Monday 18 December 2023

JIKA SAYA PARTI PEMBANGKANG



Sebagai seorang pengguna media sosial, saya tidak terlepas daripada terdedah kepada pelbagai bentuk maklumat dan juga isu berkaitan dengan politik tanahair. Selepas bersara, walaupun saya lebih cenderung untuk menulis berkaitan dengan ilmu khususnya bidang perubatan dan kesihatan, namun status YB (Yang Bersara) ini memberi sedikit ruang untuk berkongsi tentang isu politik. Bukan sebagai seorang pakar politik, tetapi sebagai rakyat Malaysia yang cakna dengan perkembangan politik semasa dan ingin mengambil kesempatan untuk bersuara walaupun melalui alam maya.

Sebagai rakyat biasa, kita ingin melihat negara ini ditadbir dengan baik oleh kerajaan yang memerintah dan pada waktu yang sama mempunyai pembangkang yang berkesan. Dari dahulu lagi , semasa berkhidmat sebagai penjawat awam, saya akan menyokong mana2 kerajaan yang dilantik selagi ianya melalui proses demokrasi yang sah. Nampaknya, pendirian itu kekal hingga ke hari ini. Mungkin masa depan akan berubah, saya tidak tahu.

PENCAPAIAN KERAJAAN PERPADUAN DALAM SETAHUN

Setakat saya mengikuti perkembangan politik dan pencapaian kerajaan di bawah pimpinan PMX, saya belum bertemu dengan kepincangan dan kelemahan yang saya tidak dapat menerimanya. Pendirian ini diambil berdasarkan kepada penelitian dan pencarian maklumat ke atas setiap dakwaan yang telah dibuat. Kelemahan itu wujud, tetapi masih boleh dimaafkan. Walaupun terdapat isu2 yang agak sensitif dan menjadi polemik yang panas, di mana pihak pembangkang mengkritik kerajaan dengan lantang, saya masih mampu untuk bersangka baik. Banyak kritikan tersebut bukan sahaja berlaku ke atas kerajaan sekarang, tetapi juga wujud semasa pemerintahan kerajaan terdahulu, yakni semasa pembangkang menjadi kerajaan. PMX juga perlu mengambil kira status kerajaan perpaduan yang terdiri daripada gabungan banyak parti-parti politik, maka tentu sekali tidak mudah untuk mengubal dasar dan melaksanakan program yang dapat memenuhi citarasa semua pihak.

Kesimpulannya, setakat 1 tahun pemerintahan kerajaan perpaduan ini, saya boleh katakan yang saya berpuas hati walaupun masih banyak lagi aktiviti dan penambahbaikan yang boleh dilakukan. Pada usia 76 tahun, PMX sangat bertenaga dan komited dengan tanggungjawab beliau, di mana saya rasa bukan calang2 orang mampu melakukannya. Walaupun ramai yang menuduh beliau hanya pandai bercakap, tetapi saya tidak setuju jika dikatakan kerajaan ini tidak lakukan apa-apa. Kenyataan DYMM Sultan Johor baru-baru ini mengesahkan pendirian baginda yang mahu rakyat memberi cukup masa kepada PMX kerana 1 tahun dianggap masa yang masih singkat. Terdapat juga penganalisa politik yang berpendapat bahawa pencapaian PMX lebih baik daripada PM dalam kerajaan sebelum ini.

Kedudukan ekonomi negara masih kuat di mana kadar inflasi adalah rendah dan kadar pengangguran menurun. Pencapaian kerajaan tidak boleh diukur daripada hasil kaji selidik ke atas rakyat kerana ini adalah kajian persepsi dan bukan realiti. Persepsi negatif boleh berpunca dari usaha propaganda pembangkang yang menguasai media sosial ataupun kaedah persampelan yang berat sebelah ("bias"). Petunjuk ekonomi adalah kadar inflasi, kadar pengangguran, pelaburan masuk ke dalam negara dan juga nilai matawang. Nilai matawang jatuh kerana ini adalah masalah global dan bukan setempat. Manakala kadar inflasi menurun kepada 2.8% pada suku kedua 2023. Kadar pengangguran menurun kepada 3.5%, lebih rendah dari tahun 2022.

Kerajaan memperkenalkan subsidi bersasar untuk mengurangkan beban kewangan rakyat. Inisiatif seperti Payung Rahmah dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) telah memberikan bantuan langsung kepada golongan berpendapatan rendah dan miskin tegar. Skim perubatan Madani telah memanfaatkan lebih 1 juta pesakit yang menerima rawatan percuma di klinik swasta. Bajet 2024 juga menunjukkan komitmen kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah dalam bentuk imbuhan wang dan juga projek2 yang memanfaatkan golongan ini. Kedudukan agama Islam dan kedudukan raja-raja melayu terus terpelihara. Jadi tidak salah kalau saya katakan walaupun kerajaan ini tidak sempurna, tetapi mereka bekerja dan ada hasil yang telah ditunjukkan, walaupun baru 1 tahun memerintah. Mengatakan kerajaan ini tidak buat apa-apa adalah pendapat yang tidak benar dan tidak adil.

