PENDAHULUAN
Kolesterol diperlukan oleh badan untuk membuat vitamin dan hormon. Kolesterol diperolehi daripada 2 sumber iaitu dari dalam tubuh badan kita yang dihasilkan oleh hati (80%) dan kolesterol yang diambil daripada makanan (20%). Sumber kolesterol yang utama adalah yang dihasilkan oleh badan. Manakala sumber kolesterol dari diet datangnya dari makanan yang bersumberkan haiwan seperti daging, hati, minyak dan produk tenusu.
Rencana ini membincangkan tentang apakah kaitan antara pengambilan makanan berkolesterol dan tahap kolesterol darah dengan risiko mendapat penyakit saluran darah (sakit jantung dan angin ahmar (stroke).
KOLESTEROL DALAM DARAH
Ada dua jenis kolesterol yang utama di dalam badan iaitu LDL (kolesterol jahat) dan HDL (kolesterol baik). Ringkasnya LDL membawa kolesterol masuk ke dalam saluran darah, manakala HDL membawa kolesterol ke hati untuk dikeluarkan dari darah. Jadi LDL dan HDL bertindak secara bertentangan, satu meningkatkan kolesterol dan satu lagi mengurangkan kolesterol dalam saluran darah. Sebab itu mereka dikenali sebagai kolesterol baik dan kolesterol jahat.
Kolesterol yang diambil dari luar akan masuk ke dalam badan dan menjadi kolesterol jahat (LDL) dan Kolesterol baik (HDL). Peningkatan kolesterol jahat (LDL) dalam darah boleh juga disebabkan oleh pengambilan lemak tepu yang tinggi. Manakala pengambilan lemak trans juga boleh menurunkan kandungan kolesterol baik ataupun HDL di dalam darah. Peningkatan LDL dan penurunan HDL darah adalah faktor risiko mendapat penyakit saluran darah.
LEMAK DAN TRIGLISERIDA
Lemak adalah salah satu makronutrin seperti protein dan karbohidrat. Lemak bukan kolesterol tetapi kedua2nya ada kaitan. Banyak kegunaan lemak dan tidak akan dibincangkan di sini. Seperti juga kolesterol, lemak juga ada yang baik (monounsaturated fat dan polyunsaturated fat) dan ada yang tidak baik (saturated fat dan trans fat). Lemak yang baik dan tidak baik merujuk kepada lemak di dalam makanan, sedangkan kolesterol jahat (LDL) dan kolesterol baik (HDL) pula merujuk kepada kolesterol yang ada di dalam darah. Boleh cari sendiri maklumat tentang sumber lemak di dalam internet.
Makanan berlemak yang diambil akan dipecahkan dan masuk ke dalam darah terutamanya dalam bentuk trigliserida ("triglyceride"). Trigliserida juga boleh dihasilkan oleh hati daripada karbohidrat apabila berlebihan. Trigliserida di bawa dalam darah oleh satu lipoprotein dikenali sebagai VLDL.
KAITAN ANTARA LEMAK DAN KOLESTEROL
Kebanyakan makanan yang mengandungi tinggi kolesterol juga mengandungi lemak tepu kecuali telor dan haiwan laut bercengkerang (udang, ketam, lobster, kerang dll). Telor walaupun tinggi kolesterol tetapi kandungan lemak tepunya rendah.
Kajian mendapati pengambilan lemak tepu dan lemak trans boleh meningkatkan kandungan kolesterol dalam darah. Ceritanya begini. Kolesterol dibawa masuk ke dalam sel hati melalui reseptor yang ada pada dinding selnya. Ahli Sains percaya lemak tepu yang tinggi akan mengganggu fungsi reseptor ini dan merencat kemasukan kolesterol ke dalam sel. Akibat daripada ini, kolesterol di dalam darah akan naik.
Semasa melakukan ujian darah, makmal boleh mengukur kandungan kolesterol yakni jumlah keseluruhan kolesterol, LDL dan HDL. Manakala ukuran untuk lemak pula adalah Trigliserida.
