Tuesday, 30 December 2025

KAJIAN KE-ATAS LEBIH 1.2 JUTA KANAK2 MENDAPATI TIADA KAITAN ANTARA ALUMINIUM DALAM VAKSIN DAN AUTISMA

 

Aluminium dalam vaksin kanak-kanak sering menjadi sasaran dakwaan tidak berasas, khususnya kononnya ia menyebabkan autisma, alahan atau penyakit autoimun. Dakwaan ini berulang walaupun telah banyak kajian menolaknya. 

Bagi menjawab persoalan ini secara lebih menyeluruh, satu kajian kohort berskala nasional telah diterbitkan dalam Annals of Internal Medicine, menggunakan data kesihatan populasi Denmark yang sangat lengkap dan dipercayai.

Kajian ini melibatkan lebih 1.2 juta kanak-kanak yang lahir antara 1997 hingga 2018 dan diikuti sehingga tahun 2020. 

Para penyelidik mengira pendedahan kumulatif aluminium daripada vaksin dalam dua tahun pertama kehidupan, kemudian menilai sama ada pendedahan ini berkait dengan risiko penyakit kronik kanak-kanak, termasuk penyakit autoimun, alahan (atopi), serta gangguan perkembangan saraf seperti autisme dan ADHD.

Keputusan kajian adalah jelas dan konsisten. Tiada peningkatan risiko dikesan bagi penyakit autoimun atau alahan apabila pendedahan aluminium meningkat. 

Bagi gangguan perkembangan saraf, termasuk autisme dan ADHD, kajian ini bukan sahaja tidak menunjukkan peningkatan risiko, malah mendapati sedikit penurunan risiko secara statistik, yang menunjukkan ketiadaan kesan mudarat yang bermakna. 

Analisis juga telah mengambil kira pelbagai faktor perancu seperti latar belakang sosioekonomi, kesihatan ibu dan faktor persekitaran.

Dari sudut metodologi, kajian ini mempunyai kekuatan besar: saiz sampel yang sangat besar, penggunaan data pendaftaran kebangsaan, dan tempoh susulan yang panjang. Walaupun ia bukan kajian rawak terkawal, reka bentuk kohort dan pelarasan statistik yang teliti menjadikan dapatan kajian ini sangat kukuh dan relevan untuk penilaian keselamatan vaksin.

Kesimpulannya, kajian ini memberikan bukti kukuh bahawa aluminium dalam vaksin kanak-kanak tidak meningkatkan risiko penyakit kronik, termasuk autisma, alahan atau penyakit autoimun. 

Dapatan ini sekali lagi menafikan naratif ketakutan yang sering disebarkan tanpa asas saintifik, dan mengukuhkan keyakinan bahawa penggunaan adjuvan aluminium dalam program imunisasi kanak-kanak adalah selamat serta berlandaskan bukti sains yang kukuh.

Dato' Dr.Rushdan Noor

31hb Dis 2025

RUJUKAN

Andersson, N. W., et al. (2025). Aluminum-Adsorbed Vaccines and Chronic Diseases in Childhood: A Nationwide Cohort Study. Annals of Internal Medicine.

No comments:

Post a Comment