Diet ketogenik (keto) ialah corak pemakanan yang sangat rendah karbohidrat, biasanya kurang daripada 50 gram sehari tinggi lemak, dan sederhana protein.
Apabila karbohidrat dikurangkan dengan ketara, tubuh kehilangan sumber glukosa yang biasa digunakan sebagai tenaga. Untuk mengekalkan fungsi fisiologi, badan menghasilkan keton melalui proses ketogenesis, satu keadaan metabolik yang dipanggil ketosis. Walaupun diet keto sering dipromosikan sebagai kaedah penurunan berat badan yang cepat dan meningkatkan tenaga, banyak dakwaan yang tersebar dalam media sosial tidak tepat, terlalu disederhanakan, atau bertentangan dengan pengetahuan perubatan moden.
BAGAIMANA DIET KETO MENURUNKAN BERAT BADAN
Terdapat salah tanggapan bahawa diet keto menurunkan berat badan tanpa melibatkan calorie deficit. Hakikatnya, semua bentuk penurunan berat—termasuk keto, low-carb, low-fat, Mediterranean dan lain-lain—tetap bergantung pada defisit kalori sebagai asas fisiologi. Keto kelihatan “lebih berkesan” kerana ia mempengaruhi selera makan, kestabilan glukosa, dan pilihan makanan sehingga mengurangkan pengambilan kalori secara tidak langsung.
Penurunan berat badan awal biasanya berlaku akibat kehilangan air. Simpanan glikogen di hati dan otot diuraikan, dan setiap gram glikogen melepaskan tiga hingga empat gram air. Ini menyebabkan penurunan berat yang cepat tetapi sementara. Setelah glikogen berkurang, tubuh bergantung kepada glukoneogenesis untuk menghasilkan sedikit glukosa bagi kegunaan tisu penting seperti otak. Namun, glukoneogenesis tidak mencukupi untuk seluruh badan, dan tubuh akhirnya beralih kepada pemecahan lemak (lipolisis) dan ketogenesis. Dalam keadaan ketosis, paras insulin menurun dan pembakaran lemak meningkat, tetapi penurunan berat badan tetap terjadi kerana pengambilan kalori berkurangan, bukan kerana ketosis itu sendiri mampu mengatasi hukum tenaga. Ketosis bukanlah suis ajaib; jika kalori berlebihan, berat tetap akan naik walaupun seseorang berada dalam ketosis.
MANFAAT DIET KETO BERDASARKAN KAJIAN
Diet keto mempunyai beberapa manfaat terutamanya dalam keadaan tertentu. Ia boleh membantu mengawal gula darah bagi sebahagian pesakit diabetes jenis 2, mengurangkan selera makan, dan memberi penurunan berat badan jangka pendek apabila dipantau dengan betul. Dalam dunia perubatan, diet ketogenik terbukti berkesan sebagai rawatan tambahan bagi epilepsi refraktori. Kajian masih dijalankan untuk menentukan keberkesanan diet ini dalam membantu kelainan metabolik seperti diabetes jenis 2, hati berlemak dan kelainan saraf/neurologi. Walaupun begitu, manfaat ini tidak menjadikan diet keto lebih unggul daripada diet lain dalam jangka panjang, dan kajian yang mengawal jumlah kalori serta protein tidak menunjukkan kelebihan metabolik yang signifikan berbanding diet seimbang.
RISIKO DIET KETO
Walaupun mempunyai manfaat tertentu, diet keto turut membawa beberapa risiko. Pengurangan kumpulan makanan utama seperti buah, sayuran berkanji dan bijirin penuh mendedahkan seseorang kepada kekurangan vitamin, mineral dan serat. Pada peringkat awal, ramai yang mengalami “keto flu”—keletihan, loya, cirit-birit atau sembelit. Sebahagian individu juga menunjukkan peningkatan LDL dan ApoB, terutamanya golongan lean mass hyper-responders, sekali gus meningkatkan risiko kardiovaskular. Diet rendah karbohidrat ekstrem boleh meningkatkan risiko batu karang akibat perubahan komposisi urin dan dehidrasi ringan yang berterusan.
Diet keto juga tidak sesuai untuk wanita hamil, pesakit dengan penyakit hati atau buah pinggang tertentu, pesakit diabetes jenis 1, pengguna ubat SGLT2 inhibitor, serta mereka yang mempunyai sejarah gangguan makan. Ketegasan diet ini menjadikannya sukar dikekalkan dalam jangka panjang dan risiko kenaikan berat semula menjadi tinggi apabila diet dihentikan.
RISIKO KETOSIS BERPANJANGAN
Berada dalam ketosis untuk tempoh yang panjang boleh menimbulkan beberapa mudarat. Pengambilan karbohidrat yang terlalu rendah cenderung mengurangkan serat dan nutrien penting, menjejaskan kesihatan usus dan menyebabkan sembelit kronik. Pengambilan lemak tepu yang tinggi pula boleh meningkatkan LDL dan ApoB pada sebahagian individu, meningkatkan risiko penyakit jantung. Ketosis juga meningkatkan beban kepada buah pinggang akibat perubahan elektrolit dan perkumuhan keton. Dalam kes tertentu, terutama pada pesakit diabetes jenis 1 atau pengguna SGLT2 inhibitor, ia boleh mencetuskan ketoasidosis yang berbahaya. Sebahagian wanita turut melaporkan gangguan kitaran haid akibat pengambilan tenaga yang terlalu rendah. Kesemua faktor ini menunjukkan bahawa ketosis jangka panjang bukanlah strategi yang sesuai untuk semua orang dan memerlukan pemantauan profesional.