KAITAN ANTARA KOLESTEROL DALAM MAKANAN DAN KOLESTEROL DALAM DARAH
Hampir konsisten, kajian2 mendapati bahawa pengambilan kolesterol melalui makanan mempunyai pengaruh yang kecil ke atas tahap kolesterol darah. Walau bagaimanapun terdapat segolongan manusia yang bertindakbalas secara berbeza, di mana pengambilan makanan berkolesterol menyebabkan kandungan kolesterol darah meningkat, golongan ini dikenali sebagai "hyper responder". Tidak diketahui berapa peratus populasi yang mempunyai ciri2 hyper responder, ada yang berpendapat sehingga 25%. Jadi kita tidak tahu samada termasuk di dalam golongan ini atau tidak.
Walaupun kajian mendapati pengambilan kolesterol dalam makanan kurang mempengaruhi kolesterol dalam darah, banyak juga kajian yang mendapati golongan yang mengambil diet tinggi kolesterol mempunyai risiko penyakit saluran darah. Jadi mungkin ada mekanisma lain yang menyebabkan keadaan ini ataupun pengaruh daripada golongan hyper responder serta lain2 faktor risiko. Salah satu kajian besar yang mendapati wujudnya kaitan antara pengambilan diet berkolesterol yang tinggi dengan penyakit saluran darah adalah kajian systemic review dan meta-analisis yang dikemaskinikan, disiarkan di dalam jurnal Circulation tahun 2022. Saiz sampel kajian ini sangat besar dan tempoh pemantauannya yang lama iaitu selama 31 tahun (1).
Terdapat beberapa kajian yang menafikan hubungan ini dan salah satu daripadanya adalah kajian PURE (Prospective Urban Rural Epidemiology Study) yang disiarkan pada tahun 2017 dalam jurnal The Lancet. Kajian PURE ini dilakukan di 18 buah negara dunia ketiga termasuk India, China dan lain2. Salah satu dapatan dari kajian ini adalah pengambilan lemah yang tinggi tidak meningkatkan risiko kematian (2). Walau bagaimanapun kajian ini mendapat kritikan hebat disebabkan oleh banyak kelemahan (3,4).
KANDUNGAN KOLESTEROL DARAH DENGAN RISIKO PENYAKIT SALURAN DARAH
Banyak kajian dilakukan untuk melihat kaitan antara kolesterol darah dengan risiko mendapat penyakit saluran darah. Walaupun keputusan hasil kajian2 tersebut berbeza2 namun banyak kajian mendapati bahawa kandungan LDL darah dan Trigliserida yang tinggi meningkatkan risiko menghidap penyakit saluran darah. Penyakit saluran darah jantung menyebabkan sakit jantung koronari, manakala jika melibatkan saluran darah otak menyebabkan angin ahmar (stroke). Tambahan pula kajian terhadap pesakit yang mengambil ubat statin untuk menurunkan kandungan kolesterol dan trigliserida telah menunjukkan keputusan yang sama.
Satu systematic review mengumpulkan kajian2 prospektif yang mengkaji peranan kolesterol dan trigliserida dalam darah telah disiarkan di dalam Jurnal Current Cardiology Review tahun 2021. Hasil analisa kertas-kertas kajian tersebut mendapati memang terdapat hubungan antara jumlah kolesterol darah, LDL-C dan Trigliserida dengan peningkatan risiko mendapat penyakit jantung dan angin ahmar (5).
BAGAIMANA KOLESTEROL DARAH MENYUMBANG KEPADA PENYAKIT SALURAN DARAH
Kandungan kolesterol LDL (LDL-C) darah yang tinggi boleh menyumbang kepada penyakit saluran darah (penyumbatan) seperti sakit jantung dan angin ahmar. Proses penyumbatan ini berlaku akibat dari gabungan banyak faktor termasuk keradangan, kerosakan sel dinding saluran darah, pemendapan kolesterol, kesan radikal bebas, sel2 pembekuan darah dan lain2 hingga membentuk plug di dinding saluran darah yang dinamakan atherosklerosis. Tahap trigliserida yang tinggi juga boleh menyumbang kepada pembentukan atherosklerosis melalui kesan keradangan pada dinding saluran darah. Proses kejadian atherosklerosis ini sangat kompleks dan tidak hanya bergantung kepada kolesterol. Atherosklerosis ini akan menyempitkan saluran darah dan menjejas bekalan darah. Jika ianya melibatkan saluran darah jantung, pesakit akan mengalami serangan jantung dan jika berlaku di otak, mengalami penyakit angin ahmar (stroke).
