Dalam perbincangan awam, kita sering berdepan dengan dakwaan bahawa sesuatu bahan atau pendedahan terhadap faktor tertentu menyebabkan kanser. Saya ambil contoh katakan bahan itu dinamakan Faktor X. Tiba2 ramai yang menuduh Faktor X menyebabkan kanser. Hujah ini biasanya dibina atas pemerhatian mudah: selepas terdedah kepada Faktor X, seseorang disahkan menghidap kanser. Maka Faktor X dianggap sebagai punca penyakit kanser.
Ataupun selepas berlaku sesuatu peristiwa X, diikuti dengan bilangan kes kanser yang tinggi, maka kita tuduh X punca penyakit kanser. Namun dalam sains perubatan, cara berfikir seperti ini adalah tidak betul dan terlalu simplistik.
Faktor X ini mungkin rokok, alkohol, sebatian2 kimia tertentu, radiasi, ubat, makanan, vaksin dan apa sahaja.
Hakikat penting yang perlu difahami ialah dua perkara yang berlaku bersama tidak semestinya mempunyai hubungan sebab dan akibat. Fenomena ini dikenali sebagai perbezaan antara correlation (korelasi) dan causation (sebab-akibat). Sudah banyak kali saya ulang perkataan ini semoga lekat dalam otak pembaca semua.
Untuk melangkah daripada korelasi kepada kesimpulan bahawa Faktor X benar-benar menyebabkan kanser, sains memerlukan bukti yang jauh lebih kukuh dan berlapis.
KANSER BUKAN PENYAKIT SERTA MERTA
Kanser lazimnya berkembang secara perlahan, mengambil masa bertahun-tahun atau berdekad. Melalui perubahan dari sel normal kepada sel pra-kanser dan sel kanser. Ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti umur, genetik, tabiat berisiko, pemakanan, obesiti, jangkitan kronik, pendedahan bahan kimia, serta akses kepada saringan dan rawatan awal. Oleh itu, dalam populasi besar, kes kanser akan terus berlaku setiap hari, tanpa mengira kewujudan Faktor X.
Inilah sebabnya mengapa urutan masa semata-mata (“lepas terdedah, kemudian sakit”) tidak boleh dijadikan bukti punca. Tanpa analisis yang teliti, kita mudah terperangkap dalam kesilapan logik.
METODOLOGI KAJIAN ATAU KAEDAH BAGAIMANA SAINS MENGUJI DAN MENENTUKAN PUNCA PENYAKIT
Secara teori, kajian terbaik untuk membuktikan hubungan sebab-akibat ialah kajian prospektif rawak terkawal (randomized controlled trial, RCT). Dalam kajian sebegini, peserta diagihkan secara rawak kepada kumpulan terdedah dan tidak terdedah kepada Faktor X, kemudian mereka diikuti untuk melihat perbezaan kejadian kanser. Kajian akan mengambil masa yang panjang kerana proses kejadian kanser itu kompleks dan panjang.
Namun dalam realiti, RCT hampir mustahil dan tidak beretika untuk mengkaji punca kanser. Penyelidik tidak boleh dengan sengaja mendedahkan manusia kepada sesuatu yang disyaki berbahaya dan menunggu bertahun-tahun sehingga kanser mungkin berlaku. Tambahan pula, tempoh menunggu/laten kanser yang panjang menjadikan RCT terlalu mahal, terlalu lama, dan tidak praktikal.
Oleh itu, kajian kohort prospektif berskala besar menjadi pilihan paling realistik dan beretika. Dalam kajian ini, penyelidik menjejak kumpulan manusia yang secara semula jadi terdedah kepada Faktor X dan membandingkan mereka dengan kumpulan yang tidak terdedah, sambil mengawal sebanyak mungkin faktor lain yang boleh mengelirukan keputusan.
Apabila kajian kohort ini cukup besar, direka dengan baik, dan diulang di pelbagai tempat, ia boleh memberikan bukti yang hampir menyamai kekuatan RCT dalam konteks kesihatan awam.
BUKTI PENYEBAB KANSER BELUM CUKUP DENGAN SATU KAJIAN TETAPI BANYAK DAN MELALUI PROSES YANG BERLAPIS
Namun metodologi yang baik sahaja masih tidak mencukupi. Untuk menyimpulkan bahawa Faktor X benar-benar penyebab kanser, penyelidik perlu memenuhi beberapa prasyarat saintifik secara serentak.
1. Risiko kanser mesti meningkat secara jelas
Individu yang terdedah kepada Faktor X perlu menunjukkan kadar kanser yang ketara lebih tinggi berbanding individu yang tidak terdedah, selepas faktor seperti umur, merokok, obesiti dan status kesihatan diambil kira. Jika perbezaan ini kecil atau tidak konsisten, dakwaan sebab-akibat menjadi lemah.
2. Dapatan mesti konsisten merentas kajian dan populasi
Hubungan antara Faktor X dan kanser perlu muncul berulang kali dalam kajian berlainan, dijalankan oleh pasukan berbeza, di negara dan populasi yang berlainan. Satu kajian sahaja tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan besar.
