Friday, 19 December 2025

MENJUAL PRODUK OVERCLAIM: ANCAMAN KESIHATAN AWAM



Salah satu perkara yang menyedihkan dalam masyarakat hari ini ialah sikap memandang ringan terhadap lambakan produk kesihatan overclaim yang dipasarkan secara agresif. 

Apabila isu ini ditegur atau dibangkitkan, akan muncul hujah-hujah berbunyi  “biarlah dia nak cari makan,” “Jangan rosakkan periuk nasi orang,” “Berniaga pun salah ke?”  dan macam2 lagi. Malangnya, hujah ini meletakkan kepentingan ekonomi jangka pendek di atas keselamatan dan kesihatan masyarakat secara keseluruhan.

Masalah utama bukan pada berniaga, tetapi pada cara berniaga. Menjual produk dengan dakwaan palsu atau menjanjikan rawatan penyakit serius bukan sekadar isu etika perniagaan,  ia adalah isu keselamatan awam. 

Apabila seseorang percaya produk overclaim boleh “rawat kencing manis”, “hapuskan kanser”, atau “gantikan ubat doktor”, mereka mungkin menangguhkan atau berhenti rawatan sebenar. Kesan ini bukan teori; ia benar-benar berlaku, dan mangsa selalunya orang tua, pesakit kronik, atau mereka yang terdesak mencari harapan.

Analogi mudahnya begini:

Jika seseorang menjual helmet palsu yang kelihatan seperti helmet keselamatan, adakah kita akan berkata, “Biarlah, itu sumber pendapatan dia, dia nak cari makan” apabila pengguna maut dalam kemalangan? Atau jika ada yang menjual susu bayi tiruan dengan dakwaan nutrisi palsu, adakah kita patut berdiam diri atas alasan “jangan sabotaj perniagaan bangsa sendiri”? Dalam semua kes ini, kita faham satu perkara: bila nyawa terancam, hujah ‘cari makan’ tidak lagi relevan.

Produk overclaim juga boleh diumpamakan seperti ubat tanpa label dos. Kita tidak tahu apa kandungannya, tidak tahu keberkesanannya, dan tidak tahu kesan jangka panjangnya. Sudah banyak kes campur palsu dan kesan sampingan yang serius dikesan. Membiarkan ia berleluasa sama seperti membenarkan orang ramai memandu di jalan raya tanpa brek yang diuji, mungkin ada yang selamat, tetapi risikonya ditanggung oleh seluruh masyarakat.

Lebih menyedihkan, mangsa produk overclaim jarang orang asing. Selalunya ia adalah ibu bapa kita, adik-beradik kita, saudara mara kita sendiri. Mereka mudah percaya kerana bahasa pemasaran yang licik, testimoni beremosi, dan manipulasi agama atau sentimen bangsa. Apabila kesan buruk berlaku, peniaga mungkin sudah menghilang, tetapi beban rawatan dan penderitaan ditanggung oleh keluarga dan sistem kesihatan awam.

Membanteras produk overclaim bukan bermaksud mematikan punca rezeki, tetapi melindungi masyarakat daripada penipuan yang berpotensi memudaratkan nyawa. 

Perniagaan yang beretika tidak bergantung kepada penipuan, ketakutan, atau harapan palsu. Jika sesuatu produk benar-benar berkesan dan selamat, ia tidak perlu bersandar kepada dakwaan melampau dan serangan terhadap sains atau perubatan moden.

Akhirnya, kita perlu bertanya soalan asas:

Adakah kita mahu hidup dalam masyarakat yang mempertahankan “periuk nasi” walaupun ia mengandungi racun? Atau masyarakat yang berani berkata, rezeki yang baik tidak datang dengan memudaratkan orang lain? Kesihatan awam bukan musuh perniagaan tetapi musuh kepada penipuan yang menyamar sebagai harapan.


Dato' Dr.Rushdan Noor

19hb Dis 2025

No comments:

Post a Comment