GARISPANDUAN PENGAMBILAN KOLESTEROL DAN LEMAK DARI MAKANAN
Berdasarkan kepada garispanduan diet yang sihat dikeluarkan oleh banyak badan2 antarabangsa termasuk Pertubuhan Jantung Amerika (AHA), NICE (UK) dan KKM sendiri, kita masih berpegang kepada pendapat bahawa pengambilan diet yang tinggi kolesterol, lemak tepu dan lemak trans meningkatkan risiko penyakit saluran darah, walaupun hasil kajian berbeza-beza. Tambahan pula makanan yang tinggi kolesterol juga mempunyai kandungan lemak tepu yang tinggi, maka menghadkan pengambilan kolesterol dalam diet akan membantu menurunkan pengambilan lemak tepu dan lemak trans.
Pada masa lalu, diet berkolesterol diberikan tumpuan yang spesifik (had pengambilan 200-300 mg/sehari) tetapi pada hari ini cadangan diet sihat bersifat lebih umum. Had pengambilan kolesterol sehari tidak lagi ditetapkan tetapi masih mengesyorkan supaya mengurangkan pengambilan makanan yang tinggi kolesterol dan lemak tepu. Lebih2 lagi jika seseorang itu mempunyai risiko menghidap sakit jantung seperti kandungan LDL darah yang tinggi, kegemukan, merokok, diabetes, darah tinggi, sakit jantung dan juga seseorang yang menyerap kolesterol ("hyper responder") yang cepat disebabkan oleh faktor genetik (7). NICE (UK) juga mempunyai pendirian yang sama (8,9).
KKM, AHA dan NICE sekata di dalam isu cadangan diet sihat untuk jantung iaitu mengurangkan pengambilan makanan2 yang mengandungi lemak tepu, lemak trans dan menggantikannya dengan lemak baik (lemak tidak tepu). Di samping mengurangkan pengambilan gula ringkas dan garam.
Pakar daripada Pertubuhan Jantung Amerika mengesyorkan supaya daripada memikirkan kolesterol di dalam diet secara terpisah, lebih baik setiap individu menumpukan perhatian meningkatkan pengambilan makanan yang menyihatkan seperti buah2an, sayuran, bijirin, karbohidrat kompleks, whole grain, sumber protin yang sihat (berasaskan tumbuhan dan ikan) dan produk tenusu yang rendah lemak (7).
Garispanduan amalan klinikal KKM 2023 mencadangkan had pengambilan lemak tepu kepada 10% (AHA, 5-6%) daripada jumlah kalori sehari, lemak trans kurang dari 1% dari jumlah kalori, manakala untuk keseluruhan jenis lemak, 20% daripada jumlah kalori (6). Had pengambilan kolesterol tidak dinyatakan. Cadangan lain adalah mengurangkan garam, gula ringkas, jauhi daging yang diproses, memasak dengan minyak tumbuhan (minyak zaiton, canola, sunflower dll) dan kurangkan minyak tumbuhan tropika seperti sawit dan kelapa. Faktor gayahidup yang lain juga perlu dititikberatkan seperti senaman yang tetap, tidur yang cukup, kurangkan stres, tidak merokok dan minum alkohol.
SASARAN TAHAP KANDUNGAN KOLESTEROL DAN TRIGLISERIDA DI DALAM DARAH
Mengikut garispanduan amalan klinikal KKM tahun 2023, berikut adalah tahap kolesterol dan trigliserida darah yang disasarkan (6):
1. Jumlah kolesterol: kurang daripada 5.2 mmol/L,
2. HDL : >1 mmol/L untuk lelaki dan > 1.2 mmol/L untuk wanita
3. LDL-C bergantung kepada faktor risiko di mana individu yang berisiko rendah menghidap penyakit saluran darah, sasarannya adalah kurang dari 3 mmol/L, yang berisiko tinggi kurang dari 2.6 mmol/L dan sangat berisiko tinggi kurang dari 1.4 mmol/L ataupun lebih dari 50% pengurangan daripada nilai asas. Manakala tahap
4. Trigliserida: kurang dari 1.7 mmol/L. (6)
KESIMPULAN
Risiko untuk mendapat penyakit saluran darah seperti penyakit jantung dan angin ahmar melibatkan banyak faktor bukan setakat kandungan kolesterol dan trigliserida di dalam darah. Walaupun hubungan antara pengambilan kolesterol dari makanan kurang mempengaruhi kolesterol darah, namun banyak kajian mendapati ianya ada kaitan dengan risiko mendapat penyakit saluran darah. Kandungan kolesterol dalam darah boleh meningkat akibat pengambilan lemak tepu yang tinggi kerana ia boleh mengganggu kemasukan kolesterol ke dalam hati. Lemak trans juga boleh menurunkan kandungan kolesterol baik ataupun HDL. Peningkatan LDL-C & trigliserida serta penurunan HDL dalam darah boleh meningkatkan risiko penyakit saluran darah.