PRESTASI PEMBANGKANG
Di samping kita memberi pendapat tentang pencapaian kerajaan dan mengkritik mereka, bagaimana pula dengan pencapaian pembangkang. Berdasarkan kepada pemerhatian saya, pembangkang perlu memberi lebih banyak tumpuan kepada peranan semak dan imbang kerajaan. Mungkin saya boleh kongsi pendapat saya tentang peranan pembangkang dengan membuat andaian jika saya adalah Ketua Pembangkang. Tidak dapat dinafikan, ada perkara-perkara yang dinyatakan di bawah telah dan sedang dilakukan oleh sebahagian wakil mereka..
JIKA SAYA ADALAH KETUA PEMBANGKANG
Jika saya dilantik menjadi Ketua Pembangkang dan diberikan kuasa untuk mengemudi parti-parti pembangkang, saya akan lakukan sekurang-kurangnya 8 perkara di bawah.
1. Saya akan mengesahkan keabsahan kerajaan yang ada pada hari ini kerana ianya dipilih secara demokrasi yang lazimnya akan memegang jawatan sehingga PRU yang akan datang. Perlantikan ini juga direstui oleh YDPA dan tidak bertentangan dengan hukum syarak.
2. Saya akan membentuk kabinet bayangan bertujuan untuk mendapatkan input-input berdasarkan fungsi potfolio kabinet kerajaan sedia ada. Saya akan menetapkan KPI bagi ahli2 kabinet bayangan ini dan setiap ahli perlu menunjukkan kemampuan yang sekurang2nya setara dengan lawan mereka dalam kerajaan. Mencadangkan kepada kerajaan di adakan sesi perdebatan antara wakil kerajaan dan pembangkang supaya menjadi budaya baru dalam arena politik negara.
3. Menasihati setiap MP dan ahli2 dalam kabinet bayangan ini mencari isu2 rakyat dan negara yang relevan untuk diketengahkan di dalam perbahasan di parlimen. Membuat persediaan yang mencukupi dengan menyelidik dan mencari maklumat yang tepat sebelum pembentangan dan tidak melakukan kesalahan yang besar semasa berbahas. Berhujah dengan menggunakan kaedah berhemah dan memberi cadangan penambahbaikan kepada kerajaan sedia ada. Melarang menggunakan bahasa kasar, kesat dan penghinaan kepada mana2 pihak. Serangan peribadi adalah dilarang kerana kaedah ini adalah petunjuk ketandusan idea. Mengambil kesempatan untuk hadir ketika sesi bersama PM dan mengambil peluang untuk menunjukkan kehebatan ahli-ahli dalam barisan pembangkang menyoal dan memberi pandangan yang bernas kepada PM. Bagi memastikan reputasi pembangkang lebih baik di dalam parlimen, saya akan menekankan betapa pentingnya kehadiran wakil-wakil semasa sesi perbahasan dan menjadikannya salah satu KPI prestasi mereka.
4. Bekerjasama dengan kerajaan di dalam memajukan negara dan berperanan menyemak imbang kerajaan dengan berkesan. Pendek kata menjadi pembangkang yang produktif dan konstruktif, bukan pembangkang yang regresif dan destruktif. Saya sedar yang pembangkang boleh menyebabkan kerajaan dipandang tidak stabil oleh pelabur luar jika seringkali memberi gambaran yang kerajaan akan jatuh bila-bila masa. Saya sudah belajar dari kemelut politik 5 tahun kebelakangan ini iaitu bertukar-tukar kerajaan tanpa pilihanraya akan merugikan semua pihak.
5. Saya akan berunding dan berkompromi dengan PMX dan memastikan semua MP pembangkang diberikan peruntukan yang sama dengan MP yang lain. Dari segi agihan dan bantuan saya akan pastikan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira parti politik. Sikap taksub dan keterlaluan menyanjung tokoh bukanlah pilihan yg baik kerana dalam melaksanakan keadilan, saya tak boleh nafikan hak mereka-mereka yang bukan dari parti saya.
6. Saya akan buktikan bahawa pembangkang adalah berwibawa dan berkelayakkan untuk mentadbir negara jika berjaya mengambil aleh kerajaan pada PRU 16 nanti. Pembangkang yang bukan hanya bergantung kepada retorik dan kejayaan mencetus sentimen untuk meraih sokongan pengundi. Pembangkang yang tidak bergantung kepada fitnah dan propaganda. Memastikan apa yang dikata akan dikotakan. Memastikan negeri-negeri pembangkang menjadi negeri contoh dan kayu ukur kemampuan mereka. Saya ingin buktikan bahawa pembangkang bukan sekadar tahu mengkritik tetapi setiap kritikan itu disertakan juga cadangan untuk menyelesaikan masalah dan pilihan yang lebih baik.
