Wednesday, 24 July 2024

ANCAMAN BOMOH SCAMMER KEPADA MASYARAKAT



Masyarakat kita masih kuat kepercayaan mereka kepada golongan yang menggelarkan diri sebagai bomoh atau dukun, walaupun ramai yang sudah terpedaya. 

Bomoh pada hari ini sudah canggih, ada yang pandai menggunakan media sosial dan bermain tik tok. Mereka juga boleh memberi khidmat jarak jauh secara atas talian.Masyarakat berjaya dikelirukan dengan imej islamik mereka, berjubah, berserban dan bertasbih, di samping fasih pula membaca ayat2 suci. Ada juga bomoh yang pandai bermain silap mata (tapi pengikut mereka sangka kuasa luar biasa), satu daya tarikan untuk yakinkan pelanggan mereka. Kemahiran video editting tidak disia2kan dan sedikit masa lagi mungkin teknologi AI akan menyusul.

Masyarakat mempercayai bomoh kebanyakannya melalui berita mulut ke mulut ataupun pengalaman orang lain ataupun berita2 viral. Umumnya, masyarakat sukar untuk mengetahui latar belakang dan kredibiliti bomoh2 ini. Lebih2 lagi melibatkan bomoh2byang sudah ramai pengikut dan pentaksub. Mereka ikut dan percaya sahaja kerana terdesak. Sebab itu mereka seringkali terjerut oleh scammer.

Di sepanjang kerjaya sebagai seorang doktor, memang banyak kali berdepan dengan masalah yang ditimbulkan oleh bomoh2 ini. Di antaranya pesakit yang pergi mendapatkan rawatan ke bomoh terlebih dahulu. Ada yang enggan dirawat di hospital kerana tarikan bomoh yang lebih kuat. Ada juga rawatan bomoh yang menambah kesakitan dan mudarat kepada penyakit. Kalau penyakit kanser, ada bomoh yang mendakwa boleh memindahkan kanser dari badan ke batang pokok. Ada yang ulang alik berjumpa bomoh sehingga kanser sampai ke peringkat akhir dan menderita di rumah. Seperti juga doktor, bomoh pun ada bomoh tulang, bomoh kanser dan lain2. Belum lagi cerita tentang kos rawatan.

Bomoh2 ini pula kononnya pandai meramal dan menelek, samada mencari barang hilang, gejala fizikal ataupun masalah mental dan mereka juga dijadikan tempat menyelesaikan masalah rumahtangga ataupun lambat jodoh. Walaupun kaedah rawatan bomoh2 ini mungkin berbeza, jawapan kepada pertanyaan pelanggan mereka hampir semuanya sama. "Buatan orang", "disantau" dan "gangguan makhluk halus" adalah jawapan yang sinonim dengan bomoh, boleh jadi itu sahajalah yang mereka tahu ataupun itulah yang mahu didengar oleh pelanggan mereka. 

Apabila puncanya adalah "buatan orang" atau "disantau", maka berlakulah syak wasangka dan tuduh menuduh hingga berlaku ketegangan serta pergaduhan. Hubungan antara manusia menjadi renggang dan bermusuhan antara satu sama lain. Seorang pakar psikologi dan kauselor menulis di dalam statusnya tentang pengalaman bertemu dengan kes masalah rumah tangga yang berakhir dengan penceraian akibat terpengaruh dengan dakwaan bomoh seperti itu. Cerita2 tentang kesan negatif yang diakibatkan oleh khidmat bomoh scam ini jauh lebih banyak dan kebanyakannya tidak disiarkan ataupun disapu di bawah karpet. 

Kes kematian trajis arwah Zulfarhan yang sedang hangat dibincangkan hari ini juga dikatakan ada kaitan dengan bomoh. Jika itu benar2 berlaku, maka sangat menyedihkan, memandangkan skala kemudaratan yang begitu besar akibat daripadanya. Baca kronologi kes arwah Zulfarhan di sini

Apakah pula perbezaan antara bomoh dengan pengamal perubatan Islam. Nampaknya gelaran pengamal perubatan Islam seringkali disalahgunakan. Ramai bomoh yang mengaku pengamal perubatan Islam sedangkan hakikatnya, amalan yang mereka lakukan bertentangan dengan ajaran Islam. Seorang penerima Ijazah Perubatan Islam daripada Persatuan Kebajikan Perubatan Islam Malaysia ada menulis tentang ciri-ciri bomoh yang berbeza dengan Pengamal Perubatan Islam. Mengikut beliau, di antara ciri-ciri seorang bomoh (bukan pengamal perubatan Islam) adalah:

1. Dia mendakwa tahu siapa yang hantar sihir

2. Dia tahu barang yang hilang letak  di mana

3. Boleh tafsir mimpi

4. Boleh merawat secara jauh

5. Boleh membedah batin

6. Boleh berhubung dengan alam ghaib

7. Merawat dengan asap dan bahan bakar

8. Membaca ayat Al-Quran secara terbalik atau mentera yang tidak tahu bahasa apa yang digunakan.

9. Benci kepada perubatan moden

Tambahan beliau lagi, Perawat Perubatan Islam tidak ada ciri2 di atas, malahan sesiapa sahaja yang beragama Islam mampu menjadi perawat untuk diri sendiri kerana Ruqyah yang Nabi SAW ajarkan adalah untuk semua umatnya dan bukan spesifik untuk manusia tertentu. (Rujukan). Anda boleh juga membaca tentang etika Pengamal Perubatan Islam yang dikeluarkan oleh Portal Majlis Agama Islam Selangor di sini.

Maksud perubatan Islam pun terdapat perbezaan pendapat para ulamak. Ada yang beranggapan bahawa perubatan Islam merangkumi perubatan moden yang halal dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Boleh baca kenyataan Mufti Negeri Perlis di sini.

Masyarakat perlu berhati2 dengan golongan yang bergelar bomoh ataupun mendakwa boleh berinteraksi dengan makhluk halus ataupun mempunyai kuasa luar biasa, kerana mereka ini berkemungkinan besar seorang scammer. Imej luaran yang islamik itu bukan kayu ukur kepada kebenaran dan ada juga yang berselindung di sebalik gelaran pengamal perubatan Islam atau ustaz. Lebih-lebih lagi pada masa ini di mana banyaknya berlaku scam yang melibatkan golongan yang berimejkan agama sehingga wujud perkataan "JENAYAH KUPIAH PUTIH".   


Dato' Dr Rushdan Noor 

25hb Julai 2024


Nota tambahan: Perkataan bomoh di dalam tulisan ini lebih banyak merujuk kepada golongan scammer yang mendakwa mereka boleh menelek, meramal, merawat penyakit atau berinteraksi dengan makhluk halus atau jin, sedangkan hakikatnya mereka tidak adapun kemampuan tersebut. Adapun bomoh yang menggunakan khidmat syaitan dan iblis pula tergolong dalam kalangan umat yang dilaknat oleh Allah swt. Majoriti bomoh yang ada pada hari ini adalah golongan yang pertama. Kedua2 bentuk bomoh ini adalah ancaman kepada masyarakat.


https://mais.gov.my/artikel-dakwah/etika-perbomohan-pengamal-perubatan-islam/

https://muftiperlis.gov.my/index.php/minda-mufti/281-perubatan-islam-istilah-yang-disalahgunakan









No comments:

Post a Comment