Tidak dapat dinafikan bahawa memang ada kajian yang menunjukkan hasil yang berbeza tetapi ianya tidak cukup kuat untuk mengubah cadangan diet sihat yang sedia ada. Tidak hairanlah mengapa institusi2 kesihatan seperti Pertubuhan Jantung Amerika, NICE (UK), KKM dan lain2 masih mengekalkan cadangan diet sihat (sayuran, buah2an, whole grain, bijirin, protein sihat, karbohidrat kompleks, menukar jenis lemak kepada lemak tidak tepu dan lain2) dan mengurangkan pengambilan gula ringkas serta garam. Di samping itu institusi2 ini juga menetapkan had kandungan kolesterol dan trigliserida di dalam darah yang perlu disasarkan. Walau bagaimana pun, had pengambilan kolesterol di dalam diet tidak dinyatakan seperti dahulu.
Langkah-langkah mengurangkan risiko sakit jantung, angin ahmar dan lain-lain penyakit kronik memerlukan perubahan gayahidup yang menyeluruh daripada jenis makanan, minuman, kebersihan, aktiviti fizikal, mencegah obesiti, mengurangkan stres, tidur yang mencukupi dan menghindari tabiat2 buruk seperti merokok dan meminum alkohol.
Dato' Dr Rushdan Noor
15hb Julai 2024
RUJUKAN
1. Zhao B, Gan L, Graubard BI, et al.Associations of Dietary Cholesterol, Serum
Cholesterol, and Egg Consumption With Overall
and Cause-Specific Mortality: Systematic Review
and Updated Meta-Analysis
Circulation. 2022;145:1506–1520. DOI: 10.1161/CIRCULATIONAHA.121.057642
2. Dehghan M, Mente A, Zhang X, et al. Associations of fats and carbohydrate intake with cardiovascular disease and mortality in 18 countries from five continents (PURE): a prospective cohort study. Lancet. 2017;pii: S0140-6736(17)32252-3
3. https://nutritionsource.hsph.harvard.edu/2017/09/08/pure-study-makes-headlines-but-the-conclusions-are-misleading/
4. https://www.amjmed.com/article/S0002-9343(17)31216-0/pdf
5. Alloubani A, Nimer R , Samara R. Relationship between Hyperlipaedemia, Cardiovascular Disease and Stroke : A systematic review. Curr Cardiol Rev, 2021 Dec 28;17(6): e051121189015
6. 6th edition. Clinical Practise Guidelines. Management of Dyslipidaemia. 2023 (https://www.malaysianheart.org/publication/clinical-practice-guidelines/p/clinical-practice-guidelines-management-of-dyslipidaemia-2023-6th-ed)
https://www.malaysianheart.org/management.file/doc/202312237439134019.pdf
7. https://www.heart.org/en/news/2023/08/25/heres-the-latest-on-dietary-cholesterol-and-how-it-fits-in-with-a-healthy-diet
8. https://www.nice.org.uk/guidance/ng238/chapter/Recommendations#identifying-and-assessing-cardiovascular-disease-risk-for-people-without-established-cardiovascular
9. https://www.nhs.uk/live-well/eat-well/food-types/different-fats-nutrition/
https://www.healthline.com/health/high-cholesterol/rda
https://www.ahajournals.org/doi/10.1161/CIR.0000000000001031
https://www.ahajournals.org/doi/full/10.1161/CIR.0000000000000743
https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3234107/
RENCANA INI ADALAH PENDAPAT PERIBADI DAN TIDAK MEWAKILI MANA2 PERTUBUHAN DAN INSTITUSI.
No comments:
Post a Comment