3. Wujud hubungan dos–respon
Risiko kanser sepatutnya meningkat selari dengan dos atau tempoh pendedahan kepada Faktor X. Jika individu dengan pendedahan tinggi tidak menunjukkan risiko lebih tinggi berbanding pendedahan rendah, hubungan sebab-akibat akan diragui.
4. Urutan masa yang munasabah
Pendedahan kepada Faktor X mesti berlaku sebelum kanser terbentuk, dengan jarak masa yang selari dengan biologi kanser. Kanser yang muncul terlalu cepat selepas pendedahan hampir pasti telah wujud lebih awal, jadi hubungannya bukan sebab-akibat.
5. Mekanisme biologi yang boleh diterangkan
Penyelidik perlu dapat menjelaskan bagaimana Faktor X menyebabkan kerosakan sel, bagaimana kerosakan itu menjadi kekal, dan bagaimana ia akhirnya mencetuskan pertumbuhan dan perebakkan kanser. Tanpa mekanisma biologi yang munasabah, hubungan statistik sahaja tidak mencukupi.
6. Selari dengan pemerhatian pada peringkat populasi
Jika Faktor X digunakan atau dialami secara meluas oleh jutaan manusia, kesannya sepatutnya dapat dilihat pada graf insiden kanser populasi. Ketiadaan lonjakan atau perubahan corak yang jelas melemahkan dakwaan bahawa Faktor X adalah penyebab utama.
Melalui pra-syarat2 inilah IARC ("International Agency For Research On Cancer) mengkategorikan bahan2 ataupun faktor2 penyebab kanser (karsinogen) kepada beberapa kategori atau kumpulan yang membezakan satu sama lain dari segi kekuatan hubungan antara sebab dan akibat. Senarai bahan2 karsinogen ini dan kumpulan2 mereka tercatit di dalam Monograph IARC. Boleh rujuk tulisan saya yang lalu tentang tajuk ini.
MENGAPA TANGGAPAN ATAU PERSEPSI "KANSER MENINGKAT" SERING BERLAKU ?
Dalam dunia sebenar, kadangkala ujud keadaan di mana data2 menunjukkan seolah2 ada peningkatan kadar kanser yang berlaku seiring atau selepas sesuatu peristiwa, sedangkan hakikatnya tidak berlaku peningkatan kadar kanser dalam erti yang sebenar. Jadi ujud persepsi peningkatan kanser yang tidak betul. Terdapat beberapa kemungkinan, di antaranya adalah:
1. Kelewatan dan ‘catch-up diagnosis’ apabila sistem kesihatan terganggu. Contohnya berlaku peristiwa yang menghalang pergerakan manusia hingga mereka tidak melakukan ujian pengesahan ataupun melengah2kan ujian tersebut. Salah satu contoh peristiwa ini adalah wabak Covid-19. Jadi kes2 akan tertangguh dan dimasukkan ke dalam data kemudian.
2. Bias pengesanan, di mana pemeriksaan lebih kerap akan menemukan penyakit sedia ada. Terdapat keadaan di mana orang ramai lebih perihatin atau bersungguh2 tentang penjagaan kesihatan. Mereka lebih peka terhadap perubahan diri sendiri dan lebih kerap melakukan pemeriksaan dan ujian saringan. Mungkin mereka ini dari golongan terpelajar dan berkemampuan, ataupun akses kepada kemudahan itu mudah. Begitu juga sebaliknya golongan yang kurang perihatin atau sukar mendapatkan khidmat saringan dan pengesanan.
3. Cerita individu dan anekdot (testimoni) yang mudah viral tetapi tidak mewakili populasi. Cerita kecil diperbesarkan oleh kuasa media sosial hingga ianya menjadi seolah2 satu kebenaran yang terpakai untuk populasi umum.
4. Salah tafsir kajian pemerhatian, khususnya apabila batasan ("limitation") kajian tidak difahami. Mengambil satu dua kajian kecil dan salah tafsir, kemudian dibesarkan melalui kuasa viral media sosial.
Kesemua ini boleh mencipta ilusi atau persepsi peningkatan kanser walaupun kadar sebenar atau risiko sebenar tidak berubah.
KESIMPULAN
Dalam sains perubatan, sesuatu faktor tidak boleh dilabel sebagai penyebab kanser hanya kerana ia wujud seiring dengan penyakit tersebut. Untuk membuat kesimpulan sebab-akibat, penyelidik perlu menggabungkan metodologi kajian yang kukuh dengan bukti berlapis: peningkatan risiko yang nyata, konsistensi yang merentas kajian, hubungan dos–respon, urutan masa yang munasabah, mekanisma biologi yang jelas, dan sokongan data populasi.
Tanpa memenuhi kesemua prasyarat ini, apa yang dilihat hanyalah korelasi, bukan sebab. Memahami perbezaan ini penting agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan sensasi golongan yang tidak bertanggungjawab.
Dato' Dr.Rushdan Noor
25hb Dis 2025

No comments:
Post a Comment