Friday, 29 December 2023

MENGAPA ULAMAK KENA KECAM

 


Saya menulis tajuk ini dari sudut pandang orang awam. Saya juga tidak mahu menulis dengan panjang tentang definisi ulamak (ulamak adalah jamak/plural) kepada alimun atau orang berilmu (mufrad/singular) kerana anda boleh dapatkannya dari buku2 dan rujukan atas talian (contoh, rujuk Bayan Linnas  siri ke-12). Tidak ada kaedah pengiktirafan seorang ulamak yang disepakati sepertimana sijil atau ijazah yang dianugerahkan kepada orang yang berjaya dalam akademik. Jadi nampaknya gelaran ulamak  ini diberikan oleh individu ataupun kumpulan tertentu yang dibuat berdasarkan kepada kriteria2 yang tersendiri. 

Ulamak tugasnya mengajar agama, meyampaikan hukum hakam dan menjawab persoalan2 yang berkaitan dengan agama. Seseorang ulamak dipandang tinggi kedudukannya di sisi Allah swt dan masyarakat.

Di sebalik sanjungan dan kedudukan yang tinggi, ulamak juga kadangkala menerima kecaman, penghinaan dan pada masa lampau ada yang didera dan dibunuh. Saya tidak akan menyingkap kisah2 lama tentang ulamak2 terdahulu yang melalui pelbagai tribulasi dalam hidup mereka jauh lebih besar dari ulamak zaman sekarang.

Ulamak zaman sekarang disediakan dengan kemudahan berkomunikasi dan alat berdakwah yang lebih canggih. Apa yang mereka tuturkan dan tingkah laku mereka amat mudah disebarkan. Ini bermaksud, mereka mempunyai peluang yang lebih besar untuk melaksanakan tanggungjawab. Pada waktu yang sama, kecanggihan ini juga memberi cabaran yang besar kepada mereka. Jika maklumat yang baik boleh disebarkan dengan pantas, begitu jugalah dengan maklumat yang tidak baik.

Ulamak2 hari ini tidak terlepas dari cabaran dikecam, dimarahi dan dihina. Di bawah ini saya senaraikan beberapa sebab mengapa ulamak ini dikecam. Saya bahagikan kepada 2 faktor utama:

A. FAKTOR ORANG YANG MENGECAM

1. Kecaman boleh datang dari individu2 yang anti kepada agama atau pembenci ulamak di mana bagi mereka ulamak ini  seringkali membataskan hidup dengan hukum hakam dan fatwa yang menyusahkan mereka. 

2. Pengikut seseorang ulamak boleh mengecam ulamak lain apabila berlaku pertikaian ataupun perbezaan pendapat di antara ulamak. Fenomena ini seringkali berlaku apabila dua orang ulamak saling mempertikaikan pendapat ulamak lain secara terbuka dalam media sosial hingga merebak kepada penyokong2 mereka. 

3. Kecaman dari orang yang benci kepada seseorang ulamak di atas alasan peribadi yang bukan berkaitan dengan agama. Krisis akhlak dalam kalangan masyarakat kita sangat parah dan salah satu petanda akhlak yang buruk adalah tingkah laku dan pertuturan yang tidak bermoral. Tidak hairanlah mengapa fenomena caci mencaci, hina menghina dan kecam mengecam begitu berleluasa pada hari ini.

B. FAKTOR ULAMAK YANG DIKECAM

1. Salah satu punca perpecahan yang berlaku ke atas umat Islam hari ini adalah kerana pendirian politik yang berbeza. Apabila seseorang ulamak menunjukkan kecenderungan kepada satu2 parti politik, maka mereka ini sudah menjadi lawan politik kepada penyokong dan pemimpin politik lain. Maka mereka tentu tidak terkecuali daripada kecaman. Sebab itu pada pandangan saya, ulamak akan lebih dihormati jika mereka dapat fokus kepada tanggungjawab hakiki mereka. Mereka akan dijadikan rujukan oleh semua orang tidak kira latar belakang politik, maksudnya sasaran dakwah mereka lebih besar. Ulamak juga manusia biasa yang boleh lakukan kesilapan dan dalam mengeluarkan pendapat serta hukum hakam, mampukah mereka bersikap adil? Dibimbangi mereka mengeluarkan hukum yang berbeza2 mengikut selera parti politik sehingga politik itu diletakkan pada kedudukan yang lebih tinggi dari agama. 

