STATIN: ANTARA RISIKO SEBENAR DAN CERITA YANG DIBESARKAN
Statin sering menjadi sasaran dalam media sosial.
Ada yang mendakwa statin merosakkan hati, buah pinggang dan otak. Ada yang mengaitkannya dengan dementia, kemurungan, gangguan tidur, masalah seksual, neuropati dan pelbagai penyakit lain. Ada pula yang menggambarkan statin seolah-olah ubat yang lebih banyak membawa mudarat daripada manfaat.
Masalahnya bukan kerana kita tidak boleh mengkritik statin.
Masalahnya ialah apabila dakwaan tentang ubat dibuat tanpa melihat kekuatan bukti yang menyokong dakwaan tersebut.
KAJIAN CTT ("CHOLESTEROL TREATMENT TRIALISTS COLLABORATION") TERBITAN THE LANCET 2026.
Satu kajian besar yang diterbitkan dalam The Lancet pada 2026 memberikan perspektif yang sangat menarik tentang isu ini.
Bila dakwaan diuji dengan kaedah yang lebih ketat.
Kajian oleh Cholesterol Treatment Trialists' (CTT) Collaboration menganalisis data individu daripada 23 kajian rawak terkawal (RCTs) yang dijalankan secara double-blind, melibatkan 154,664 peserta.
Dalam kajian double-blind, pesakit dan penyelidik tidak mengetahui siapa menerima statin dan siapa menerima placebo atau rawatan perbandingan. Dengan cara ini, pengaruh persepsi dan jangkaan pesakit terhadap ubat dapat dikurangkan.
Penyelidik kemudian menilai 66 jenis kesan sampingan yang pernah dikaitkan dengan statin.
Dan hasilnya agak mengejutkan.
Daripada 66 kesan sampingan tersebut, hanya empat (4) menunjukkan lebihan risiko yang signifikan secara statistik selepas mengambil kira masalah multiple testing.
Empat perkara itu ialah:
1. Peningkatan enzim hati,
2. Beberapa abnormaliti ujian fungsi hati,
3. Perubahan tertentu dalam komposisi urin, dan
4. Edema atau bengkak.
Tetapi kadar kesan sampingan ini adalah kecil, secara amnya kurang daripada 0.1% setahun. Peningkatan enzim hati juga menunjukkan hubungan dengan intensiti rawatan statin.
STATIN DAN KESAN KE ATAS OTAK, SISTEM SARAF DAN INGATAN
Ini bahagian yang sangat relevan kerana antara dakwaan yang kerap kita dengar di media sosial ialah:
"Statin menyebabkan dementia."
Kajian ini tidak menemui bukti hubungan sebab-akibat antara statin dengan kemerosotan kognitif.
Begitu juga bagi beberapa dakwaan lain seperti kemurungan, gangguan tidur dan neuropati periferi (gangguan saraf periferi). Data daripada RCT double-blind tidak menyokong hubungan sebab-akibat tersebut.
Ini tidak bermakna seseorang yang mengambil statin tidak mungkin mengalami gejala tersebut.
Itu dua perkara yang berbeza.
Seseorang boleh mengalami sakit otot, masalah tidur atau lupa ketika mengambil statin. Tetapi untuk mengatakan "statin menyebabkan masalah itu", kita memerlukan bukti yang menunjukkan bahawa kejadian tersebut berlaku lebih kerap apabila mengambil statin berbanding apa yang akan berlaku tanpa statin (plasebo).
Korelasi tidak semestinya kausaliti (sebab-akibat).
STATIN TIDAK BEBAS DARI KESAN SAMPINGAN
Ini bukan menafikan statin itu ada kesan sampingan.
Ini juga penting supaya kita tidak pergi ke hujung yang satu lagi sebab statin seperti ubat2an lain tidak sempurna. Kita perlu nilainya dengan adil.
Statin memang mempunyai beberapa risiko yang telah disokong oleh bukti, termasuk masalah berkaitan otot dan sedikit peningkatan risiko new-onset diabetes. Kedua-dua perkara ini telah dikaji secara khusus dalam analisis CTT terdahulu dan bukan merupakan fokus 66 dapatan dalam analisis ini.
Jadi, mengatakan "statin tiada langsung kesan sampingan" juga tidak tepat.
Tetapi mengatakan "statin adalah ubat berbahaya yang menyebabkan pelbagai penyakit" juga tidak disokong oleh bukti kajian ini.