7. Saya sedar satu sikap yang sukar dizahirkan ialah mengiktiraf dan menyertai program baik yang dillaksanakan oleh pemerintah, namun saya akan cuba lakukan perkara ini meskipun akan mendapat kritikan dari penyokong pembangkang. Para penyokong akan dididik untuk mengiktiraf sesuatu kebaikan tanpa mengira ianya datang dari pihak mana.
8. Media sosial khususnya tik tok yang dianggap paling popular mempunyai pengaruh yang besar ke atas kehidupan masyarakat kita. Ianya mempunyai kebaikan dan keburukan. Di dalam arena politik negara, saya dapati masyarakat kita sangat mudah terpedaya dengan kandungan media sosial. Mereka akan menelan apa sahaja yang dikatakan oleh tik toker tanpa meneliti dan mengkaji. Selagi penyampai ataupun penulis itu menyediakan bahan yang orang ramai mahu dengar, orang ramai akan menelannya bulat-bulat tanpa mengira latarbelakang si penyampai tersebut. Akibat daripada keadaan ini, mana-mana pihak yang lebih berjaya menggunakan platform ini untuk agenda mereka akan dianggap pihak yang lebih benar. Sebagai Ketua Pembangkang, saya tidak mahu media sosial disalahgunakan sehingga menjatuhkan reputasi pembangkang dalam jangkamasa panjang. Pengamal media sosial kena bertanggungjawab dan beretika agar maklumat yang disampaikan itu benar. Jika budaya fitnah dan sentimen kebencian dibiarkan berleluasa melalui platform ini, ianya akan menjadi serampang dua mata kepada pihak yang menganjurkannya kerana lambat laun, pekong di dada akan terdedah jua. Jadi saya tidak akan sama sekali memberi sokongan dalam apa jua bentuk kepada tik toker dan cybertrooper yang tidak beretika.
Lapan perkara di atas hanyalah cadangan semata-mata. TIDAK MUNGKIN SAYA AKAN MENJADI KETUA PEMBANGKANG kerana saya tidak ada kena mengena dengan mana-mana parti politik. Seperti yang selalu disebut-sebut, memberi cadangan itu mudah, tapi melaksanakannya itu yang susah. Tetapi cadangan yang bernas boleh dijadikan titik mula satu rancangan yang besar, bak kata pepatah "If you fail to plan, you are planning to fail".
PENUTUP
Akhir sekali, saya ingin berpesan kepada diri saya sendiri dan pembaca semua agar kita tidak terlalu taksub kepada mana-mana parti politik ataupun individu sehingga kita kerap membuat kesimpulan yang tidak adil. Jika salah, katakan salah, jika betul, katakanlah betul walaupun bukan dari parti sokongan kita. Inilah akhlak dan adab yang dituntut oleh agama. Lebih selamat lagi adalah hanya memilih yang baik untuk dikongsikan dan yang tidak baik diabaikan. Politik kepartian adalah ijtihad politik, tidak ada parti yang sempurna.Tidak ada pemimpin yang sempurna dan maksum, mereka melakukan kesalahan dan kekhilafan. Rajinlah menyelidik dan membaca serta tidak gelojoh membuat kesimpulan. Jika kerajaan ini berjaya, maka semua rakyat Malaysia akan turut mengecapinya tidak kira samada dari pihak kerajaan ataupun pembangkang. Begitu juga jika sebaliknya.
Selepas tempoh yang mencukupi dan kerajaan tidak mencapai prestasi seperti yang diharapkan, gunakan kuasa mengundi kita pada PRU yang akan datang untuk memilih parti yang lebih baik dan begitulah seterusnya. Kita berharap di dalam setiap PRU, rakyat memilih kerajaan berdasarkan kepada prestasi kerja dan pencapaian negara. Kita tidak mahu kerajaan baru yang terbentuk hasil daripada kemenangan bermain dengan sentimen dan propaganda palsu. Jika ini berlaku, negara kita tidak akan ke mana-mana, kekal ditakok yang lama dan terus ketinggalan ke belakang berbanding dengan negara-negara jiran yang lain.
Dato' Dr. Rushdan Noor
19hb Disember 2023

TULISAN DI ATAS ADALAH PENDAPAT PERIBADI DAN TIDAK MEWAKILI MANA-MANA PIHAK.

No comments:

Post a Comment