini tidak menunjukkan kaitan sebab-akibat.
2. Gagal membezakan korelasi dengan kausaliti/sebab-akibat , hanya kerana sesuatu berlaku selepas vaksin, tidak bermakna vaksin penyebabnya (contoh: hujan dan payung, bila hujan ramai guna payung, ujud korelasi antara hujan dan payung tetapi bukan payung yang menyebabkan hujan, jadi tidak ada kausaliti ataupun hubungan sebab dan akibat antara payung dan hujan. Golongan anti-Vx sering menyalahkan payung apabila hujan).
3. Memetik laporan luar biasa seperti lumpuh atau kematian, walaupun siasatan mendapati ia tiada kaitan dengan vaksin, kemudian ditularkan. Ada yang membuat kumpulan medsos mengumpulkan semua aduan penerima vaksin untuk dijadikan senjata hasutan.
Taktik ini berkesan menimbulkan keraguan di kalangan orang awam yang tidak biasa dengan istilah teknikal perubatan.
MAKLUMAT YANG ORANG RAMAI PERLU TAHU UNTUK MENEPIS DAKYAH ANTI-Vx
Seseorang yang sudah terjerumus dalam dakyah Anti-Vx memang sukar untuk keluar dari lubang arnab, jadi tumpuan kesedaran ini perlu diberikan kepada orang awam dan golongan atas pagar yang masih terbuka minda mereka. Sebagai ulangkaji dari penerangan di atas, berikut adalah beberapa maklumat penting yang perlu diketahui oleh orang ramai tentang VAERS/Pelaporan AEFI
1. Fungsi sebenar VAERS dengan analogi mudah.
VAERS ibarat sistem “alarm kebakaran”. Kadangkala alarm berbunyi kerana asap masakan, bukan kerana kebakaran sebenar. Bila alarm berbunyi, kita pergi siasat dahulu bukan terus panggil bomba. Begitu juga VAERS, ia berfungsi memberi amaran awal, tetapi perlu ada siasatan lanjut sebelum membuat kesimpulan. Anti-Vx bila dengar bunyi alarm di rumah sebelah, terus heboh rumah terbakar dan ada orang mati terbakar.
2. Tidak ada ubat dan kaedah rawatan yang sempurna dan tanpa risiko kesan sampingan.
Semua rawatan perubatan, termasuk vaksin, ada risiko. Namun, dalam konteks vaksin, pemantauan dari aspek keselamatan adalah sangat teliti, terperinci dan telus dari semenjak kajian klinikal hinggalah diberikan kepada pengguna. Malahan lebih ketat dari ubat2an lain, jadi sepatutnya orang ramai lebih yakin. Kajian besar menunjukkan manfaat vaksin jauh lebih besar berbanding mudarat. Terlalu jauh perbezaannya antara proses pemantauan vaksin berbanding dengan produk2 kesihatan dan suplemen yang dijual di pasaran. Bayangkan jika proses pelaporan yang sama dilakukan ke atas produk2 ini.
3. Proses pemantauan vaksin melalui VAERS ini sangat ketat dan telus.
Laporan VAERS yang mencurigakan disiasat melalui sistem lain yang lebih kukuh seperti Vaccine Safety Datalink (VSD) dan BEST. Kajian epidemiologi besar digunakan untuk mengesahkan atau menolak sesuatu petunjuk.
Di Malaysia, borang AEFI dihantar kepada NPRA secara manual atau melalui sistem elektronik. NPRA menyemak kes tersebut, jika serius, siasatan terperinci dijalankan termasuk rekod perubatan, ujian makmal, dan laporan bedah siasat jika ada. Kes diserahkan ke Jawatankuasa AEFI Kebangsaan untuk menilai sama ada ia berhubung kait dengan vaksin atau tidak. Semua hasil siasatan dari laporan AEFI Malaysia akan disumbangkan ke dalam VigiBase, pangkalan data global WHO.
Jika terdapat kesan sampingan serius yang disebabkan oleh vaksin, kajian terperinci dijalankan untuk mengetahui mekanisma dan kaedah pencegahan untuk disyorkan. Kadar kesan sampingan itu akan diukur dan dibandingkan dengan kadar dalam populasi umum. di samping kajian epidemiologi bagi menentukan samada ianya masih selamat diambil (manfaat lebih besar dari mudarat).

Hasil akhir siasatan tidak didedahkan kepada orang ramai dalam VAERS dataset, tetapi hanya melalui laporan analisis rasmi, penerbitan saintifik, dan mesyuarat kesihatan awam.
4. KKM dan Petugas Perubatan tidak akan mengesyorkan sesuatu yang memberi lebih kemudaratan kepada orang ramai.
VAERS atau sistem pelaporan AEFI ini adalah bukti betapa telitinya pemantauan ke atas vaksin dengan cara yang telus, lebih teliti dari ubat2an lain. Proses pelaporan dan siasatan pula melalui beberapa peringkat dan tapisan oleh pakar2. Negara kita pula perlu memanjangkan laporan ini ke peringkat antarabangsa (WHO). Dengan sistem pemantauan yang begitu ketat, orang ramai sepatutnya lebih yakin dengan vaksin.
KESIMPULAN
VAERS ataupun lain2 sistem pelapuran AEFI adalah alat penting dalam pemantauan keselamatan vaksin, tetapi bukan bukti muktamad tentang bahaya vaksin. VAERS adalah bukti vaksin dipantau begitu rapi dan telus. Ianya proses tapisan awal yang berfungsi seperti alat penggera. Tetapi malangnya golongan anti-Vx sering memanipulasi data ini untuk menakutkan masyarakat. Orang ramai perlu faham tentang fungsi sebenar VAERS/pelaporan AEFI, rajin membaca dan merujuk kepada pihak yang berwibawa untuk dijadikan benteng dari tipudaya golongan Anti-Vx. Di samping itu perlu ada pihak yang dapat menepis hujah golongan anti-Vx apabila mereka menyebarkan maklumat yang salah. Dengan itu, kepercayaan masyarakat terhadap vaksin dapat dipelihara.
Dato' Dr. Rushdan Noor
16hb Sep 2025
RUJUKAN
1. Shimabukuro TT, Nguyen M, Martin D, DeStefano F. Safety monitoring in the Vaccine Adverse Event Reporting System (VAERS). Vaccine. 2015;33(36):4398-4405. doi:10.1016/j.vaccine.2015.07.035
2. Haber P, Moro PL, Lewis P, Woo EJ, Jankosky C, Cano M. Post-licensure surveillance of vaccines: role of VAERS and v-safe. Clin Ther. 2021;43(1):37-55. doi:10.1016/j.clinthera.2020.11.004
3. Moro PL, Woo EJ, Marquez PL, Cano M. Monitoring the safety of COVID-19 vaccines using VAERS and v-safe. Vaccine. 2022;40(40):5766-5771. doi:10.1016/j.vaccine.2022.08.021
4. Institute of Medicine (US). Adverse Effects of Vaccines: Evidence and Causality. Washington (DC): National Academies Press; 2012.
5. Centers for Disease Control and Prevention (CDC). About the Vaccine Adverse Event Reporting System (VAERS). https://vaers.hhs.gov/about.html
6. World Health Organization (WHO). Vaccine safety basics. https://vaccineknowledge.ox.ac.uk/vaccine-safety
7. National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA). Adverse Event Following Immunisation (AEFI).

Contoh laporan VAERS

No comments:

Post a Comment