Sunday 21 June 2020

KANSER DAN KEMOTERAPI

KANSER DAN RAWATAN KEMOTERAPI

Dalam status yang lalu saya telah menerangkan apakah perbezaan di antara sel normal dengan sel kanser. Salah satu kaedah untuk mematikan sel kanser adalah dengan kaedah rawatan kemoterapi. Rawatan kemoterapi tergolong di dalam rawatan sistemik yakni ubat yang diberikan akan pergi ke seluruh badan. Terdapat 3 tujuan rawatan ini diberikan iaitu samada untuk menyembuhkan, memanjangkan hayat ataupun untuk mengurangkan gejala. Ubat yang digunakan di dalam rawatan ini juga dikenali sebagai sitotoksik ("cytotoxic") ataupun "chemotherapeutic agents". Banyak daripada ubat sitotoksik ini sebenarnya diekstrak daripada daun kayu, contohnya Paclitaxel yang diperolehi daripada pokok Yew. Ada juga yang dihasilkan secara sintetik.

Terdapat lebih 100 jenis ubat sitotoksik yang digunakan untuk merawat kanser. Ubat sitotoksik yang digunakan untuk merawat kanser ini dikumpulkan ke dalam kumpulan-kumpulan tertentu di mana setiap kumpulan mempunyai kaedah mematikan sel kanser dengan cara yang tersendiri.Ianya diberikan samada melalui suntikan, kemopot, makan ataupun dimasukkan ke dalam rongga.

Dua sifat sel kanser (berbeza dengan sel normal) yang menjadi asas kepada keberkesanan ubat sitotoksik adalah sel kanser membiak dengan sangat cepat dan sel kanser kurang berkemampuan untuk memulihkan diri mereka sendiri. Terdapat beberapa kaedah bagaimana ubat sitotoksik membunuh sel kanser di antaranya adalah merosakkan DNA, mengikat DNA, memotong DNA, merencat pembentukan unit asas DNA, menghalang pembahagian sel kanser dan lain-lain. Apabila ini dilakukan, sel kanser gagal membiak dan akan mati. Sel kanser tidak dapat pulih kerana tidak mampu memulihkan diri mereka sendiri. Disebabkan sasaran ubat sitotoksik ini adalah kepada proses pembahagian sel kanser, maka hanya sel-sel yang membiak dengan cepat sahaja yang akan dapat dimatikan dengan berkesan.

Apabila ubat sitotoksik diberikan kepada seluruh badan, maka sel-sel yang normal juga akan terdedah kepadanya. Kebanyakan sel-sel yang normal di dalam badan anda sudah tidak membiak dan terselamat daripada kesan ubat sitotoksik. Walau bagaimanapun terdapat beberapa jenis sel normal yang masih membiak dengan cepat seperti sel rambut, sel lapisan usus dan sel darah di dalam sum-sum tulang. Sel-sel inilah yang selalunya akan terkesan apabila ubat sitotoksik diberikan, sebab itulah seseorang pesakit boleh mengalami keguguran rambut, kurang sel darah dan juga masalah sistem gastrousus (loya,muntah, luka pada mulut, cirit). Terdapat juga kesan sampingan ke atas organ-organ tertentu seperti buah pinggang, saraf, jantung dan lain-lain bergantung kepada jenis ubat yang digunakan. Memandangkan sel normal boleh memperbaiki diri mereka, maka kesan sampingan ini bersifat sementara sebab itu perlu ada tempoh rehat daripada 1-3 minggu selepas rawatan.


Cabaran yang terbesar dihadapi oleh pakar kanser adalah bagaimana menentukan dos dan kekerapan ubat sitotoksik supaya ianya berkesan membunuh sebanyak mungkin sel kanser dan meminimakan kesan sampingan ke atas sel yang normal. Pakar kanser juga perlu menentukan jenis ubat sitotoksik yang hendak diberikan. Selalunya ubat sitotoksik diberikan dalam bentuk gabungan dua ataupun lebih jenis ubat yang bertindak dengan cara yang berbeza. Cabaran ini dapat diatasi dengan pengetahuan dan kemahiran ahli-ahli sains farmakologi yang mampu menentukan dos dan kekerapan ubat sitotoksik diberikan. Pesakit kanser juga akan menjalani persediaan sebelum rawatan diberikan dan akan menerima ubat-ubat pencegah kesan sampingan selepas selesai rawatan. Ada juga ubat-ubat yang boleh melindungi organ-organ badan seperti buah pinggang , jantung dan lain-lain daripada kesan ubat sitotoksik. Ubat-ubat pelindung ini dinamakan "cytoprotector".

Tidak semua kanser boleh dirawat dengan rawatan kemoterapi. Kebanyakan kanser menggunakan rawatan kemoterapi selepas menjalani rawatan utama untuk mengurangkan kejadian kanser berulang dan juga memanjangkan hayat. Ini dikenali sebagai kemoterapi adjuvant. Ada juga yang menerima rawatan kemoterapi sebelum rawatan utama diberikan untuk mengecilkan saiz kanser, rawatan ini dikenali sebagai kemoterapi neoadjuvan. Manakala golongan ketiga menerima rawatan kemoterapi sebagai rawatan utama.

Kajian masih diteruskan untuk mencari ubat-ubat sitotoksik yang lebih berkesan dan menggunakan gabungan ubat yang berbeza-beza. Ahli sains juga mengkaji kaedah-kaedah lain bagaimana ubat ini diberikan supaya ianya lebih berkesan dan pada waktu yang sama dapat mengurangkan kesan sampingan. Kita akan belajar mengenai ubat-ubat antikanser yang lain seperti terapi hormon, terapi sasaran ("targeted therapy") dan terapi imun di dalam status yang akan datang.

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Kementerian Kesihatan Malaysia
https://www.facebook.com/rushdan.noor

No comments:

Post a Comment