Thursday, 25 December 2025

KAJIAN MENUNJUKKAN VAKSIN COVID-19 TIADA KESAN KECACATAN BAYI, MENGURANGKAN KADAR KELAHIRAN PRA-MATANG DAN MENINGKATKAN KESELAMATAN IBU HAMIL

 


PENDAHULUAN 

Sejak vaksin COVID-19 diperkenalkan, isu keselamatan vaksin dalam kalangan ibu hamil sering menjadi polemik, khususnya kebimbangan terhadap risiko kecacatan bayi dan kesan buruk ke atas kehamilan. Kebimbangan ini timbul walaupun ibu hamil diketahui sebagai kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi serius sekiranya dijangkiti COVID-19, termasuk kemasukan ke hospital, rawatan rapi, dan kelahiran pra-matang.

Bagi menilai isu ini secara objektif, beberapa kajian pemerhatian berskala besar telah dijalankan dan diterbitkan dalam jurnal perubatan berimpak tinggi seperti JAMA Network Open dan JAMA. Dua kajian utama ini memberikan bukti kukuh tentang keselamatan vaksin COVID-19 semasa kehamilan serta manfaatnya kepada ibu dan bayi.

TIADA PENINGKATAN RISIKO KECACATAN BAYI DARI VAKSIN COVID-19 

Kajian kohort nasional yang diterbitkan dalam JAMA Network Open menilai hubungan antara vaksin COVID-19 jenis mRNA yang diberikan pada trimester pertama kehamilan dengan risiko kecacatan kongenital utama (major congenital anomalies). Trimester pertama merupakan tempoh paling kritikal dalam pembentukan organ bayi dan sering menjadi fokus utama kebimbangan awam.

Kajian ini melibatkan lebih 500,000 kelahiran hidup dan membandingkan bayi yang terdedah kepada vaksin mRNA dalam trimester pertama dengan bayi yang tidak terdedah. Hasil kajian menunjukkan tiada peningkatan risiko kecacatan kongenital utama secara keseluruhan dalam kumpulan yang menerima vaksin. Kadar kecacatan bayi adalah hampir sama antara kedua-dua kumpulan, dan analisis statistik menunjukkan tiada perbezaan yang signifikan.

Analisis lanjut mengikut sistem organ—termasuk kecacatan jantung, sistem saraf, anggota badan, sistem pencernaan dan lain-lain—juga tidak menunjukkan sebarang peningkatan risiko. Dapatan ini menolak dakwaan bahawa vaksin COVID-19 mRNA bersifat teratogenik atau menyebabkan kecacatan bayi apabila diberikan pada awal kehamilan.

VAKSIN COVID-19 MENURUNKAN KADAR KELAHIRAN PRA-MATANG DAN MELINDUNGI IBU HAMIL 

Satu kajian besar lain yang diterbitkan dalam JAMA bertajuk The Role of Vaccination in Maternal and Perinatal Outcomes Associated With COVID-19 in Pregnancy menilai kesan vaksinasi COVID-19 terhadap ibu hamil yang dijangkiti SARS-CoV-2. Kajian ini menggunakan data dunia sebenar daripada pangkalan data CANCOVID-Preg di Kanada dan melibatkan hampir 20,000 individu hamil yang dijangkiti COVID-19 semasa tempoh dominasi varian Delta dan Omicron.

Kajian ini mendapati bahawa ibu hamil yang telah divaksin mempunyai:

1. Risiko hospitalisasi akibat COVID-19 yang jauh lebih rendah,

2. Risiko kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) yang sangat berkurangan, dan

3. Risiko kelahiran pra-matang yang lebih rendah berbanding ibu hamil yang tidak divaksin.

Pengurangan risiko ini konsisten merentasi tempoh varian Delta dan Omicron, menunjukkan bahawa manfaat vaksinasi bukan sahaja terhad kepada perlindungan terhadap penyakit teruk, tetapi turut memberi kesan positif terhadap hasil kehamilan dan kelahiran. Ini amat penting kerana jangkitan COVID-19 semasa hamil sendiri merupakan faktor risiko yang diketahui untuk kelahiran pra-matang.

Kedua2 kajian besar ini adalah peer reviewed.

KESIMPULAN 

Gabungan dapatan daripada dua kajian berskala besar ini memberikan kesimpulan yang jelas dan konsisten iaitu setakat ini Vaksin COVID-19 adalah selamat digunakan semasa kehamilan, tidak meningkatkan risiko kecacatan bayi, serta mengurangkan risiko kelahiran pra-matang dan komplikasi serius akibat COVID-19 dalam kalangan ibu hamil.

Dalam konteks kesihatan awam dan penjagaan antenatal, bukti ini menyokong saranan profesional perubatan dan badan kesihatan antarabangsa untuk menggalakkan vaksinasi COVID-19 dalam kalangan ibu hamil. Keputusan berasaskan data dunia sebenar ini juga penting bagi menepis maklumat salah dan membantu ibu hamil membuat keputusan yang tepat, berasaskan sains, demi keselamatan diri dan bayi mereka.

Dato' Dr. Rushdan Noor

27hb Dis 2025


RUJUKAN

1. Bernard C, Duchemin T, Marty L, et al.

First-Trimester mRNA COVID-19 Vaccination and Risk of Major Congenital Anomalies.

JAMA Network Open. 2025;8(10):e2538039.doi:10.1001/jamanetworkopen.2025.38039

Pautan: https://jamanetwork.com/journals/jamanetworkopen/fullarticle/2840133


2. The CANCOVID-Preg Investigators.

The Role of Vaccination in Maternal and Perinatal Outcomes Associated With COVID-19 in Pregnancy.JAMA. 2025.doi:10.1001/jama.2025.21001

Pautan abstrak: https://jamanetwork.com/journals/jama/article-abstract/2842835




No comments:

Post a Comment