Saturday 20 June 2020

PESAKIT KANSER YANG DIRAWAT DENGAN KAEDAH ALTERNATIF MEMPUNYAI KADAR KEMATIAN YANG LEBIH TINGGI


Kepercayaan masyarakat Malaysia terhadap rawatan alternatif untuk merawat kanser adalah tinggi. Satu kajian telah dijalankan oleh penyelidik dari Universiti Malaya ke atas 400 orang pesakit kanser payudara yang baru dirujuk. Kajian ini  mendapati 34.8% daripada pesakit ini mengamalkan kaedah rawatan alternatif dan komplementari (CAM) sebelum mendapatkan rawatan di hospital. Suplemen ("dietary supplement") adalah kaedah paling utama iaitu sebanyak 77% daripada pesakit yang mengamalkan CAM. Ini diikuti dengan kaedah spiritual (28.8%) dan Perubatan Traditional China (23%). Berkenaan dengan taburan ethnik, orang melayu meliputi 44%, diikuti dengan bangsa Cina (41%) dan India (14.4%) daripada pengamal CAM (1). 

Trend amalan perubatan alternatif untuk merawat kanser adalah serupa di luar negara. Semakin banyak kajian menunjukkan bahawa memilih kaedah rawatan alternatif sebagai rawatan utama kanser dan mengenepikan kaedah rawatan moden/konvensional akan mempercepatkan perebakan kanser, meningkatkan kadar kejadian semula kanser dan memendekkan jangkahayat. Saya paparkan 3 daripada kajian-kajian tersebut.

Pertamanya hasil kajian yang disiarkan di dalam Journal of the NCI keluaran 2018. Analisis dilakukan ke atas pesakit kanser payudara, kanser prostat, paru-paru dan usus besar. Pesakit-pesakit ini enggan menerima rawatan kanser moden sebaliknya mengamalkan rawatan alternatif. Tempoh kajian ini adalah sehingga 7 tahun, dengan median 5 tahun. Keseluruhannya kadar kematian meningkat sebanyak 2.5 kali ganda (250%) ke atas semua pesakit kanser yang memilih rawatan alternatif. Apabila diasingkan jenis-jenis kanser, kadar kematian meningkat sebanyak 5.68 kali lebih tinggi dalam kalangan pesakit kanser payudara, 2.17 kali kanser paru2 dan 4.57 kali ke atas kanser usus besar (2). Walaupun perbezaan kadar hidup bagi kanser prostat tidak menunjukkan perbezaan yang diketara namun ini memang sudah dijangka kerana lebih 70% pesakit yang dikaji adalah pesakit yang berada pada peringkat awal. Kanser prostat diketahui merebak pada kadar yang perlahan dan memakan masa yang panjang, kajian ini tidak cukup panjang untuk melihat perbezaan yang ketara. Jika tempuh kajian ini dilanjutkan lebih dari 7 tahun, kita akan dapati kesan mudarat rawatan alternatif akan menjadi lebih besar daripada apa yang dipaparkan. 

Kajian kedua adalah oleh Chang EY, et al mendapati rawatan alternatif yang digunakan sebagai rawatan utama kanser payudara menyebabkan meningkatnya kadar kejadian kanser berulang dan kematian.Penggunaan homeopati sebagai rawatan utama kanser menyebabkan kebanyakan pesakit kanser payudara mengalami kanser yang merebak dengan cepat ("progressive disease")(3).

Manakala kajian ketiga adalah oleh Han E, et al membuat kajian retrospektif ke atas dua kumpulan pesakit kanser payudara yang mengamalkan rawatan alternatif. Kumpulan pertama enggan menjalani rawatan pembedahan dan kumpulan kedua enggan menjalani rawatan susulan (adjuvan). Lebih 96% daripada kumpulan pertama mengalami kanser yang merebak (progression) dan 50% daripada mereka mati akibat kanser. Manakala kumpulan kedua pula hampir 70% daripada mereka mengalami kanser merebak dan 36.4% mati akibat kanser.(4). Banyak lagi kajian-kajian yang sama dilakukan dan disiarkan di dalam jurnal-jurnal yang memberi kesimpulan bahawa memilih kaedah rawatan alternatif untuk merawat kanser menyebabkan kadar kematian akibat kanser meningkat berbanding dengan rawatan konvensional.

KESIMPULAN

Kepercayaan terhadap perubatan alternatif untuk merawat penyakit kanser masih lagi tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia. Kadar sebenar amalan CAM dalam kalangan pesakit kanser mungkin lebih tinggi daripada yang dilapurkan kerana ramai yang menyembunyikan tindakan mereka. Kajian yang dijalankan di luar negara menunjukkan bahawa kadar kematian dan kejadian semula kanser lebih tinggi dalam kalangan pesakit yang mengamalkan rawatan perubatan alternatif berbanding dengan kaedah rawatan konventional. Kemudaratan yang lebih besar mungkin akan ditemui jika tempoh kajian dipanjangkan lagi.






Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

RUJUKAN

1. Zulkifli AF, Islam T, Mohd Taib NA, et al. Use of Complementary and Alternative Medicine Among Newly Diagnosed Breast Cancer Patients In Malaysia: An Early Report from the MyBCC study. Integrative Cancer Therapy, 2018;17(2):312-321

2. Johnson SB, et al. Use of Alternatif Medicine for Cancer and Its Impact on Survival.Journal of the National Cancer Institute, Volume 110, Issue 1, 1 January 2018, djx145, https://doi.org/10.1093/jnci/djx145.Published August 2017.

3. Chang EY, et al. Outcomes of breast cancer in patients who use alternatif therapies as primary treatment. Am J Surg. 2006 Oct;192(4):471-3.

4. Han E, et al. Alternatif therapy used as primary treatment for breast cancer negatively impacts outcomes. Ann Surg Oncol. 2011 Apr;18(4):912-6. doi: 10.1245/s10434-010-1487-0. Epub 2011 Jan 12

5. https://www.quackwatch.org/01QuackeryRelatedTopics/harmquack.html?fbclid=IwAR1ETaid3wrIZ-ePAAU8QXKr0m7HTQSXKFA_JAafB8LT7Pq1foE8uLwfQlU

6. https://www.bangkokpost.com/news/special-reports/570851/cancer-patients-find-hope-and-hazard-in-china?fbclid=IwAR1sDoRmbKlX3eWilgUCvFfiEemqrskPkpxi9dt_lU37yiGotqKkm3ud_7k

7. https://sciencebasedmedicine.org/the-deadly-false-hope-of-german-cancer-clinics/?fbclid=IwAR1pYS29Iv-7D_KVt2_gW7oIJhb7gSZyZgReqoYglXGiROv0e2DC2L-5MHc

8. https://health.spectator.co.uk/quacks-are-everywhere-here-is-how-to-spot-them/

No comments:

Post a Comment