Saturday 20 June 2020

BENARKAH AIR FRYER BOLEH MENYEBABKAN KANSER?


Belum ada bukti yang menunjukkan penggunaan Air Fryer boleh menyebabkan kanser ke atas manusia. Sememangnya semua perkara di dunia ini ada baik dan buruknya. Jika kebaikan lebih banyak daripada keburukan, maka baiklah perkara tersebut. Proses kejadian kanser bukan semudah 1+1 jadi 2. Banyak faktor yang terlibat dan prosesnya sangat kompleks. Syukur kepada Tuhan yang mencipta sistem badan manusia yang sangat cekap memulih dan memelihara sel-sel secara semulajadi walaupun sepanjang masa terdedah kepada penyebab kanser di udara,daratan dan makanan. Di samping faktor semulajadi, terdapat gayahidup dan makanan yang diambil oleh manusia boleh bertindak sebagai penawar ataupun pelindung kepada serangan agen penyebab kanser.

Air Fryer ada kebaikannya seperti boleh mengurangkan pengambilan minyak dan kalori di dalam makanan. Keburukannya adalah jika makanan berkanji dan berasaskan tumbuhan (kentang, roti, bijirin,kopi,buah kering dll) dipanaskan pada suhu lebih daripada 120 darjah selsius dalam masa yang panjang, boleh menghasilkan satu bahan dikenali sebagai Acrylamide. Walau bagaimanapun Acrylamide ini bukan semestinya dihasilkan dengan Air Fryer sahaja, apa sahaja kaedah pemanasan boleh menghasilkannya termasuk dengan dapur arang sekalipun. Acrylamide akan dimetabolismakan kepada glycidamide yang dikatakan boleh merosakkan baka ("mutagenic").Banyak lagi bahan makanan yang mengandungi Acrylamide seperti jus prun,minyak zaitun hitam, buah prun kering, buah pear kering dan lain-lain. Ia juga ditemui di dalam asap rokok serta digunakan di dalam industri membuat kertas, fabrik, pemekat dan pewarna.

Persoalannya benarkan Acrylamide boleh menyebabkan kanser? Jawapannya Ya jika diberikan dalam DOS YANG TINGGI kepada TIKUS. Ada dua kata kunci iaitu DOS YANG TINGGI dan TIKUS. Itupun melalui kajian makmal dan melibatkan 2-3 jenis kanser sahaja (daripada lebih 150 jenis kanser). Walau bagaimanapun setakat ini BELUM ADA kajian ke atas manusia yang mengesahkan kebenaran ini. Malahan semakan ke atas banyak kajian "case control" dan epidemiologi BELUM LAGI MENEMUI BUKTI KUKUH bahawa Acrylamide boleh menyebabkan kanser ke atas MANUSIA. Kajian terhadap pekerja-pekerja industri makanan yang terdedah kepada Acrylamide (2 kali lebih tinggi daripada tahap biasa) mendapati tidak ada kaitan antara bahan ini dengan kanser. Kenyataan ini diakui oleh semua pertubuhan kanser termasuk Pertubuhan Kanser Amerika dan National Cancer Institute. Mungkin metabolisma Acrylamide di dalam tikus berbeza dengan manusia.Tambahan pula kuantiti Acrylamide yang dihasilkan melalui kaedah pemanasan makanan termasuk dengan menggunakan Air Fryer jauh lebih rendah daripada yang diberikan kepada tikus di dalam kajian makmal (ekstrak Acrylamide yang ditulinkan). Acrylamide juga dikaitkan dengan masalah saraf tetapi kesan ini hanya boleh berlaku jika kuantiti yang diambil lebih daripada 500 kali lebih tinggi daripada purata pengambilan.

Kesimpulannya, orang ramai tidak perlu risau menggunakan Air Fryer untuk memasak dengan syarat menggunakannya dengan betul dan bersederhana dalam semua segi. Jangan hari-hari makan kentang goreng (kalau tanpa Air Fryer pun tak elok ambik kentang goreng banyak2), jangan ambil garam berlebihan, memasak jangan sampai terlalu garing (perang kehitaman), jangan makan banyak dan pastikan makanan mempunyai nutrien yang seimbang. Air Fryer boleh digunakan untuk memasak banyak makanan lain yang tidak berkanji ataupun kurang kandungan kanjinya. Dengan amalan hidup sihat, tidak merokok, tidak minum alkohol, tidak mengalami kegemukan, mengambil banyak sayuran/buah2an, bersenam dan lakukan ujian saringan, maka anda akan dapat menurunkan risiko menghidap kanser walaupun menggunakan Air Fryer. Dengan amalan ini, Air Fryer akan menjadi salah satu alat memasak yang baik untuk anda, lebih-lebih lagi jika ianya digunakan untuk tujuan mengurangkan pengambilan lemak dan kalori.

DDr Rushdan Noor

Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Ahli Medical Mythbusters Malaysia

19hb Okt 2018


RUJUKAN

1.Verk-Baker MK, Nagy TR, Barnes S,Groopman J.Dietary Acrylamide and Human Cancer:A systemic Review of Literature.Nutr Cancer. 2014; 66(5): 774–790

https://www.cancer.gov/about-cancer/causes-prevention/risk/diet/acrylamide-fact-sheet

2.https://www.cancer.org/cancer/cancer-causes/acrylamide.html

3.https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5834785/

4.https://www.fda.gov/ForConsumers/ConsumerUpdates/ucm374855.htm

5.https://en.wikipedia.org/wiki/Acrylamide

6.FAO/WHO Consultation on the Health Implications of Acrylamide in Food; Geneva, 25–27 June 2002, Summary Report. (PDF) . Retrieved on 2014-11-09.



No comments:

Post a Comment