WANG ADALAH RAJA
Dulu, masa mula-mula dengar slogan "Money is King" atau "Wang Adalah Raja", ramai antara kita yang rasa tak selesa. Maklum la, kita selalu diajar tentang prinsip " apa ada pada wang ataupun wang bukan segala2nya".
Tapi kalau tengok realiti politik sekarang, nak tak nak, kita terpaksa telan hakikat yang slogan tu macam dah jadi satu kebenaran pula, walaupun pahit.
Lanskap politik hari ini macam dah terperangkap dalam satu kitaran yang tak habis-habis: politik cari kuasa, kuasa bawa datang wang, dan wang tu pulak digunakan balik untuk dapat pengaruh dan kuasa. Semua parti politk sudah terpalit dengannya, samada kecil ataupun besar.
Bila ingat balik kes-kes skandal kewangan besar, isu institusi tabungan, dan penyelewengan dana yang pernah dan sedang gegarkan negara, semuanya berputar dekat benda yang sama, penyelewengan wang.
Apa yang ironisnya, bila sistem keadilan bertindak, hukumannya pun ada denda wang ringgit. Hukuman penjara datang sekali dengan denda jutaan ringgit.
Malah, bila ada keputusan pengurangan hukuman atau pengampunan bersyarat, syarat utamanya pun tetap kena bayar denda wang dulu.
Tapi bab yang paling plot twist dan buat kita urut dada ialah respon masyarakat kita sendiri. Bila tabung kutipan dana dilancarkan untuk bantu bayar denda tersebut, ramai pulak orang awam yang pakat menderma.
Bukan setakat orang parti, tapi orang biasa dari semua lapisan pun turut serta. Puncanya? Ramai rakyat yang rasa terhutang budi sebab dulu pernah merasa bantuan wang tunai dan seumpamanya. Wang lagi. Ahli2 politik sesama parti tak tahulah apa budi yang terhutang. Hanya mereka saja yang tahu.
Akhirnya, rakyat yang jadi mangsa ketirisan ekonomi dan menanggung kesan skandal kewangan, pulak yang tolong kumpul wang poket sendiri untuk bantu orang yang sabit dengan skandal itu. Teringat saya menonton satu wawancara, bila ditanya seorang wanita, awak tak kisah ke, wang berbillion hilang ? Dia jawab sambil berlinangan air mata "kesian dia, banyak jasanya".
Sedar atau tidak, sistem ni dah berjaya buat minda masyarakat terikat. Bila budi boleh dibeli dengan wang ringgit, kesetiaan boleh ditagih dengan bantuan tunai, dan hukuman mahkamah pun dinilai dengan angka, kita kena akui satu realiti yang menyedihkan: dalam dunia hari ini, wang memang betul-betul sudah ditabalkan menjadi raja.
Dato' Dr.Rushdan Noor
20hb Sep 2026

No comments:
Post a Comment