Teknologi maklumat yang canggih boleh beri kesan besar kepada kehidupan masyarakat hari ini. Ia membawa kesan positif dan kesan negatif. Terpulang kepada pengguna untuk memilih.
Berikut adalah beberapa kesilapan besar yang sering dilakukan oleh pengguna (termasuk saya) apabila menerima maklumat dan berita dari media sosial. Di bawah setiap kesilapan itu, dicadangkan jalan penyelesaiannya.
1. Baca tajuk tapi tak baca isi kandungan. Dari tajuk sahaja dah boleh buat kesimpulan, sedangkan wartawan tulis tajuk untuk memancing pembaca. Dari tajuk sahaja, pembaca dah cipta persepsi dan seolah2 tahu jalan cerita, macam ahli nujum. Paling parah, dia screenshot tajuk saja dan share dengan orang lain. Kadang kala tajuk sahaja dah buka pintu fitnah dan salah sangka.
Solusi: Baca isi kandungan berita sepenuhnya dan sebaik2nya baca juga berita dari pihak lain untuk mendapat pencerahan.
2. Mudah sangat terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan oleh pihak berkepentingan. Akibatnya, emosi menguasai diri dan ujud prasangka buruk terhadap pihak lain. Sentimen yang dimainkan boleh menanam perasaan benci kepada orang lain dan ini boleh mencetus konflik sesama manusia.
Solusi: Jangan taksub kepada mana-mana kumpulan ataupun individu. Berbaik sangka dan tidak gelojoh membuat kesimpulan.
3. Ketaksuban kepada satu2 kumpulan menyebabkan pengikut menelan apa sahaja yang diperkatakan oleh pemimpin mereka. Menganggap pemimpin mereka itu sempurna dan tak pernah buat silap. (sambungan di no 7)
Solusi : Jangan taksub pada mana2 kumpulan atau individu. Luaskan circle pergaulan dan kontak kita supaya minda lebih terbuka dan boleh menerima kepelbagaian pendapat. Tidak ada manusia yang sempurna dan tahu serba serbi.
4. Sikap tidak teliti dan tidak menyelidik sendiri kesahihan maklumat. Asal terima saja, terus percaya. Apatah lagi jika maklumat itu selari dengan sangkaan atau pengharapan kita, lagilah cepat ditelannya bulat2. Seringkali terlepas pandang berita lama yang dikitar semula.
Solusi : Selidik sumber berita dan identiti penulis ataupun penyampai. Cari maklumat tentang latarbelakang penyampai berita dan penulis rencana samada mereka memang layak ataupun hanya "keyboard warrior" dan kerja "copypaste". Fb dan tik tok tidak menapis siapa yang boleh menulis dan buat video. Jangan lupa semak tarikh berita. Jika tidak ada tarikh atau orang yang menyampaikan itu pula tidak dikenali, jangan percaya.
5. Tidak sedar bahawa ujudnya golongan yang memang dibayar untuk bermain sentimen, menyebar maklumat palsu, memfitnah dan menjatuhkan reputasi pihak lain. Mereka sanggup jadikan kerja ini sebagai sumber pendapatan utama mereka kerana bayaran yang lumayan. Tidak ada halal dan haram dalam kamus hidup mereka.
Solusi : Sama macam no 4 di atas. Kenali cybertrooper dan rakan2 mereka, ada di antara mereka tidak malu membuat pengakuan secara terbuka.
6. Gopoh berkongsi maklumat yang separuh masak. Selalunya kebenaran hanya akan terserlah apabila kita memberi cukup masa hingga polemik itu reda dan setelah kita meneliti penjelasan dari semua pihak yang terlibat.
Solusi: Beri cukup masa, contohnya tunggu 3-5 hari untuk mendapatkan maklumat dari semua pihak agar kita dapat membuat kesimpulan yang adil. Dengan syarat kita rajin mencari maklumat dan membaca.
7. Kalau tengok carta kaitan antara kerjaya dan kredibiliti, apakah kerjaya yang paling tak boleh dipercayai ? Ya, betul, tapi kita taksub dan serius sangat dengan golongan ini sampai sanggup bermati-matian mempertahankan mereka. Dalam melakukan perkara itu, kita mengumpul dosa yang banyak, ada yang putus persaudaraan dan bermusuhan. Sedangkan mereka bergaduh dalam dewan, tapi selepas tamat perbahasan, mereka minum kopi dan gelak ketawa. Dulu mereka kawan tapi hari ini jadi lawan. Masa jadi kawan, semua baik belaka, tapi bila jadi lawan, semuanya tak betul. Tak kira dari parti mana mereka datang, semuanya sama saja. Mereka hanya akan buat sesuatu yang menguntungkan parti mereka.
Solusi : Jangan taksub kepada mana2 politikus dan parti politik. Tidak salah menyokong mana2 parti politik, tetapi berpada2/bersederhana.
Perasan atau tidak, dalam banyak2 solusi yang dicadangkan, perkataan TAKSUB diulang berkali-kali. Sikap taksub atau FANATIK ini sikap tercela dan dilarang oleh agama. Sains juga menunjukkan golongan yang taksub kepada individu atau selebriti mempunyai keupayaan kognitif yang rendah, maksudnya kurang cerdik. Golongan yang kurang cerdik inilah seringkali menjadi sasaran penipu dan scammer.
Dato' Dr Rushdan Noor
21hb Nov 2023
No comments:
Post a Comment