Saturday, 19 September 2026

APABILA SEMUANYA HANYALAH PARTI POLITIK, TIDAK LEBIH DARIPADA ITU

 


Perkembangan politik beberapa tahun kebelakangan ini memberikan satu pengajaran penting kepada kita semua. Politik melayu di negara kita, walaupun berbeza nama, ideologi, dan perlembagaan, sebenarnya memiliki banyak persamaan daripada segi watak dan cara amalannya. 

Ada yang mendakwa berpasak pada agama, manakala ada yang melaungkan isu bangsa. Ada juga yang membawa gagasan reformasi, dan ada yang menawarkan wadah perubahan. 

Namun, segala-galanya berubah apabila mereka berdepan dengan percaturan kuasa, kepentingan pilihan raya, dan pembentukan kerajaan. Pendirian boleh berubah mengikut arah angin.

Mungkin istilah, slogan, dan justifikasinya kelihatan berbeza. Namun, modus operandi politik mereka tetap sama.

Hakikatnya, itu bukanlah sesuatu yang pelik. Mereka ialah parti politik, bukannya agama. 

Politik sememangnya dinamik; kerjasama boleh bertukar, pendirian boleh bergeser, dan strategi sentiasa berubah.Malah ada kalanya, prinsip sanggup diketepikan kerana musuh dan kawan silih berganti.

Perkara yang paling mendukacitakan adalah apabila kepentingan politik dibungkus rapi sebagai tuntutan agama. Kesetiaan kepada parti pula diangkat seolah-olah ia ukuran iman seseorang.

Sedangkan, sesebuah parti tidak menjadi lebih suci, lebih bermoral, atau lebih dekat dengan kebenaran hanya disebabkan nama, slogan, mahupun teks perlembagaannya.

Begitu juga parti yang diharapkan menjaga kebajikan anak bangsa, tetapi mengambil kesempatan sehingga sejumlah dana yang begitu besar boleh diseleweng atau dihilangkan tanpa rasa bersalah.

Apabila kita menyedari bahawa parti-parti politik ini berkongsi sifat yang sama, maka kualiti sebenar seseorang politikus tidak lagi terletak pada label partinya.

Kita tidak lagi memerlukan mereka yang sekadar mahir menunggang naratif agama dan bangsa. Kita mendambakan sosok yang berakhlak, berintegriti, mampu mentadbir dengan cekap, serta berupaya menyatukan rakyat.

Inilah kriteria utama yang seharusnya kita pertimbangkan dalam memilih kepimpinan masa hadapan. 

Meminjam kalam pujangga Hamka, “bukan pada megahnya panji yang kita pandang, tetapi pada suci dan benarnya sekeping hati yang memegang amanah.”

Kesedaran ini menuntut kita melihat jauh melampaui sekadar warna parti. Kerana pada akhirnya, sebuah negara tidak akan pernah terbina di atas hamparan slogan, melainkan di atas bahu individu yang jiwanya sarat dengan akhlak dan integriti.


Dato' Dr.Rushdan Noor

20 Sep 2026




No comments:

Post a Comment