SALAM FAHAM DALAM MEDIA SOSIAL
Di sinilah kita perlu berhati-hati dengan media sosial. Terlalu ramai yang jadi pakar segera dan tidak kurang yang jadi taksub kepada mereka. Doktor2 pun ada yang terjebak dan menyebarkan salah faham.
Satu perkara yang saya perhatikan dalam perbincangan kesihatan hari ini ialah kecenderungan mengambil satu pengalaman, satu kajian pemerhatian, satu testimoni atau satu mekanisme biologi lalu menjadikannya seolah-olah bukti muktamad.
Contohnya:
"Statin dikaitkan dengan dementia."
Kemudian ia berubah menjadi:
"Statin menyebabkan dementia."
Kemudian lebih jauh lagi:
"Statin merosakkan otak."
Tiga ayat ini nampak hampir sama, tetapi dari sudut sains maknanya sangat berbeza.
Begitu juga dengan buah pinggang, hati, seksualiti dan pelbagai lagi.
MENGAPA KEKUATAN BUKTI SAINTIFIK ITU PENTING
Apabila sesuatu penyakit berlaku selepas seseorang mengambil ubat, itu belum membuktikan ubat tersebut menjadi penyebabnya.
Sebab itulah RCT, khususnya RCT double-blind, sangat penting dalam menilai kesan ubat. Kajian yang disiarkan di The Lancet ini sangat berguna kerana memilih kajian2 seumpama ini untuk mencari kebenaran.
JANGAN TAKUT KEPADA STATIN. JANGAN JUGA TAKSUB KEPADA STATIN.
Saya tidak fikir kita perlu menjadikan statin sebagai "ubat suci".
Statin bukan ubat yang sempurna.
Tetapi kita juga tidak sepatutnya menjadikan statin sebagai "ubat jahat" hanya kerana kita menemui senarai panjang kemungkinan kesan sampingan pada risalah ubat atau di internet atau cerita2 pengalaman peribadi dari pengguna ataupun doktor sendiri.
Kajian CTT ini malah menyimpulkan bahawa maklumat kesan sampingan dalam label statin mungkin melebih-lebihkan sesetengah risiko, sehingga berpotensi menyebabkan pesakit dan doktor membuat keputusan yang kurang tepat.
Dan ini bukan perkara kecil.
Jika seseorang yang sebenarnya mendapat manfaat daripada statin berhenti mengambilnya kerana takut kepada dakwaan yang tidak mempunyai asas bukti yang kukuh, akibatnya mungkin jauh lebih serius.
STATIN BUKAN UNTUK JADIKAN SIHAT SERTA MERTA
Statin diberikan bukan untuk menjadikan seseorang "sihat pada hari ini".
Ia diberikan untuk mengurangkan risiko serangan jantung dan strok pada masa hadapan.
Bukti daripada kajian rawak menunjukkan bahawa rawatan statin yang berkesan ke atas golongan yang terpilih boleh mencegah sejumlah besar kejadian vaskular utama, dengan manfaat yang bergantung kepada risiko asal seseorang.
APA YANG PESAKIT PATUT LAKUKAN
Akhirnya, kita kembali kepada prinsip asas perubatan.
Pesakit berhak mengetahui risiko ubat.
Tetapi pesakit juga berhak mengetahui saiz risiko tersebut, kekuatan bukti yang menyokongnya dan manfaat yang diperoleh daripada rawatan.
Jangan hanya bertanya:
"Apa kesan sampingan statin?"
Tanya juga:
"Berapa kerap ia berlaku?"
"Adakah ia benar-benar disebabkan oleh statin?"
"Seberapa kuat bukti yang menyokong dakwaan itu?"
Dan yang paling penting:
"Jika saya tidak mengambil statin, apakah risiko saya mendapat serangan jantung atau strok?"
Itulah cara kita membuat keputusan perubatan.
Bukan berdasarkan ketakutan.
Bukan berdasarkan testimoni.
Bukan berdasarkan siapa yang paling banyak pengikut dan populariti.
Tetapi berdasarkan bukti.
Dato' Dr.Rushdan Noor
4hb Okt 2026
RUJUKAN
Cholesterol Treatment Trialists' (CTT) Collaboration. Assessment of adverse effects attributed to statin therapy in product labels: a meta-analysis of double-blind randomised controlled trials. Lancet. 2026;407(10529):689–703. doi:10.1016/S0140-6736(25)01578-8.

No comments:
Post a Comment