Perkataan DITIDURKAN mula terkenal dan digunakan secara meluas semasa wabak Covid-19 dahulu. Nampaknya istilah ini terus digunakan hingga ke hari ini. Pada ketika itu apabila pesakit Covid "ditidurkan", tanggapan orang ramai adalah pesakit ini kemungkinan besar akan meninggal. Sebenarnya, pesakit bukan meninggal akibat prosedur ("ditidurkan") itu tetapi akibat penyakit yang dialami kerana umumnya pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan adalah pesakit yang sudah tenat atau kritikal.
DITIDURKAN ni sebenarnya bukanlah perkataan yang sesuai kerana proses pelalian (tidur) ini hanya bahagian kecil dari keseluruhan prosedur memberi bantuan pernafasan kepada pesakit. Orang yang menjalani pembedahan pun diberi ubat pelali dan melalui proses yg sama. Begitu juga banyak lagi prosedur yg memerlukan pesakit dilalikan (ditidurkan). Hatta, pesakit yang menjalani prosedur ringan seperti pemeriksaan endoscopi pun kadangkala diberikan ubat tidur. Kadangkala pesakit yang mengalami kesakitan teruk juga diberikan ubat pelali jenis opiod untuk mengurangkan kesakitan. Ada juga yang menggunakan istilah sedasi ("sedation") yang merujuk kepada separa sedar.
Terma sebenar yang digunakan oleh doktor adalah VENTILATION atau ventilasi. Prosedur ventilasi ini melibatkan beberapa langkah iaitu pra-oksigenisasi, memberi ubat pelali (untuk menjadikan pesakit tidak sedar/tidur), diikuti dengan ubat merelaksasikan otot2 ("muscle relaxant"), intubasi (masukkan tiub pernafasan) dan menyambung tiub itu dengan mesin ventilator. Tiub ke perut (tiub nasogastrik) juga dimasukkan jika perlu. Mesin ventilator inilah yang akan mengepam gas keluar masuk dalam paru2 pesakit. Kawalan pernafasan oleh mesin inilah sebenarnya langkah yang paling utama semasa pesakit menjalani ventilasi. Apabila proses ventilasi ini dilakukan oleh mesin ventilator, ianya dinamakan "MECHANICAL VENTILATION". Sebab mengapa seseorang pesakit perlu menjalani ventilasi ada tersenarai di dalam jadual di bawah. Tidak dilakukan semberono tetapi melalui penilaian dan pengendalian pakar dengan pemantauan yang sangat rapi.
Kajian ke atas 262 orang dewasa yang dimasukkan ke ICU dan menerima bantuan pernafasan ("mechanical ventilation") atas pelbagai sebab mendapati 63% daripada pesakit2 ini pulih berbanding dengan 37% mati. Manakala kadar kematian kanak2 pula jauh lebih rendah iaitu 17% (1). Hasil kajian ini menolak sangkaan bahawa seseorang yang memerlukan bantuan pernafasan atau ventilasi berkemungkinan besar tidak dapat hidup. Secara individu, peluang untuk pulih atau hidup bergantung kepada jenis penyakit dan sebab prosedur ini diperlukan.
Pakar yang bertanggungjawab mengendalikan prosedur/rawatan ini adalah Pakar Bius dan lebih tepat lagi Pakar Intensivist. Sebenarnya terdapat banyak jenis Ventilation termasuk juga ke atas pesakit yang masih sedar atau separa sedar (jadi pesakit tidak tidur). Untuk kesempatan ini, cukuplah kita tahu maklumat ringkas tentang ventilasi. Apa yang ingin ditekankan adalah istilah DITIDURKAN itu jauh tersasar dari apa yang sebenarnya dilakukan oleh pihak doktor. Mungkin perkataan ventilasi ataupun bantuan pernafasan lebih tepat digunakan. Orang ramai mungkin rasa janggal dengan istilah ini tetapi lama kelamaan mereka akan terbiasa seperti mana istilah "ditidurkan".
Dato' Dr Rushdan Noor
16hb Nov 2023
1.https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6718855/
No comments:
Post a Comment