Peningkatan diagnosis Autism Spectrum Disorder (ASD) sejak beberapa dekad lalu sering dianggap sebagai petunjuk bahawa semakin ramai kanak-kanak mengalami autisme. Keadaan ini turut mencetuskan pelbagai spekulasi tentang puncanya.
Namun, satu kajian besar dari Korea Selatan yang diterbitkan dalam JAMA Pediatrics, terbitan 2026 memberikan gambaran yang berbeza.
Penyelidik menilai 62,081 kanak-kanak daripada 12 kohort kelahiran berturut-turut. Mereka menggunakan saringan populasi dan penilaian diagnostik untuk menganggarkan kejadian ASD sehingga umur tujuh tahun.
Hasil kajian mendapati kadar ASD tidak menunjukkan trend peningkatan yang signifikan sepanjang tempoh yang dikaji. Kejadian kumulatif berada antara 1.9% hingga 3.2%, manakala prevalens pada umur tujuh tahun sekitar 2.0% hingga 3.4%.
Dapatan ini menunjukkan bahawa peningkatan angka diagnosis boleh banyak dipengaruhi oleh kesedaran yang semakin meningkat, saringan yang lebih meluas, kriteria diagnosis yang lebih baik dan kemampuan sistem kesihatan mengenal pasti kanak-kanak yang sebelum ini tidak dikesan.
Malah, sebahagian kanak-kanak yang dikenal pasti melalui saringan populasi tidak pernah menerima diagnosis atau intervensi ASD sebelum itu. Ini menunjukkan bahawa sebahagian daripada mereka mungkin telah mempunyai ASD untuk sekian lama tetapi tidak dikenal pasti.
Namun, kajian ini tidak bermaksud bahawa semua peningkatan autisme di seluruh dunia boleh dijelaskan oleh pengesanan yang lebih baik. Kajian ini dilakukan dalam populasi Korea Selatan dan mempunyai batasan tertentu.
Pengajaran yang lebih penting ialah peningkatan diagnosis tidak boleh secara automatik dianggap sebagai peningkatan sebenar kejadian penyakit.
Dalam bidang perubatan, apabila kemampuan kita untuk mengesan sesuatu keadaan semakin baik, jumlah kes yang dikenal pasti juga boleh meningkat walaupun kejadian sebenar tidak berubah.
Oleh itu, sebelum mencari “punca wabak autisme”, kita perlu terlebih dahulu memastikan bahawa peningkatan yang kita lihat benar-benar merupakan peningkatan kejadian dan bukan sebahagiannya kerana kita semakin baik mengenal pasti mereka yang sebelum ini terlepas daripada diagnosis/pengesanan.
Dato' Dr.Rushdan Noor
19hb Sep 2026
RUJUKAN:
Kim YS, Liu X, Chang J, et al. Cumulative Incidence and Prevalence of Autism Spectrum Disorder. JAMA Pediatrics. 2026. doi:10.1001/jamapediatrics.2026.4066.


No comments:
Post a Comment