DIET KETOGENIK DAN STRATEGI PEMASARAN
Kepopularan diet keto telah menjadikannya bukan sekadar gaya pemakanan, tetapi industri pemasaran bernilai tinggi. Banyak program diet, “coaching”, buku, aplikasi, dan seminar dipasarkan bersama naratif sensasi seperti “karbohidrat adalah racun”, “insulin ialah punca obesiti”, atau “LDL tidak penting”. Naratif ini sering bercanggah dengan konsensus komuniti perubatan moden, namun ia disebarkan kerana lebih mudah menarik perhatian dan meningkatkan jualan.
Sebahagian pemasar turut memposisikan diri mereka sebagai pihak yang “menentang arus”, sambil memperlekehkan pakar pemakanan, doktor atau kajian saintifik. Strategi seperti ini mencipta rasa tidak percaya terhadap institusi kesihatan, memudahkan pengguna menerima dakwaan ekstrem tanpa bukti. Dalam ekosistem ini, risiko diet keto sering dikurangkan atau dinafikan, terutama apabila bertentangan dengan kepentingan komersial. Misalnya, dakwaan seperti “kolesterol tidak penting” atau “buah tidak sihat kerana karbohidrat tinggi” digunakan untuk meyakinkan pengguna bahawa diet mereka selamat walaupun bertentangan dengan data klinikal.
PRODUK MAKANAN BERJENAMA KETO
Ledakan minat terhadap diet keto juga melahirkan industri produk makanan berlabel “keto-friendly” seperti roti keto, biskut keto, coklat, ais krim, minuman tenaga, MCT oil, dan pelbagai snek rendah karbohidrat. Banyak produk ini menggunakan label “net carbs”, iaitu kiraan karbohidrat selepas ditolak serat dan sugar alcohols. Walaupun kelihatan rendah karbohidrat, produk ini sering mengandungi kalori yang tinggi dan boleh menggagalkan defisit kalori, menyebabkan berat sukar turun walaupun pengguna yakin mereka “makan makanan keto”.
Sebahagian produk keto adalah makanan ultra-proses yang tinggi lemak tepu, rendah nutrisi, dan dijual pada harga premium. Ia dipasarkan seolah-olah lebih sihat daripada makanan segar biasa seperti buah, roti gandum penuh atau nasi, sedangkan tiada bukti klinikal kukuh menunjukkan makanan berproses keto memberikan kelebihan metabolik. Produk seperti exogenous ketones pula dipromosikan dengan dakwaan tidak realistik seperti meningkatkan pembakaran lemak atau mempercepatkan ketosis, walaupun kajian menunjukkan ia hanya menaikkan paras keton tanpa memberi manfaat terhadap penurunan berat badan.
Industri ini berkembang kerana permintaan, bukan kerana keperluan fisiologi. Akibatnya, ramai pengguna membayar harga tinggi untuk produk yang tidak membantu, malah kadang-kadang menghalang pencapaian objektif kesihatan mereka.
KESIMPULAN
Diet ketogenik boleh menjadi alat yang berguna untuk sesetengah individu, tetapi ia bukanlah kaedah ajaib yang memintas hukum fisiologi. Penurunan berat tetap bergantung pada calorie deficit, manakala ketosis hanya membantu mengawal selera dan kestabilan glukosa. Namun, populariti diet ini juga membuka ruang kepada pemasaran agresif, dakwaan tidak realistik, dan penjualan produk yang mengelirukan pengguna. Seperti mana-mana pola pemakanan, yang paling penting ialah keberlanjutan, keseimbangan, keselamatan dan kesesuaian individu. Sebelum memulakan diet keto, seseorang wajar mendapatkan nasihat profesional kesihatan bagi memastikan ia selamat dan sesuai dengan keperluan mereka.
Dato' Dr. Rushdan Noor
5hb Disember 2025
RUJUKAN
1. Hall KD et al. Energy expenditure and body composition changes after an isocaloric ketogenic diet in overweight and obese men. Am J Clin Nutr. 2016.
2. Bueno NB et al. Very-low-carbohydrate ketogenic diet v. low-fat diet for long-term weight loss: a meta-analysis. Br J Nutr. 2013.
3. Mansoor N et al. Effects of ketogenic low-carbohydrate diets on cardiovascular risk factors. Nutr Rev. 2016.
4. Naude CE et al. Low carbohydrate versus isoenergetic balanced diets for reducing weight and cardiovascular risk. PLoS One. 2014.
5. Kossoff EH et al. Ketogenic diets in the treatment of epilepsy. Nat Rev Neurol. 2018.
6. Ludwig DS et al. Dietary fat: From foe to friend? Science. 2020.
7. Zhu, H., Bi, D., Zhang, Y. et al. Ketogenic diet for human diseases: the underlying mechanisms and potential for clinical implementations. Signal Transduction and Targeted Therapy 7, 11 (2022)

No comments:
Post a Comment