Saya bukan ahli agama dan tidak menulis dari sudut autoriti hukum. Pandangan ini lahir daripada pemerhatian sebagai orang awam yang berfikir dan mengikuti perkembangan politik semasa. Prinsip memilih yang kurang mudarat mungkin masuk akal dalam keadaan tertentu, tetapi penggunaannya dalam politik hari ini semakin kerap dan membimbangkan.
Apa yang saya faham, prinsip ini bukanlah ciptaan baharu. Ia berasal daripada kaedah fiqh yang sah, bertujuan mengurangkan kemudaratan sebenar apabila tiada pilihan yang benar-benar baik. Namun masalah bermula apabila prinsip ini dipisahkan daripada syarat, konteks dan batasan asalnya, lalu dijadikan lesen politik untuk menghalalkan apa sahaja tindakan yang menguntungkan pihak tertentu. Inilah isu yang akan dibincangkan di sini.
Pada asalnya, prinsip ini digunakan apabila semua pilihan tidak ideal dan keputusan perlu dibuat secara sementara. Namun dalam politik, ia sering dijadikan alasan umum untuk mempertahankan tindakan yang jelas bermasalah. Apa sahaja yang dipersoalkan akan dibalas dengan hujah sama: ini pilihan paling kurang buruk dalam situasi sekarang.
Apabila alasan yang sama boleh digunakan untuk hampir semua keadaan, ia berhenti menjadi prinsip dan mula menjadi helah. Perkara yang sebelum ini dianggap salah atau tidak beretika mula dinormalisasikan atas nama realiti politik. Lama-kelamaan, piawaian moral awam diturunkan dan masyarakat diajar untuk pasrah memilih antara keburukan.
Lebih membimbangkan, hujah ini mematikan akauntabiliti. Kesalahan tidak lagi dijawab secara jujur, sebaliknya dibandingkan dengan keburukan pihak lain. Fokus beralih daripada betul atau salah kepada siapa yang lebih teruk. Akhirnya, kesilapan tidak pernah diperbetulkan, hanya dihalalkan.
Politik juga berubah menjadi politik ketakutan. Rakyat tidak diyakinkan dengan idea atau visi, tetapi ditekan dengan bayangan mudarat yang lebih besar jika mereka tidak menyokong pilihan tertentu. Ini bukan politik yang sihat, tetapi politik yang mengurangkan rakyat kepada sekadar pengundi yang takut.
Siapa pula yang berhak untuk menentukan mudarat mana yang lebih kecil. Dalam teori, penilaian ini sepatutnya dibuat oleh individu atau autoriti yang benar-benar layak,berintegriti dan bebas daripada kepentingan peribadi. Namun dalam realiti politik, penilaian tersebut sering dilakukan oleh manusia yang terdedah kepada bias, tekanan kuasa, emosi, kepentingan atau survival politik. Akibatnya, apa yang dilabel sebagai “kurang mudarat” mungkin sebenarnya lebih menguntungkan pihak tertentu dan bukan rakyat. Penilaian seumpama ini boleh berubah-ubah mengikut masa dan keadaan, sesuatu yang dianggap salah hari ini boleh dihalalkan esoknya.
Prinsip memilih yang kurang mudarat bukan dosa atau kesalahan tetapi boleh disalahguna jika jatuh ke tangan orang yang tidak bertanggungjawab. Ia tidak sepatutnya menjadi norma berpolitik. Jika setiap pilihan sentiasa buruk, persoalan sebenar ialah kegagalan sistem menghasilkan pilihan yang lebih baik.
Sebagai rakyat, kita berhak menolak yang salah walaupun ia dilabel sebagai “kurang mudarat”, dan menuntut politik yang lebih berprinsip. Politik yang matang bukan sekadar memilih keburukan paling kecil, tetapi berusaha membina pilihan yang benar dan lebih baik, walaupun jalannya sukar dan mengambil masa.
Dato' Dr.Rushdan Noor
26hb Dis 2025

No comments:
Post a Comment