Musim produk minyak mungkin dah mula melepasi kemuncak dan sedang menurun, diganti pula dengan musim pokok Moringa. Seperti biasa, bermacam2 cerita keajaiban Moringa menjadi buah mulut penjual produk. Kebetulan di belakang rumah saya di kampung, ada sepohon pokok Moringa yang agak besar. Maka saya membuat sedikit pencarian maklumat tentang pokok ini dan bertemu dengan beberapa rencana mengenainya.
KHASIAT MORINGA
Tidak dapat dinafikan memang ahli sains bertemu dengan pelbagai sebatian kimia dari pokok Moringa yang didapati mengandungi fitokimia, sumber nutrien, antioksidan, antibakteria, antifungus(kulat), anti-keradangan dan juga boleh membunuh sel ("cytotoxic"). Ekstrak Moringa juga boleh menurunkan gula darah dan tekanan darah. Daripada ciri2 yang disenaraikan di atas, maka berkembangnya dakwaan tentang seribu satu khasiat Moringa, hingga dianggap sejenis pokok yang ajaib ("miracle tree"). Tetapi semua ini bukanlah pelik, kerana tumbuh2an ciptaan Tuhan memang kaya dengan khasiat, tidak hairanlah mengapa banyak ubat2an moden juga dihasilkan atau diekstrak dari tumbuhan.
Persoalannya, adakah penemuan ciri2 yang tersebut di atas boleh diterjemahkan kepada kemampuan mencegah dan merawat penyakit apabila diambil dalam bentuk serbuk, kapsul, teh, air rebusan atau jus oleh manusia? Ini yang menjadi minat utama saya untuk menyiasat. Untuk mencari jawapan kepada persoalan ini, kita kena cari kajian2 klinikal yang telah dijalankan.
KAJIAN KLINIKAL KE ATAS MORINGA
Boleh dikatakan hampir kesemua ciri2 yang dikaitkan dengan Moringa di atas, adalah hasil kajian kecil ke atas tikus (samada tikus biasa ataupun tikus belanda ("guinea pig"). Manakala kajian untuk kesan mematikan sel ataupun merosakkan DNA (mutagenecity, sitotoksik) dilakukan ke atas lapisan sel kanser ("cancer cell lines") di dalam makmal. Hanya ada beberapa kajian kecil ke atas manusia untuk melihat kesan menurunkan gula darah dan tekanan darah, tetapi sampelnya kecil dan bukan kajian RCT.
Pendek kata, semua kajian2 ini adalah kajian peringkat pra-klinikal dan dalam setiap kertas kajian yang disiarkan, penyelidik menyenaraikan kelemahan kajian tersebut seperti sampel yang kecil, isu dengan metodologi, formulasi yang berbeza, bahagian2 pokok yang berbeza (daun, akar, kulit dan biji) dan dos yang berbeza.
Di akhir setiap kajian itu, penyelidik berpendapat bahawa penemuan2 ke atas haiwan ini perlu disahkan melalui kajian ke atas manusia, justeru terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan yang muktamat. Penyelidik mencadangkan agar kajian yang lebih besar dan berkualiti perlu dijalankan untuk membuktikan keberkesanan dan keselamatan Moringa. Tidak hairanlah mengapa ianya belum digunakan oleh doktor2 di hospital, malahan tidak termasuk dalam senarai pilihan alternatif dalam garispanduan amalan klinikal.
KESAN SAMPINGAN MORINGA
Umumnya mengambil daun Moringa dalam kuantiti yang sedikit adalah selamat. Kesan antioksidan lebih tinggi dari daun berbanding dengan bahagian lain pokok Moringa. Manakala bagi bahagian akar, biji dan kulit pokok pula, penyelidik menyarankan agar lebih berhati2. Disebabkan kajian ke atas manusia sangat terhad, maka tidak ada jaminan keselamatan. Beberapa kesan2 sampingan yang tersenarai adalah penemuan semasa kajian ke atas haiwan di dalam makmal, selebihnya adalah dari rekod laporan pengguna. Kesan jangka panjang dan kesan ke atas anak di dalam kandungan pula, belum dapat dipastikan.
Di bawah ini adalah senarai kesan sampingan yang dilaporkan boleh berlaku apabila mengambil produk berasaskan pokok Moringa:
1. Alahan ataupun reaksi allergik termasuk kejutan anafilaksis
2. Masalah perut dan usus seperti loya, muntah, cirit-birit dan kembung perut
3. Ruam dan kegatalan kulit
4. Peningkatan enzim hati yang memungkinkan kerosakan hati jika diambil dalam kuantiti yang banyak untuk jangka masa panjang.
5. Gangguan fungsi buah pinggang dikesan terutama dari pengambilan bahagian akar dan kulit Moringa.
6. Kajian makmal ke atas sel bakteria mendapati ekstrak dari biji Moringa boleh merosakkan DNA ("genotoxic").
7. Ekstrak dari akar Moringa juga mengandungi "alkaloid spirochin" yang boleh merosakkan saraf dikenali sebagai "neuro-paralytic toxin".
8. Rhabdomyolysis adalah keadaan di mana otot2 dipecahkan pada kadar yang cepat dan pesakit mengalami sakit otot, lemah badan dan muntah.
9. Interaksi dengan ubat2 seperti ubat diabetes (sitaglipin), ubat darah tinggi dan ubat penyakit tiroid. Moringa juga mempunyai kesan melambatkan pembekuan darah dan boleh berinteraksi dengan ubat pencair darah seperti warfarin.
10. Keselamatan produk Moringa ke atas ibu hamil dan yang menyusukan anak belum dapat disahkan, jadi elok dielakkan.
KESIMPULAN
Penemuan unsur2 pengubatan dari pokok Moringa adalah hasil kajian ke atas haiwan di dalam makmal. Belum ada kajian klinikal ke atas manusia yang meyakinkan. Rata2 penyelidik menyarankan agar kajian lanjut dilakukan ke atas manusia untuk menentukan keberkesanan pokok Moringa di dalam mencegah dan merawat penyakit. Di samping ketidakpastian tentang aspek keberkesanan, potensi kesan samping jangka pendek dan jangka panjang tidak boleh diabaikan. Jika orang ramai masih ingin mencuba, disarankan mengambil bahagian daun yang mengandungi kurang bahan2 toksik berbanding dengan bahagian2 lain. Sila dapatkan nasihat doktor sebelum anda mengamalkannya.
Saya syorkan anda membaca tulisan saya tentang ancaman produk kesihatan overclaim di pautan bawah:
Dato' Dr Rushdan Noor
6hb Julai 2024
Rujukan:
https://www.webmd.com/vitamins-and-supplements/ss/slideshow-truth-moringa
https://www.google.com/amp/s/www.asbestos.com/blog/2019/11/26/moringa-tree-cancer-research/amp/
https://www.medicalnewstoday.com/articles/319916
https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/21535795/
https://www.google.com/amp/s/www.medindia.net/amp/patients/lifestyleandwellness/side-effects-of-moringa.htm
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK501899/
https://www.zenprinciple.com/blogs/news/side-effects-of-moringa
https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/30668387/
No comments:
Post a Comment