KAJIAN 14 JUTA PESERTA MENDAPATI VAKSIN COVID-19 MEMBERI LEBIH MANFAAT DARIPADA MUDARAT KE ATAS KANAK-KANAK
Perbahasan tentang keselamatan vaksin COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak sering dipenuhi emosi, kebimbangan ibu bapa, dan dakwaan yang bercampur antara fakta dan spekulasi. Dalam suasana ini, sains berperanan sebagai penimbang tara — bukan untuk menafikan risiko sepenuhnya, tetapi untuk menilai risiko mana yang lebih besar dan lebih berbahaya dalam jangka panjang.
Satu kajian berskala sangat besar yang melibatkan hampir 14 juta kanak-kanak dan remaja di England telah memberikan gambaran yang lebih jelas. Kajian ini menganalisis rekod kesihatan populasi kanak-kanak sebelum dan selepas jangkitan COVID-19 serta pemberian vaksin mRNA Pfizer-BioNTech, dengan tujuan membandingkan kesan buruk yang mungkin berlaku akibat kedua-duanya.
Hasil kajian menunjukkan satu pola yang konsisten: jangkitan COVID-19 dikaitkan dengan komplikasi yang lebih kerap, lebih serius, dan lebih berpanjangan berbanding vaksinasi. Ini termasuk komplikasi radang dan vaskular yang melibatkan jantung dan sistem imun. Walaupun kedua-dua jangkitan dan vaksin membawa risiko jarang seperti myocarditis dan pericarditis, kadar kejadian adalah lebih daripada dua kali ganda selepas jangkitan COVID-19, dan tempoh pemulihan juga lebih lama.
Sebaliknya, kes-kes myocarditis selepas vaksin didapati sangat jarang, lazimnya ringan, dan kebanyakannya pulih sepenuhnya dalam tempoh singkat dengan rawatan minimum. Ini menolak naratif bahawa vaksin menyebabkan kerosakan jantung yang serius dan berpanjangan dalam kalangan kanak-kanak secara umum.
Kajian ini juga meneliti penyakit radang serius yang khusus berlaku pada kanak-kanak selepas jangkitan COVID-19, seperti PIMS (Paediatric Inflammatory Multisystem Syndrome) dan penyakit seakan Kawasaki. Dapatan jelas menunjukkan peningkatan ketara kes-kes ini selepas jangkitan, tetapi tiada peningkatan selepas vaksinasi. Ini penting kerana PIMS merupakan keadaan yang boleh mengancam nyawa dan memerlukan rawatan rapi.
Para penyelidik dari beberapa universiti terkemuka menegaskan bahawa dapatan ini memberikan kejelasan yang sangat diperlukan oleh ibu bapa dan pengamal kesihatan. Ya, vaksin — seperti semua intervensi perubatan — boleh mempunyai kesan sampingan. Namun, berdasarkan data dunia sebenar berskala besar, risiko vaksin adalah jauh lebih kecil dan jauh kurang serius berbanding risiko dijangkiti virus itu sendiri.
Dalam konteks varian COVID-19 yang terus beredar dan jangkitan yang sukar dielakkan sepenuhnya, kajian ini mengukuhkan prinsip asas kesihatan awam: pencegahan yang berkesan hampir sentiasa membawa risiko yang lebih rendah daripada penyakit yang cuba dicegah. Vaksinasi bukanlah pilihan tanpa risiko, tetapi ia adalah pilihan dengan risiko paling rendah dan manfaat paling besar.
Kesimpulannya, kajian ini bukan sekadar menyokong vaksin COVID-19, tetapi meletakkan perbahasan ini pada landasan yang betul — landasan data, bukti, dan perbandingan risiko yang adil. Dalam membuat keputusan kesihatan untuk kanak-kanak, soalan yang paling jujur bukanlah “adakah vaksin ada risiko?” tetapi “risiko yang mana lebih besar jika kita tidak melindungi mereka?”
Dato' Dr.Rushdan Noor
26hb Dis 2025
Maklumat lebih terperinci tentang kajian ini adalah seperti di bawah
RINGKASAN KAJIAN
Risiko Penyakit Vaskular (Saluran Darah) & Keradangan Selepas Jangkitan COVID-19 vs Vaksin pada Kanak-Kanak & Remaja
SUMBER KAJIAN:
Sampri A et al. The Lancet Child & Adolescent Health, 2025
Kajian kohort populasi kebangsaan England (≈14 juta kanak-kanak & remaja)
METODOLOGI KAJIAN
Kajian kohort retrospektif berskala nasional
Data rekod kesihatan elektronik England (2020–2022)
Bandingkan risiko komplikasi selepas jangkitan COVID-19 dengan selepas vaksin mRNA Pfizer (BNT162b2)
TUMPUAN UTAMA KAJIAN
Risiko keadaan2 berikut
1. Myokarditis / perikarditis (radang otot jantung dan selaput jantung)
2. Pembekuan darah (VTE & ATE) (Venous Thromboembolism & Arterial Thromboembolism)
3. Thrombocytopenia (kekurangan sel pembeku)
4. Penyakit keradangan termasuk MIS-C / PIMS (Multisystem Inflammatory Syndrome in Children/Paediatric Inflammatory Multisystem Syndrome
HASIL KAJIAN
1. Selepas jangkitan COVID-19
a. Risiko penyakit saluran darah & keradangan meningkat ketara, terutamanya dalam minggu pertama
b. Risiko kekal tinggi sehingga >12 bulan bagi Venous thromboembolism (VTE), Thrombocytopenia dan Myokarditis / perikarditis
c. Risiko keradangan sistemik (termasuk MIS-C) adalah paling tinggi
d. Risiko mutlak (6 bulan) bagi umur 5–18 tahun:
Myokarditis/perikarditis: 2.24 kes / 100,000
Keradangan sistemik: 17.43 kes / 100,000
2. Selepas suntikan vaksin mRNA COVID-19
a. Peningkatan risiko myokarditis/perikarditis hanya sementara
b. Terhad kepada 4 minggu pertama selepas vaksin
c. Tiada peningkatan risiko jangka panjang
d. Tiada peningkatan konsisten bagi pembekuan darah, Thrombocytopenia dan Penyakit keradangan
e. Risiko mutlak (6 bulan) myokarditis/perikarditis adalah 0.85 kes / 100,000 (lebih rendah daripada jangkitan)
PERBANDINGAN PENTING
1. Risiko myokarditis akibat jangkitan COVID-19 lebih tinggi dari risiko akibat vaksin
2. Kesan jangkitan Covid-19 lebih kerap, lebih teruk dan lebih berpanjangan dari vaksin
3. Kesan sampingan vaksin jarang, ringan dan bersifat sementara
KESIMPULAN
Vaksin COVID-19 mRNA pada kanak-kanak dan remaja jauh lebih selamat berbanding risiko jangkitan COVID-19, serta menyokong polisi kesihatan awam untuk vaksinasi golongan ini.

No comments:
Post a Comment