2. Ulamak ini berkait dengan ilmu, ulamak adalah perkataan jamak kepada orang berilmu. Mereka diakui mempunyai ilmu yang banyak tentang agama tetapi belum tentu mempunyai akhlak yang baik. Ulamak yang tidak berakhlak tidak akan dihormati dan mereka boleh menjadi bahan kecaman. Memang tidak ada ulamak yang sempurna tetapi keujudan ulamak yang teruk akhlaknya tidak dapat dinafikan. Mereka ini digelar ulamak Su'. 

Sabda Nabi bermaksud: "Selain daripada Dajjal ada satu perkara yang sangat aku bimbangkan lebih daripada Dajjal? Lalu ada orang yang bertanya: Apakah itu wahai Rasulullah? Nabi SAW menjawab: Mereka ialah Ulama Su’ yakni ulama yang jahat”. (HR Ahmad daripada Abu Zhar RA). 

3. Salah satu lagi punca perpecahan umat Islam hari ini adalah berkaitan dengan kegagalan meraikan perbezaan pendapat. Kadangkala perbezaan ini hanya melibatkan perkara2 ranting. Apabila ulamak mengutarakan perbezaan ini secara terbuka, maka berlaku perbahasan secara terbuka di dalam media sosial, akhirnya berlarutan kepada penyokong masing2. Matlamat asal untuk mencelikkan umat bertukar kepada pertikaian yang berpanjangan hingga kepada serangan peribadi. Kumpulan sasaran pula jadi lebih keliru. Kali ini ulamak pula mengecam satu sama lain.

4. Masyarakat Islam hari ini ketandusan ikon ulamak yang boleh dijadikan rujukan dan idola kepada mereka. Ikon ulamak boleh berperanan menyatukan umat kerana pendapat mereka dihormati dan disepakati. Ciri-ciri ini hanya wujud pada ulamak terdahulu tetapi sukar dicari pada hari ini. Apabila gagal meraikan perbezaan pendapat dan ketiadaan ikon ulamak yang dihormati di peringkat negara atau global, polemik dan kesan2 sampingan daripadanya (termasuk kecam mengecam, label melabel dll) akan berterusan. Tidak hairanlah mengapa salah satu ciri2 ulamak yang dinyatakan oleh Al-Tabari ialah "golongan yang Allah jadikan sebagai tiang kepada manusia untuk bersandar dan bergantung dalam permasalahan fiqh, ilmu urusan agama dan dunia".

5. Terdapat ulamak yang terlibat dengan kerjaya di luar kepakaran mereka. Pendakwah selebriti adalah istilah yang sering digunakan ke atas pendakwah yang popular, menjadi rebutan program ceramah dan station TV. Mereka popular kerana cara penyampaian yang disukai oleh pendengar. Untuk tujuan penyebaran ilmu dan hukum hakam, mereka ini boleh dikatakan pilihan yang baik. Walau bagaimanapun, mereka dipandang serong dan dikecam apabila mengenakan bayaran yang terlalu tinggi untuk khidmat mereka. Ada juga yang meneroka kepada bidang lain seperti menjadi duta kepada sesuatu produk ataupun menjual produk keluaran sendiri. Apabila mereka tidak mendalami bidang tersebut contohnya kesihatan dengan mempromosikan produk2 kesihatan overclaim, mereka akan menerima kecaman dari pihak yang sedar tentang kesilapan mereka. Lebih2 lagi jika aktiviti mereka bertentangan dengan program kesihatan yang dijalankan oleh pihak yang berautoriti.  

Mengecam dan menghina orang lain bukanlah sikap yang diterima oleh agama, lebih2 lagi ke atas seorang ulamak. Walau bagaimanapun pihak yang dikecam pula perlu memuhasabah diri mereka. Tidak semua kecaman dan penghinaan itu satu bentuk ujian, sebaliknya mungkin satu kifarah dari Allah supaya ia dapat memperbaiki kesilapan dirinya sendiri.


Dato' Dr Rushdan Noor

27hb Disember 2023

No comments:

Post a Comment